PKS terjejas tapi masih bayar bonus Tahun Baharu Cina, kata pemain industri
Iklan
WALAUPUN ramai yang hampir tidak selamat susulan ekonomi teruk disebabkan Covid-19, tinjauan baru-baru ini menunjukkan 90% daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini masih boleh memberi bonus – atau sekurang-kurangnya token ang pau kepada pekerja mereka pada Tahun Baharu Cina kali ini.
Syarikat berkaitan farmasi, peralatan perubatan dan pengeluaran peralatan pelindung diri (PPE) – pembuat sarung tangan getah, pelindung muka, topeng, apron pakai buang – boleh memberi ganjaran kepada pekerja mereka dengan memberi mereka sekurang-kurangnya bonus dua bulan.
PPE adalah barangan mandatori yang wajib dipakai oleh petugas barisan hadapan Covid-19 di tempat kerja mereka.
Sebaliknya, majikan dalam industri yang paling teruk terjejas seperti pelancongan dan hiburan – panggung wayang, kedai runcit, salun kecantikan, taman tema pelancongan dan lain-lain berasa sukar untuk memberi bonus.
Pengerusi jawatankuasa PKS Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) Koong Lin Loong, berkata tinjauannya menunjukkan 70% PKS masih menghadapi masalah aliran tunai dan syarikat yang mempunyai tenaga kerja yang ramai lebih sukar untuk memberi bonus.
Beliau berkata, impak wabak itu terhadap ekonomi jauh lebih teruk berbanding krisis kewangan Asia pada 1998 dan krisis kewangan global 12 tahun lalu.
“Krisis kewangan tidak serius berbanding krisis yang disebabkan pandemik Covid-19.”
Beliau bagaimanapun berkata walaupun wabak itu berlaku pada 2020, syarikat terus memberikan bonus pada tahun itu kerana bonus itu untuk prestasi syarikat pada tahun sebelumnya.
Koong berkata apabila syarikat berasakan kesukaran pada 2021, jumlah bonus yang mereka bayar juga dikurangkan dengan ketara.
“Sesetengah syarikat, sama sekali tidak dapat memberikan apa-apa bonus kepada pekerja mereka, memberikan bentuk ganjaran kewangan lain untuk mengiktiraf prestasi pekerja,” tegasnya.
“Pada 2020, banyak syarikat menyangka pada 2021, pandemik itu akan berlalu tetapi ia berlarutan selama 22 bulan lagi.” – 15 Januari, 2022.
Berita penuh di sini.