Zoo Negara gesa Putrajaya lanjut tempoh pinjaman panda China
Iklan
XING XING dan Liang Liang, dua ekor panda gergasi berusia 16 tahun di Zoo Negara dipinjamkan China tidak sepatutnya tinggal terus di negara ini selepas kontrak pinjaman tamat pada 2024 disebabkan kemungkinan wujudnya masalah umur, cadang pengurusan zoo.
Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly @ Rahmat Amat Lana berkata masa pinjaman boleh dilanjutkan sehingga tiga tahun lagi atau paling banyak lima tahun selepas 2024 apabila kedua-dua panda berusia 18 tahun.
“Kami cadangkan tiga tahun adalah tempoh lanjutan yang sesuai kerana panda hanya boleh hidup sehingga 28 dan 30 tahun sahaja.
“Kami tak mahu panda ada masalah umur tua. Tetapi perbaharui kontrak adalah sepenuhnya keputusan kerajaan. Sebagai penjaga, kami tidak boleh kata apa-apa. Itu hanya nasihat kami,” kata Rosly kepada The Malaysian Insight.
Xing Xing dan Liang Liang tiba di Malaysia pada 2014 ketika berusia lapan tahun.
Rosly berkata pasangan panda itu dianggap antara yang terpantas membiak berbanding panda gergasi lain yang dipinjamkan China kepada negara lain.
Xing Xing dan Liang Liang mempunyai tiga anak dalam tempoh tiga tahun berbanding misalnya Kai Kai dan Jia Jua di Singapura yang melahirkan anak pertama mereka, Le Le, selepas sembilan tahun, katanya.
“Sebagai penjaga, kerja kita memang bagus. China pun memuji kita.”
Pasangan panda itu tiba di Malaysia pada 21 Mei 2014 dibawah Perjanjian Pemuliharan Panda Gergasi Antarabangsa dengan China.
Anak pertama pasangan itu dinamakan Nuan Nuan lahir pada 18 Ogos 2015. Ia dihantar pulang ke China pada 14 November 2018.
Anak kedua, Yi Yi, dilahirkan pada 14 Januari 2019 dan kini berada di Pusat Pemuliharan Panda Gergasi, Zoo Negara.
“Anak kedua masih berada di sini kerana rancangan untuk menghantarnya balik ditangguhkan kerana Covid-19.
“Tetapi sementara menunggu, pasangan itu mendapat seorang anak lagi pada 31 Mei tahun lepas,” kata Rosli menambah yang semua kelahiran berlaku secara semulajadi.
Rosly berkata panda adalah haiwan paling popular di Zoo Negara, diikuti harimau.
Pada hujung 2022, ketika sekatan pergerakan berkuatkuasa untuk mengekang penularan Covid-19, wujud desakan awam supaya kesemua panda dihantar balik ke China bagi membantu Zoo Negara mengurangkan bebanan kewangan ditanggungnya.
Zoo Negara dilaporkan hanya mempunyai dana kecemasan selama tiga bulan ketika itu. Berdasarkan perjanjian Malaysia dan China, panda itu bagaimanapun tidak boleh dipulangkan sebelum berakhirnya tempoh program selama 10 tahun.
Rosly berkata Zoo Negara kini berada pada kedudukan kewangan lebih baik selepas pelonggaran sekatan pergerakan dalam Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara. – 17 Januari, 2022.