Iklan

Walau kalah PRN, parti pro-kemerdekaan Sarawak bersedia hadapi PRU15

Desmond Davidson3 years ago18th Jan 2022Berita
Voon lee shan fb
Presiden PBK Voon Lee Shan yakin agenda kemerdekaan Sarawak yang diperjuangkan parti mampu meraih sokongan penduduk negeri itu. – Gambar Facebook, 18 Januari, 2022.
Iklan

TIDAK terjejas dengan kekurangan undi pada pilihan raya Sarawak bulan lalu, Parti Bumi Kenyalang (PBK) masih percaya ia boleh memperoleh sokongan dengan agenda kemerdekaannya dan sudah pun membuat penyusunan semula bagi persiapan menghadapi pilihan raya umum (PRU) yang dijangka selewat-lewatnya tahun depan. 

PBK, yang diasaskan oleh bekas Adun DAP Voon Lee Shan, meletakkan 73 calon pada pilihan raya negeri (PRN) Disember lalu dan tidak menang sebarang kerusi.

Bagi menambah luka, 66 calon mereka turut hilang wang deposit RM5,000 kerana gagal meraih lebih satu perlapan undi.

Berbekalkan hanya satu perkara dalam manifesto mereka, iaitu untuk menolak Perjanjian Malaysia 1963 dan mengisytiharkan Sarawak sebagai negara merdeka jika mereka memenangi kuasa, Voon berkata dalam bergerak ke depan, parti itu mesti melakukan beberapa penyusunan terlebih dahulu bagi menjadikan mereka lebih teratur dan mengukuhkan keupayaan untuk mencapai matlamat mereka.

Voon berkata tugas pertama dalam penyusunan semula ialah menubuhkan 12 bahagian dan mendapatkan sokongan akar umbi sebelum PRU diadakan. 

PRU mesti diadakan selewat-lewatnya sekitar pertengahan 2023, walaupun terdapat spekulasi ia juga boleh diadakan tahun ini.

Pewujudan 12 bahagian baharu itu akan diwujudkan dalam 12 bahagian pentadbiran Sarawak sahaja - di luar kebiasaan amalan parti politik untuk menubuhkan bahagian di setiap 31 kawasan Parlimen negeri itu.

Bahagian PBK adalah di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah,Bintulu, Kapit, Miri dan Limbang.

Di peringkat cawangan, ia akan menubuhkan satu di setiap 82 kawasan Dewan Undangan Negeri, kata Voon.

Agenda kemerdekaan

Agenda pro-kemerdekaan di kalangan segelintir rakyat Sarawak bertujuan untuk memutuskan hubungan dengan Semenanjung Malaysia bagi membolehkan tadbir urus negeri Borneo oleh penduduk tempatan sahaja. 

Sentimen ini timbul selepas bertahun-tahun pengabaian pembangunan dan kemiskinan berterusan di banyak kawasan pedalaman Sarawak serta dasar persekutuan ditetapkan oleh Putrajaya yang menyebabkan penduduk berasa hak mereka sebagai negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 tidak diterima seadilnya.

Namun, sentimen sebegitu gagal diterjemahkan dalam bentuk undi apabila melibatkan pilihan raya.

Selain PBK, parti lain yang memperjuangkan agenda ini ialah Parti Aspirasi Rakyat Sarawak (Aspirasi), yang diketuai oleh presidennya Lina Soo. 

Ia juga gagal memenangi mana-mana kerusi yang ditandinginya pada pilihan raya negeri bulan lalu.

PBK membuat kemunculan pilihan raya pada 2018, bertanding di kerusi Parlimen Sarikei yang gagal dimenangi dengan hanya lebih 300 undi dan menyaksikan calonnya kehilangan deposit.

Voon PBK, yang merupakan Adun Batu Lintang selama satu penggal dari 2006 hingga 2011, gagal dalam percubaannya untuk memenangi semula kerusi bandar Kuching pada PRN bulan lepas.

Bagaimanapun, Voon tidak terganggu dengan kekurangan sokongan berkata keupayaan parti itu meletakkan calon di 73 kawasan adalah bukti orang ramai percaya dengan agendanya.

“Ia membangkitkan semangat dan mengagumkan ramai pemerhati politik,” katanya mengenai bilangan ramai calon yang berjaya dikemukakan oleh PBK.

“PBK adalah satu-satunya parti politik dalam tempoh 58 tahun lepas yang boleh meletakkan calon sebegitu.”

Ramai calon dilaporkan mengeluarkan wang sendiri untuk membiayai kempen mereka.

Walaupun tidak memenangi apa-apa dan ramai hilang deposit, penilaian Voon terhadap prestasi parti ialah “orang ramai melihat potensi besar dalam parti ini”.

Selepas bahagian dan cawangan ditubuhkan, PBK akan memberi peluang kepada calon yang berpotensi untuk bertanding dalam PRU.

Voon berkata mereka menyasarkan golongan muda yang boleh disediakan untuk pilihan raya.

Beliau menegaskan, “Sarawak mempunyai hak intrinsik untuk merdeka dan tidak boleh dikawal oleh mana-mana tuan penjajah”.

“Hak kemerdekaan intrinsik ini dibenarkan di bawah resolusi PBB 1514 dan di bawah undang-undang antarabangsa. Tiada larangan di bawah perlembagaan persekutuan untuk mana-mana rakyat bercakap tentang kemerdekaan,” tambahnya.

Dalam PRN bulan lepas, Voon mendakwa kempen PBK diganggu “segelintir ahli politik Sarawak tidak bertanggungjawab” yang didakwanya cuba menimbulkan ketakutan dengan mendakwa akan berlaku pertumpahan darah jika Sarawak merdeka. – 18 Januari, 2022.

Iklan
Iklan