Iklan

Terburu-buru tangguh mesyuarat bincang Azam Baki, kata 4 anggota j/k Parlimen

Raevathi Supramaniam3 years ago18th Jan 2022Berita
49937356631 f1002f10d1 o
Empat ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan penangguhan mesyuarat itu ialah Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), dan ahli Parlimen Pakatan Harapan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan William Leong (Selayang). – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Januari, 2022.
Iklan

EMPAT ahli Parlimen pembangkang membangkitkan isu penangguhan pantas dikeluarkan oleh Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin berhubung mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri tentang Azam Baki.

Pendengaran itu sepatutnya diadakan esok, namun ia ditangguhkan oleh pengerusi PSC Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) berikutan surat daripada Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Azam Baki.

Empat ahli Parlimen yang tidak bersetuju dengan penangguhan itu ialah Azis Jamman (Warisan-Sepanggar), dan ahli Parlimen Pakatan Harapan Chan Foong Hin (Kota Kinabalu), Khoo Poay Tiong (Kota Melaka) dan William Leong (Selayang).

“Kami berempat tidak bersetuju mesyuarat itu ditangguhkan. Saya ingin menekankan pengerusi PSC telah maklum kepada kami semalam pukul 11.59 pagi yang beliau telah putuskan untuk tangguh mesyuarat itu.

“Lima minit sebelum itu, beliau beritahu telah dapat jawapan daripada Azman Baki di mana beliau senaraikan sebab Azam Baki tidak boleh hadir.

“Lima minit selepas itu, pengerusi beri alasan untuk tangguh, walaupun ramai antara kami tidak bersetuju.

“Tidak sampai 12 minit selepas keputusan beliau (Latiff), setiausaha Dewan Rakyat sediakan surat memaklumkan pendengaran telah ditangguhkan,” kata Khoo dalam sidang media yang diadakan melalui Zoom.

Azam Baki dimaklumkan untuk menghadiri mesyuarat PSC pada 10 Januari. Semalam, pengerusi PSC Abdul Latiff Abdul Rahman memutuskan untuk menangguhkan mesyuarat yang akan diadakan esok berikutan surat daripada Azam Baki.

Dalam suratnya kepada Latiff, Azam Baki berkata pendengaran itu melanggar Peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat.

Ketua SPRM itu juga dilaporkan telah memaklumkan kepada Latiff yang beliau telah memfailkan saman fitnah atas tuduhan yang dibuat terhadapnya dan perkara yang akan dibincangkan oleh PSC mungkin dipertimbangkan oleh mahkamah.

Mereka berempat juga meminta Latiff mempertimbangkan semula keputusannya untuk menangguhkan terus perbicaraan tersebut.

“Kita masih boleh buat mesyuarat itu, terma rujukan belum dibincangkan,” kata Foong.

“Tidak masuk akal untuk terus tangguh mesyuarat. Kuasa untuk panggil mesyuarat adalah di tangan pengerusi, kita boleh teruskan mesyuarat esok.

“Semakin lama kita berlengah, mereka akan takut untuk datang kepada kita,” katanya.

Pendengaran PSC dibuat berikutan pendedahan Azam Baki yang beliau telah membenarkan adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham dalam dua syarikat senaraian awam pada 2015 dan 2016. Pada masa itu, Azam merupakan ketua bahagian siasatan SPRM.

Ketika Azam Baki dibersihkan daripada salah laku oleh ketua lembaga penasihat SPRM Abu Zahar Ujang, beliau telah dipanggil untuk hadir di hadapan PSC bagi menjelaskan dirinya di Parlimen.

Beliau juga kini disiasat oleh Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Aduan SPRM. – 18 Januari, 2022.

Iklan
Iklan