Kedudukan Zuraida goyah di Ampang, kata lawan
Iklan
KEDUDUKAN Zuraida Kamaruddin di Parlimen Ampang kini goyah selepas dipecat PKR dan memilih Bersatu sebagai platform baharu, menurut aktivis dan pemimpin parti lawan.
Mereka turut mengaitkan nasib menimpa NGO Penggerak Komuniti Negara (PKN) serta penglibatan pengikut Zuraida dalam parti baharu, Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Pihak lawan dalam PKR melihat tindakan pegawai dan kakitangannya terutama di Parlimen Ampang ke PBM itu menggambarkan Zuraida berdepan masalah dalam Bersatu.
Di balik latar itu, tindakan Zuraida yang terus kekal dalam Bersatu pula hanya bertujuan untuk menyelamatkan jawatan kabinetnya, kata pemimpin akar umbi ini.
Pengundi di Ampang pula berbelah bahagi dengan sokongan ke atas Zuraida atas pengkhianatan dilakukan menteri itu dalam percaturan politik Langkah Sheraton dua tahun lalu.
Pegawai Pejabat Parlimen Ampang Muhammad Faiz Abd Majid ketika ditemui The Malaysian Insight mengesahkan terdapat kakitangan Zuraida menyertai PBM.
Bekas ketua Pemuda PKR Ampang itu mendedahkan, ini kerana Bersatu tidak memproses permohonan keahlian bekas anggota PKR yang ingin menurut Zuraida menyertai Bersatu.
“Akar umbi bertanya mengenai keahlian, kita tak boleh jelaskan jadi perancangannya adalah parti baharu inilah, PBM platform kita.
“Kalau diikutkan kita ini ahli Bersatu tetapi keahlian tidak lagi disahkan. Dah berapa tahun (buat permohonan), kad keahlian pun tak dapat lagi.
“Jadi kapasiti kita bekerja (di sini) sebagai pusat khidmat ahli Parlimen Ampang melalui NGO Penggerak Komuniti Negara. Ini NGO untuk masyarakat,” katanya.
PKN ditubuhkan Zuraida sewaktu menerajui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) sewaktu pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Muhyiddin Yassin.
Beliau bertukar portfolio ke Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi selepas Ismail Sabri Yaakob dilantik menjadi perdana menteri kesembilan pada Ogos.
Seramai 53,000 anggota PKN kemudian diumumkan menyertai PBM pada 21 Disember.
Mohd Faiz yang disebut-sebut sebagai antara calon untuk diangkat sebagai ketua bahagian PBM Ampang berkata, anggota PKN lebih selesa dengan platform bersifat majmuk seperti itu.
Pergerakan itu lebih baik berbanding organisasi seperti Bersatu yang khusus untuk satu-satu kaum sahaja, katanya.
“Kita di Malaysia pelbagai kaum, kita kena berkawanlah. Pengalaman kita dulu kita PKR terbuka pelbagai kaum.
“Sebab itu kalau kita nak masuk (parti baharu), (rakan) Cina atau India yang bersama kita dahulu takkan kita nak tinggalkan,” katanya.
Katanya, mereka tidak mahu dilihat sebagai golongan rasis yang hanya bersama dengan satu kelompok kaum sahaja.
“Kita kena duduk di bumi yang nyata. Di Malaysia ini, kawanlah pelbagai kaum, kalau sesuatu parti (perkauman) dianggap rasis, kita tak mahu perkara macam itu.
“Kita nak masuk parti dengan pembawaan pelbagai kaum,” katanya.
Jasa Zuraida jadi taruhan
Sejak 2008, Parlimen Ampang begitu sinonim dengan Zuraida selepas beliau menang kerusi itu dan berjaya mengekalkannya selama tiga penggal hingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
Bekas naib presiden PKR itu berjaya mengukuh kedudukannya dengan meraih majoriti 41,956 berbanding 13,378 dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) sebelumnya.
Disebabkan itu, Pegawai Pusat Khidmat Parlimen Ampang, Salmah Ismail yakin Zuraida boleh kekal kedudukannya di kerusi itu untuk PRU15.
“Fokus kita dah tentu untuk memenangkan dan mengekalkan Zuraida, kami di bawah pusat khidmat dia, dia dah buktikan khidmat kepada masyarakat di sini.
“Masyarakat pun lebih senang dengan perkhidmatan Zuraida, kami berada di bawah dan kami tahu sejauh mana penerimaan masyarakat kepada Zuraida, kalau tidak takkan sampai tiga penggal,” katanya.
Bekas ketua wanita PKR Ampang itu juga berkata, kemenangan Zuraida semestinya kerana sokongan pengundi dari pelbagai parti dan bukan dari PKR semata-mata.
“Zuraida menang (selama ini) tak semestinya (kerana) orang PKR sahaja yang undi dia. Kemenangan itu juga datang daripada parti lain, ahli Umno atau PAS.
“Masyarakat pandai menilai, mereka melihat pemimpin yang bertanggungjawab, pilihan dan khidmat Zuraida sendiri masyarakat terima dengan baik.
“Landskap politik berbeza tetapi kita kekalkan dengan cara kita. Zuraida dengan perkhidmatan yang sama, tidak ada pengundi yang dikecualikan.
“Apa parti pun kita bantu dengan sebaik mungkin. Kalau mereka layak kenapa tak kita bantu kerana mereka mengundi Zuraida juga,” katanya.
Salmah turut menegaskan, dakwaan bahawa Zuraida terlibat dengan PBM juga tidak benar.
“Kami di bawah penggerak komuniti negara, 100% dengan NGO ini. Disebut PBM ada kaitan dengan Zuraida, tidak ada. Hanya digembar-gemburkan,” katanya.
Kelebihan kepada PKR
Penyelaras PKR Dewan Undangan Negeri (DUN) Lembah Jaya Daing Muhammad Reduan Bachok pula melihat situasi semasa tidak memihak kepada Zuraida walau dengan penubuhan PBM.
Beliau menjangkakan persaingan di Ampang terbuka dan peluang terbuka buat parti yang bersungguh-sungguh bekerja keras menarik perhatian pengundi di situ.
“Ada sedikit rasa tidak percaya pengundi kepada PKR selepas episod Langkah Sheraton, tetapi sebagai parti kita terangkan kepada mereka apa yang berlaku.
“Pengkhianatan bukan dilakukan parti, tetapi individu. Mereka pilih jalan keluar daripada PKR dan bentuk Perikatan Nasional, sekarang dah pecah lagi, tertubuh PBM,” katanya.
PKR bukan sahaja hilang kerusi Parlimen Ampang tetapi juga dua kawasan DUN di bawahnya – Bukit Antarabangsa bawah Mohamed Azmin Ali dan Lembah Jaya diwakili Haniza Talha.
Azmin yang merupakan antara penggerak Langkah Sheratorn bagaimanapun kekal dalam Bersatu sebagai naib presiden manakala Haniza pula yang didakwa dalam kem Zuraida menyertai PBM.
Daing berpendapat, tindakan Azmin dan Zuraida untuk terus kekal dalam Bersatu hanyalah untuk memelihara jawatan kabinet masing-masing.
“Walaupun dia (Zuraida) tiada dalam senarai (kepimpinan PBM) tetapi leftenan (orang kanan) dia semua ada dalam PBM.
“Secara matematik Zuraida jadi menteri atas tiket Bersatu. Kalau dia keluar, Bersatu akan ambil kerusi menteri. Itu sebab dia tak keluar. Ini yang berlegar di bawah,” dakwa Daing.
Situasi itu dakwa Daing jelas melihatkan Zuraida tempang di Ampang, lebih-lebih lagi kerana akar umbinya kini terpecah dua kepada kumpulan yang bersama Bersatu dan PBM.
“Itu agak memberi kelebihan kepada PKR, kita tiada isu di peringkat akar umbi. Sekarang teras kita dah jelas.
“Yang menjadi masalah mereka, Bersatu dan PBM, pasukan Zuraida dah pecah. Ada yang kekal dalam Bersatu ada yang keluar, jadi kekuatan Zuraida makin kecil itu yang berlaku sekarang.
“Itu saya boleh sahkan. Sekarang mereka bergaduh sesama sendiri,” katanya.
Katanya, PKR sudah mengukuhkan kedudukan mereka, malah yakin untuk mengembalikan kerusi tersebut kepada mereka.
Daing berkata, ini kerana program rakyat kerajaan negeri Selangor mampu menjadi peluru ampuh menambat hati pengundi.
Selain itu PKR juga sudah meletakkan barisan pimpinan pengganti yang diketuai exco kerajaan negeri Selangor Rodziah Ismail sebagai penyelaras PKR di Parlimen Ampang.
Turut dilihat mencuba nasib, bekas pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Hans Isaac yang aktif bergerak di peringkat akar umbi melalui NGO Kita Budak Ampang.
Pelakon tersebut yang menyertai PKR pada Februari tahun lalu turut memperkenalkan lagu dan klip video “Kita Budak Ampang” di laman video YouTube.
Dari segi pencalonan dalam pilihan raya, Daing melihat kelebihan berada di pihak Rodziah namun keputusan akhir akan ditentukan pimpinan pusat, katanya.
“Kalau ikut saluran parti Rodziah adalah penyelaras Parlimen Ampang, dia satu kaki ke depan berbanding Hans tapi siapa sahaja boleh bergerak dan tuntut tapi parti yang akan tentukan siapa.
“Hans juga bergerak dan dia ada pasukan yang bagus. Kita juga bekerjasama. Kita terbuka kepada mana-mana yang berminat tetapi kalau ikut saluran parti Rodziah yang ada kelebihan,” katanya.
Pengundi marah Zuraida
Pengundi Ampang yang ditemui The Malaysian Insight mengakui marah dengan tindakan Zuraida bersama beberapa pemimpin PKR yang lain bertindak menumbangkan kerajaan PH.
Sikap mereka bercampur baur sama ada akan mengundi Zuraida lagi, namun yang pasti imej PKR dilihat lebih ke hadapan mendahului sentimen pengundi kepada Zuraida.
Seorang kakitangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Ahmadi Ramlan memberitahu The Malaysian Insight, beliau tidak akan mengundi Zuraida lagi.
Ahmadi berkata, beliau kecewa melihat episod Langkah Sheraton berlaku selepas memilih Zuraida dalam pilihan raya umum lepas.
Sedangkan, beliau mengundi Zuraida kerana bekas ketua wanita PKR itu bertanding atas tiket gabungan PH, katanya.
“Saya mengundi Zuraida kerana dia mewakili PH, tetapi saya tidak boleh menerima tindakan dia melompat parti,” tambahnya.
Seorang lagi pengundi Siti Salwani Abdul Rahman berkata, walaupun kecewa dengan tindakan Zuraida, beliau akan tetap memilih menteri itu atas khidmat cemerlangnya menguruskan kawasan.
“Bagi saya Zuraida memang menjalankan tugasnya dengan cemerlang, walaupun saya secara peribadinya memang rasa kecewa apabila dia meninggalkan PKR dan menyertai Bersatu.
“Tetapi dia telah menjalankan tugasnya dengan baik, senang didampingi oleh pengundi bila diperlukan.
“Saya menyenangi keperibadian beliau sebagai seorang wakil rakyat dan pasti saya akan mengundi beliau,” kata pesara kakitangan awam itu.
Kedua-dua mereka juga yakin PKR mampu kembali meletakkan wakil mereka di Ampang. – 18 Januari, 2022.