Iklan

Kenapa Ismail Sabri berdiam diri kes Azam Baki, tanya Ramasamy

Raevathi Supramaniam3 years ago19th Jan 2022Berita
49936391933 59cd3b995c o
Pemimpin DAP P Ramasamy hari ini mempersoalkan sikap berdiam diri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob (gambar) terhadap isu ketua agensi antirasuah Azam Baki, berkata ia memberi gambaran salah terhadap orang ramai. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Januari, 2022.
Iklan

PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob sepatutnya berusaha selesaikan kemelut ketua pesuruhjaya agensi antirasuah Azam Baki, bukannya berdiam diri tentang isu kepentingan negara tersebut, kata pemimpin DAP P. Ramasamy hari ini.

Timbalan ketua menteri II Pulau Pinang itu berkata perdana menteri seolah memberi gambaran buruk kepada rakyat apabila tidak segera bertindak terhadap dakwaan ke atas ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu.

“Kenapa Ismail berdiam diri tentang perkara melibatkan kepentingan negara ini?

“Beliau nampaknya tidak tergesa-gesa untuk tubuhkan panel siasatan bagi membuktikan Azam Baki bersalah atau tidak.

“Gagal bertindak tegas memberi gambaran salah kepada mereka yang berada dalam perkhidmatan awam.

“Masa semakin suntuk, siasat atau tidak, isu Azam Baki nanti akan terbenam,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas keputusan Suruhanjaya Sekuriti (SC) semalam, Ramasamy berkata SC seolah-olah telah menyerah kalah selepas pegawai tertingginya disiasat SPRM.

Dalam satu kenyataan semalam SC berkata ia tidak dapat merumuskan Azam Baki melanggar undang-undang apabila membenarkan akaunnya digunakan oleh orang lain untuk urus niaga saham.

SC memaklumkan ia sudah selesai menyiasat kes Azam mengikut Seksyen 25(4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA).

Seksyen 25 itu menetapkan sesebuah akaun urus niaga saham hendaklah dibuka atas atas nama pemilik sekuriti atau penama yang diberi kuasa.

Azam Baki sebelum ini mendedahkan adiknya menggunakan akaun dagangannya untuk membeli saham daripada dua syarikat.

Saham itu kemudian sudah dipindahkan kepada adiknya.

Beliau didakwa memiliki 2.15 juta saham dalam Excel Force MSC Bhd serta 1.93 juta sama Gets Global Sdn Bhd pada 2015 dan seterusnya 1.02 juta saham lagi pada tahun berikutnya.

Azam Baki pada masa itu memegang jawatan pengarah penyiasatan SPRM.

Susulan keputusan SC semalam, Azam Baki berkata beliau bersyukur kerana SC telah membersihkannya daripada salah laku.

Sementara itu, 17 kumpulan masyarakat sivil dan lapan parti politik akan turun ke jalan raya pada Sabtu ini bagi membantah keputusan terhadap Azam Baki.

Kumpulan itu menuntut Azam Baki ditangkap dan didakwa serta-merta selain menggesa SPRM dirombak dan diletakkan di bawah pengawasan Parlimen. – 19 Januari, 2022.

Iklan
Iklan