Iklan

Analisis sampel produk kopi berperisa durian dijangka selesai dalam seminggu, kata KKM

Yasmin Ramlan7 years ago5th Feb 2018Berita
Durian instant coffee facebook 05022018  full
Menteri Kesihatan Dr S.Subramaniam menasihatkan orang ramai supaya jangan mengambil edaran sachet kopi berperisa campuran yang dipercayai menjadi punca tujuh orang  terpaksa dirawat di hospital. – Gambar Fecebook, 5 Februari, 2018.
Iklan

ANALISIS sampel produk kopi berperisa campuran yang dipercayai menjadi punca tujuh orang  terpaksa dirawat di hospital dijangka akan selesai dalam tempoh seminggu, kata Menteri Kesihatan Dr S.Subramaniam.

Berikutan daripada insiden terkini apabila dua pemandu lori sampah yang menjadi mangsa terbaru kopi tersebut, Dr Subramaniam menasihatkan supaya orang ramai tidak meminum atau membeli produk kopi segera berkenaan yang masih berada di pasaran.

“Tidak lama lagi mungkin dalam seminggu akan keluar analisa sampel kopi campuran.

“Tapi saya nasihatkan kepada rakyat untuk jangan ambil edaran sachet ini. Kalau lebih selamat jangan beli dan minum produk ini sehingga sampai semua siasatan sudah selesai dan kita tahu tidak ada masalah di dalam proses pengilangan dan pengedaran,” katanya pada sidang media Minggu Kanser Sedunia di Temple of Fine Arts di Brickfields, Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kejadian apabila dua lelaki tersebutpada Sabtu lalu  dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mengalami pening dan muntah selepas meminum kopi campuran yang sama oleh lima mangsa yang terdahulu.

Lima lagi mangsa, termasuk dua wanita berusia 19 dan 62 tahun, jatuh sakit antara 27 Januari dan 30 Januari selepas meminum minuman kopi berperisa durian.

Tambahnya lagi, penjualan kopi campuran yang disyaki mengandungi bahan asing itu tidak boleh dihentikan selagi tiada bukti kukuh produk tersebut bahaya.

Terdapat kecurigaan bahawa ianya terdapat kaitan dengan sindiket yang bergerak di Pulau Pinang masa kini.

“Sekarang kita tidak ada bukti kerana ini nampak macam tindakan jenayah apabila disyaki bungkusan kopi yang diminum mereka dan diberikan oleh orang yang tidak dikenali dibuka dan digam semula,” katanya.

Sebelum ini Dr Subramaniam berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak akan memanggil balik produk kopi tersebut berikutan tiada bukti pencemaran produk itu berpunca dari pengilang.

Bagaimanapun, pihak berkuasa makanan di Singapura telah menarik balik produk berkenaan daripada pasaran, sementara siasatan dijalankan. – 5 Februari, 2018.

Iklan
Iklan