Iklan

Agensi jangka umrah dibenar semula tengah Februari

Diyana Ibrahim3 years ago20th Jan 2022Berita
Umrah covid-19 41020 afp
Arab Saudi mengeluarkan syarat jemaah berusia 18 hingga 60 tahun untuk menunarikan umrah yang menyebabkan ramai bakal jemaah Malaysia terkandas walaupun bayaran sudah dibuat. – Gambar AFP, 20 Januari, 2022.
Iklan

IBADAH umrah dijangka dibenarkan semula pada pertengahan Februari selepas ditangguhkan awal bulan lepas kerana penularan jangkitan Omicron, kata persatuan agensi pelancongan umrah.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) Razali Mohd Sham berkata ia dinyatakan Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dalam satu pertemuan semalam.

“Apa yang kita diberitahu ibadah umrah mungkin akan dibenarkan semula pada pertengahan Februari.

“Kemudian ada beberapa perkara lagi yang dibincangkan semasa pertemuan semalam seperti tempoh kuarantin dan pilihan hotel,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Papuh menjangka anggotanya terpaksa menanggung kerugian RM60 juta sebulan akibat penangguhan tersebut dan angka itu meningkat sehingga RM200 juta jika berterusan tiga bulan lagi.

Mereka sudahpun menerima pendaftaran seramai 10,000 jemaah untuk menunaikan umrah yang sepatutnya bermula bulan ini.

Ahli Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera (Bumitra) Mohd Ali Abd Razak pula menambah, Khairy memaklumkan ia akan dibawa dalam mesyuarat kabinet untuk diluluskan.

“Yang kita dengar dalam mesyuarat tersebut begitulah. Menteri kata pertengahan Februari akan dibenarkan semula melakukan ibadah umrah.

“Tapi akan jumpa dan bawa dulu dalam kabinet mungkin minggu depan kerana perkara ini masih dalam perbincangan.

“Pelbagai sudut dilihat kementerian kesihatan kerana ia melibatkan kemaslahatan kesihatan juga faktor ekonomi juga,” katanya yang menjangka keputusan muktamad diketahui hujung bulan ini.

Pertemuan dengan Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya semalam berlangsung selepas persatuan berkenaan menuntut penangguhan umrah ditarik balik.

Sebaliknya, kerajaan hanya perlu memperketat prosedur operasi standard (SOP) untuk amalan umrah.

Mohd Ali berkata beliau dalam pertemuan itu menegaskan isu SOP yang menurutnya perlu selari dengan amalan di Arab Saudi.

Selain tanggungan untuk kos kuarantin dan bayaran balik kepada jemaah ekoran penangguhan umrah turut dibangkitkannya.

“SOP memang akan diperketatkan tapi ia perlu selari dan kos kuarantin mungkin akan ditangguh agensi atau jemaah,” katanya.

Tambahnya, agensi umrah kini menerima banyak tuntutan dari jemaah ekoran kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Idris Ahmad pada Oktober yang mahu wang jemaah dipulangkan semula.

Kenyataan Idris itu selepas Arab Saudi mengeluarkan syarat untuk menerima jemaah berusia 18 hingga 60 tahun untuk menunarikan umrah.

Ia menghalang ramai bakal jemaah dari Malaysia berusia lebih 60 tahun dari menunaikan umrah walaupun bayaran sudah dibuat.

Mohd Ali berkata dalam pertemuan itu Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Nancy Shukri memberi jaminan bahawa Idris akan berunding dengan kerajaan Arab Saudi mengenai isu itu.

Selain itu Mohd Ali berkata turut membangkitkan isu manipulasi dalam aplikasi MySejahtera ekoran pembongkaran kes penipuan sijil vaksin.

Beliau berkata ia memberi kesan buruk kepada pengendali umrah sedangkan mereka sendiri tidak tahu mengenai penipuan tersebut.

Mohd Ali tidak yakin dengan penjelasan menteri bahawa tiada manipulasi berlaku dalam penggunaan aplikasi MySejahtera berhubung pengeluaran sijil vaksin.

Tapi penipuan itu berlaku kerana ada klinik swasta yang diberi kebenaran untuk menyuntik vaksin tapi menyalah guna kuasa tersebut.

“Jika itu berlaku apa yang kita cadangkan kerajaan wajar untuk menarik semula kebenaran suntik vaksin kepada klinik swasta.

“Biarlah ia diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan, supaya kes penipuan vaksin dapat dikawal,” katanya.

Selain Papuh dan Bumitra, pertemuan itu turut dihadiri Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta). – 20 Januari, 2022.
 

Iklan
Iklan