Lebih 1,200 sijil vaksin disekat di MySejahtera, kata polis
Iklan
SEBANYAK 1,223 sijil vaksin disekat di aplikasi MySejahtera melibatkan pengguna yang mendapatkan sijil palsu dari sebuah klinik swasta di Marang, kata polis Terengganu.
Ketua pasukan itu Rohaimi Md Isa berkata tindakan tersebut dilakukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hasil siasatan berhubung penipuan sijil vaksin di klinik tersebut.
“Setakat ini sememangnya dipastikan 1,223 nama dikemukakan pihak vendor untuk keluarkan sijil vaksin dalam MySejahtera.
“Namun saya dimaklumkan kesemua nama dalam MySejahtera yang berasal dari klinik tersebut tersebut disekat KKM,” katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
Beliau berkata polis turut dihubungi syarikat swasta termasuk kerajaan yang mengesyaki pekerja mereka mendapatkan sijil vaksin di klinik tersebut.
“Bagi kes itu ia diuruskan secara dalaman oleh pihak pengurusan syarikat. Cuma kita dihubungi oleh mereka yang memaklumkan mengesyaki pekerja mereka turut terlibat dapatkan sijil vaksin palsu.
“Saya percaya tindakan akan diambil oleh pengurusan syarikat terhadap pekerja mereka,” katanya.
Setakat ini katanya, polis telah tujuh suspek berkaitan kes tersebut namun mereka dilepaskan.
Beliau berkata tiada penahanan terbaru dibuat selain pihaknya selesai mengambil keterangan 23 saksi.
Mengulas mengenai dua laporan polis yang dibuat pengadu mendakwa ditipu, beliau berkata polis mengambil keterangan mereka sebagai saksi. – 20 Januari, 2022.