Iklan

Dr Mahathir stabil, respons baik kepada rawatan, kata Marina

Raevathi Supramaniam3 years ago22nd Jan 2022Berita
Ijn tun m baki tmi 02
Dr Mahathir Mohamad dalam keadaan stabil di Institut Jantung Negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 22 Januari, 2022.
Iklan

BEKAS perdana menteri Dr Mahathir Mohamad dalam keadaan stabil dan memberi respons baik kepada rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), kata anaknya Marina Mahathir hari ini.

“Sejak dua hari yang lepas, Tun Dr. Mahathir Mohamad dirawat di Institut Jantung Negara lanjutan prosedur elektif yang berjaya dilaksanakan pada 8 Januari, 2022.

“Keadaan beliau kini stabil dan memberi respons yang baik kepada rawatan tersebut. Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali serta keluarga memohon agar rakyat mendoakan supaya beliau segera sembuh sepenuhnya,” kata Marina dalam satu kenyataan media.

Awal petang tadi, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob turut dilihat tiba di IJN untuk melawat pemimpin itu.

Menerusi Twitternya, Ismail berkata beliau melawat Dr Mahathir dan berjumpa dengan Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

“Saya harap keluarga Dr Mahathir akan terus kekal kuat,” tweet perdana menteri itu. 

Ahli Parlimen Langkawi itu, 96, dimasukkan untuk prosedur perubatan elektif ke IJN pada 7 Januari, dan dibenarkan keluar pada 13 Januari.

Beliau dimasukkan untuk “pemeriksaan perubatan penuh dan pemerhatian lanjut” ke institut yang sama bulan lepas.

Perdana menteri dua kali itu mempunyai sejarah penyakit jantung, mengalami serangan jantung pertamanya ketika usia 64 tahun pada 1989.

Beliau mengalami dua lagi serangan jantung pada 2006, dan menjalani pintasan empat kali ganda.

Dr Mahathir dirawat kerana jangkitan dada pada November 2013, dan sekali lagi dimasukkan ke IJN dengan penyakit yang sama pada Ogos 2016. – 22 Januari, 2022.

Iklan
Iklan