Iklan

Industri pelancongan Sarawak mulai pulih tetapi waspada impak Omicron

Desmond Davidson3 years ago24th Jan 2022Berita
Kuching tourim tourist 49935157382 4f77767942 b
Kerajaan Sarawak melancarkan pelbagai inisiatif pelancongan bagi membantu dan menghidupkan kembali sektor pelancongan negeri itu yang terjejas akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Januari, 2022.
Iklan

PELANCONG dilaporkan akan kembali ke Sarawak walaupun mereka mungkin terdiri di kalangan pelancong domestik.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan negeri Abdul Karim Hamzah berkata statistik ketibaan pelancong bagi Disember tahun lepas menunjukkan lonjakan 500% berbanding bulan yang sama pada 2020.

“Keadaan semakin baik. Orang ramai datang. Mereka mungkin bukan pelawat antarabangsa tetapi penduduk Malaysia Barat dan Sabah yang datang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Walaupun lonjakan mendadak, pemain industri negeri itu waspada terhadap kebangkitan pantas industri yang mereka gambarkan sebagai “yang pertama tenggelam dan yang terakhir timbul” dalam wabak yang memberi tamparan hebat kepada sektor itu.

Presiden Persekutuan Pelancongan Sarawak (STF) Audrey Wan Ullok merumuskannya dengan berkata kepada The Malaysian Insight “optimis  dengan berjaga-jaga” dengan memberi perhatian terhadap  kesan yang ditimbulkan oleh varian Omicron di seluruh dunia.

STF ialah organisasi memayungi industri pelancongan dan pengembaraan negeri.

Pemilik hotel bajet Kuching berkata walaupun sekatan kemasukan ke negeri itu sudah ditarik balik atau dilonggarkan oleh badan pemerhati pandemik negeri, lembaga pengurusan bencana negeri, industri masih bimbang tentang kes Covid-19 yang tinggi di Eropah - kebangkitan semula disebabkan oleh varian Omicron.

“Eropah adalah pasaran tradisi kami,” katanya.

“Kelonggaran sekatan kemasukan dialu-alukan tetapi ia masih keadaan yang tidak stabil.”

Beliau juga mendedahkan yang Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif & Seni Persembahan negeri sedang berusaha untuk mengadakan laluan perjalanan vaksin (VTL) antara Sarawak dan Singapura, satu langkah yang disifatkannya sebagai positif.

Namun, tanpa sebarang tanda pelancong asing akan datang dalam masa terdekat, Ullok berkata industri itu perlu memberi tumpuan kepada “jangka pendek, ketibaan domestik dari Malaysia Barat - penduduk tempatan dan ekspatriat yang berpangkalan di sana- buat masa ini”.

Ullok berkata beliau tidak menjangkakan pengembara jarak jauh Eropah tahun ini.

Sebagai sebahagian daripada usaha pemasaran negeri di Semenanjung, pada Rabu lepas Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) melancarkan program jelajah khasnya “Sia Sitok Sarawak” di Kuala Lumpur.

Kempen perjalanan antara negeri Sia Sitok Sarawak Plus adalah untuk memberi peluang kepada penduduk Malaysia Barat melawat Sarawak melalui pintu masuk pelancongan utamanya - Kuching, Sibu dan Miri, dengan Malaysia Airlines sebagai syarikat penerbangan rasmi.

Program Sia Sitok Sarawak bermula sebagai program untuk mempromosikan pelancongan domestik antara negeri di kalangan rakyat dan pemaustatin Sarawak.

Di bawah pakej versi 1 dan 2 program antara 2020 dan 2021, rakyat Sarawak atau penduduk asing di negeri ini hanya membayar 50% daripada kos pakej pelancongan mereka.

STB menampung 50% kos lagi.

Diskaun melibatkan lebih kurang 60 pakej pelancongan.

Idea ini adalah untuk membantu ejen pelancongan Sarawak memperoleh beberapa perniagaan semasa wabak.

Kemudiannya Penginapan Sia Sitok diperkenalkan.

Ia adalah untuk mempromosikan hotel di Sarawak dengan subsidi STB sebanyak 35% daripada harga hotel.

Sia Sitok Sarawak Plus yang dilancarkan pada Rabu dengan kerjasama MAS bagaimanapun tidak memberikan diskaun kepada pelancong Malaysia Barat.
Program itu sebaliknya disasarkan kepada ejen pengendalian Sarawak.

“Ejen Sarawak akan diberi insentif oleh STB jika mereka mengendalikan jumlah lawatan tertentu,” jelas Ullok.

“Insentif ini dinamakan Program Insentif VIP untuk Pelawat. Mana-mana ejen yang berdaftar dengan Matta dan STF boleh menyertai program ini.”

Sia Sitok Sarawak Plus menawarkan kira-kira 50 pakej.

Ullok berkata rakyat Sarawak harus menantikan pelancaran Sia Sitok versi 3 pada Mac. – 24 Januari, 2022.

Iklan
Iklan