Iklan

Tak tahan kos tinggi, ramai sewa atas sewa di PPR

Yasmin Ramlan7 years ago6th Feb 2018Berita
Ppr kampung limau kerinchi 20170816 hasnoor 014
Banyak keluarga sanggup menyewa atas sewa di rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) meskipun terpaksa mengambil risiko dihalau serta-merta oleh DBKL. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2018.
Iklan

SESETENGAH keluarga sanggup menyewa atas sewa di rumah pangsa Projek Perumahan Rakyat (PPR) meskipun terpaksa mengambil risiko dihalau serta-merta oleh pihak berkuasa.

Mereka terpaksa mengambil langkah itu kerana tidak sanggup lagi menanggung kos sewa rumah yang kian meningkat di ibu kota.

Bukan itu saja, penyewa yang ditemubual oleh The Malaysian Insight berkata, mereka sanggup membayar lebih dari dua kali ganda bayaran sewa yang sebenar iaitu RM124.

Ini kerana mereka tidak akan dapat menyewa rumah di apartmen lain di ibu kota dengan bayaran di bawah RM500 sebulan untuk seunit.

Bagi salah seorang penyewa yang menetap di sebuah PPR di Sentul, kos itu jauh lebih murah berbanding kadar sewa sehingga RM1,500 yang ditanggung untuk sebuah apartmen tiga bilik di Bandar Sunway sebelum ini.

“Jadi kalau setakat bayar RM450 sebulan berapalah sangat. Setakat ini sudah dua tahun tinggal di sini. Alhamdulillah belum kena apa-apa lagi (tindakan),” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Mazlin kerana bimbang dikesan.

Jumlah tersebut tidak merangkumi bayaran bil lain. 

Namun, katanya beliau terpaksa menanggung kos penyelenggaraan rumah memandangkan penyewa asal yang menyewa dengan DBKL tidak mempedulikan hal itu.

Beliau juga tidak lagi berniaga ayam madu kerana penduduk di kawasan penempatan PPR itu tidak mampu membeli produk jualannya.

“Cuma bezanya masa di Bandar Sunway dulu saya boleh berniaga ayam madu, sepaket RM2.50. Ramai yang beli.

“Tapi kalau di sini ramai orang miskin, bagi mereka harga murah macam itu pun mahal. Dulu pendapatan saya berniaga RM3,000 di (Bandar Sunway).

“Tapi sekarang terpaksa jadi suri rumah, jaga anak dan hanya mengharapkan gaji suami RM1,000 sebulan,” katanya.

DBKL boleh memberi notis 24 jam ke atas individu yang menyewa melalui DBKL dan penyewa kedua untuk mengosongkan premis terbabit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2018.

Seorang lagi penghuni yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 32, menyewa dengan bayaran RM300 sebulan untuk seunit di PPR Pantai Dalam, Kuala Lumpur.  

Walaupun apartmen tersebut hanya mempunyai satu bilik, tetapi bagi tiga beranak ini ia sudah mencukupi.

“Memang lif ada tapi rosak dan saya pernah naik dan turun tangga ke tingkat 16 masa mengandung dulu, tapi hendak buat macam mana.

“Kalau sewa bilik saja pun mana boleh dapat harga murah macam ini. Sudahlah di tengah bandar, lepas itu dekat dengan LRT. Ini pun dikira paling murah,” katanya.

Tak berjaya mohon PPR

Siti pernah terfikir untuk membayar lebih bagi mengelak daripada menghadapi masalah seumpama itu.

Mereka bimbang sekiranya “tertangkap” apabila pihak penguatkuasa membuat pemeriksaan.

Mazlin dan Siti berkata mereka sebelum ini pernah dan masih mencuba memohon untuk mendapatkan rumah PPR secara sah tetapi belum berjaya.

“Sekarang ini mohon secara sah melalui DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) tapi tengoklah dapat ke tidak.

“Sebab saiz rumah pun kecil, duduk pun dalam keadaan takut dan risau. Kami pula rancang untuk tambah keluarga,” kata Siti yang tinggal di rumah berkeluasan 750 kaki persegi itu.

Mazlin pula berkata beliau menghantar borang permohonan untuk menyewa PPR sendiri sejak tahun lalu namun status permohonan masih tidak diketahui.

“Sudah hantar tahun lepas. Di sini memang sewa atas sewa tapi saya sekeluarga kalau boleh lagi suka dapat rumah sendiri,” katanya.

Tidak sah tapi ramai mahu sewa

Seorang penyewa asal di PPR di Pantai Dalam, Karimah pula berkata dalam masa dua tahun saja, sudah ada 10 orang yang bertanya untuk menyewa di unitnya.

Mereka sanggup meletakkan harga bayaran bulanan dari RM400 sehingga RM600 untuk seluruh unit. Dan RM200 sebulan untuk sebilik.

“Saya pernah sewakan kepada dua orang untuk bilik sebelum ini kepada seorang ibu tunggal ada anak seorang. Tapi sekejap bayar, sekejap tidak. Kerja pun baru.

“Mula-mula niat nak tolong. Tapi lama-kelamaan bila dia tak bayar, saya halau keluar,” katanya.

Penyewa sanggup meletakkan harga bayaran bulanan dari RM400 sehingga RM600 untuk seluruh unit dan RM200 sebulan untuk sebilik di rumah pangsa PPR. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Februari, 2018.

Unitnya itu mempunyai dua bilik dan satu daripadanya disewakan. Tetapi beliau menyesal kerana keadaan rumahnya itu tidak dijaga dengan baik oleh penyewanya.

Wanita berusia 56 tahun itu berkata, kini beliau tidak lagi berani menyewakan kepada orang lain berikutan tindakan DBKL yang semakin tegas.

“Dulu saya tak takut sebab DBKL jarang buat pemeriksaan, tapi sekarang tak berani sebab DBKL tegas,” katanya.     

Tindakan serta-merta

Dalam kes seperti itu, DBKL boleh memberi notis 24 jam ke atas individu yang menyewa melalui DBKL dan penyewa kedua untuk mengosongkan premis terbabit.

Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL Wan Muhammad Ghazali Nor berkata pihaknya juga boleh merampas unit tersebut daripada penyewa asal serta-merta sekiranya didapati melanggar syarat.

“Kalau ada maklumat kita amat alu-alukan. Kita akan ambil tindakan terus.

“Kita juga ada buat gerakan sendiri dan membuat bancian berulang kali. Tapi untuk mempertingkatkan usaha, setiap blok dan unit PPR mempunyai ketua (ketua blok dan ketua unit) untuk pantau.

“Ketua blok dan ketua unit ini juga merupakan penghuni di situ, jadi mereka akan sediakan maklumat (sekiranya terdapat penghuni lain menetap),” katanya.

Katanya, pada tahun lalu saja, DBKL mengambil tindakan terhadap hampir 700 penyewa yang melakukan kesalahan sedemikian.

Tambahnya, ia termasuk kes menyewa kepada rakyat tempatan dan warga asing. – 6 Februari, 2018.

Iklan
Iklan