Iklan

5 tahun untuk pulih sektor pelancongan Terengganu 

Diyana Ibrahim3 years ago26th Jan 2022Berita
Redang farming 20210625 tmihasnoor 012
Pemulihan sektor pelancongan di Terengganu perlahan antara lainnya kerana pelancong tempatan bimbang penularan Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2022.
Iklan

SEKTOR pelancongan di Terengganu memerlukan sekurang- kurangnya lima tahun untuk pulih sepenuhnya  seperti sebelum pandemik Covid-19, kata Pengarah Tourism Malaysia Wilayah Timur Zuraini Abdul Ghani.

Pemulihan sektor pelancongan di Terengganu pada masa ini perlahan biarpun kerajaan menarik semula larangan rentas negeri pada Oktober lepas, katanya.

“Sebenarnya situasi ini bukan untuk Terengganu saja, Langkawi pun sama… kadar pemulihan masih perlahan.

“Kita boleh kata beginilah, jangkaan senario pelancongan di negara ini paling kurang pun perlu tempoh lima tahun untuk pulih seperti sebelum Covid-19,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pemulihan sektor pelancongan perlahan kerana sempadan negara masih ditutup kepada pelancong asing, tambahnya.

“Kita nampak jika buka sempadan negara kepada pelancong impak akan lebih besar, maksudnya perbelanjaan akan lebih besar dari segi pertukaran wang asing, tempoh duduk di hotel yang lebih lama.

“Berbanding pelancong domestik tempoh percutian mereka lebih pendek, paling lama pun dalam empat hari saja,” katanya.

Selain itu, sambutan pelancong domestik juga bergantung mengikut musim seperti cuti sekolah, perayaan atau cuti umum.

Pemulihan sektor pelancongan di Terengganu juga perlahan kerana pelancong tempatan bimbang penularan Covid-19, kata Zuraini.

Pelancongan adalah sektor kedua terpenting bagi Terengganu tetapi industri itu terjejas teruk kerana pandemik dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 2019, Terengganu menerima 5.9 juta pelancong domestik tetapi hanya 2.7 juta sahaja pada 2020. Tiada data kemasukan pelancong yang diterima The Malaysian Insight bagi tahun 2021.

Awal Januari, exco pelancongan Ariffin Deraman menyasarkan kemasukan tiga juta pelancong ke Terengganu pada tahun ini, iaitu dua juta lebih rendah berbanding tahun lepas, susulan keadaan yang tidak menentu.

Pada 2019, Terengganu menerima 5.9 juta pelancong domestik tetapi hanya 2.7 juta sahaja pada 2020.– Gambar fail The Malaysian Insight, 26 Januari, 2022.

Perlahan tapi stabil 

Mengulas lanjut Zuraini berkata pemulihan yang perlahan tidak boleh dilihat dari sudut negatif kerana Terengganu menunjukkan perkembangan memberangsangkan menarik pelancong domestik terutama ke destinasi pulau peranginan.

“Budaya melancong dalam negara sebenarnya berkembang dengan baik. Rakyat Malaysia sebenarnya nak melancong.

“Cuma seperti yang saya kata, sentimennya mereka masih berhati-hati kerana kes Covid-19 tidak menunjukkan penurunan tapi tidak juga menaik. Jadi pelancong masih akan tetap berhati- hati.

“Bagi saya kita masih merangkak perlahan-lahan untuk pulih. Hendak kata sektor pelancongan Terengganu akan pulih tahun ini, kita tidak sampai ke tahap itu tapi kita perlahan-lahan ke arah itu,” katanya.

Sementara itu, penggiat pelancongan pulau peranginan di Terengganu menunggu perkembangan tahun ini dengan penuh debar selepas kebanyakan mereka memilih tidak beroperasi tahun lepas biarpun kerajaan membenarkan rentas negeri.

Pemilik Redang Bay Resort Lim You Jing berkata beliau sedia membuka resortnya semula selepas tidak beroperasi selama tiga tahun.

“Sebelum ini saya ambil keputusan untuk tutup saja memandangkan kita cuma ada baki dalam dua ke tiga bulan sebelum pulau tutup kerana monsun.

“Sebab kalau kita buka kos operasi besar, jadi lebih baik kita tutup dan tumpu tahun ini saja,” katanya.

Bagaimanapun beliau berkata sambutan agak perlahan berdasarkan tempahan yang diterima kurang dari satu peratus bagi bulan Mac ini.

“Tapi masih terlalu awal lagi untuk kita buat jangkaan. Saya rasa kita akan dapat tahu keadaan sebenar selepas Tahun Baru Cina,” katanya.

Ujarnya lagi perkara itu terjadi mungkin kerana orang ramai masih tidak yakin meletakkan wang pendahuluan mereka kerana bimbang akan kerajaan akan mengenakan semula PKP.

Pengerusi Persatuan Pengusaha Resort  dan Pelancongan Pulau Perhentian Abdul Aziz Che Abdullah berkata beliau optimis sektor itu akan bernyawa semula pada tahun ini memandangkan rentas negeri sudah dibenarkan.

Beliau berkata biarpun sektor itu akan memakan masa yang lama untuk pulih namun ketika ini ia menunjukkan perkembangan yang sangat positif.

“Cabarannya tengok pada musim, sebab bila kita buka operasi Mac sebulan saja lepas itu puasa jadi kita jangka mungkin perlahan sikit. 

“Sebab itu nak pulih sepenuhnya kita tak tahu berapa lama diperlukan tengok pada jumlah pelancong yang datang, tapi Insya-Allah memang tahun ini harapan untuk penggiat pelancong di pulau ini,” katanya. – 26 Januari, 2022. 

Iklan
Iklan