Iklan

Ledakan kedai kopi hipster di Terengganu ketika pandemik

Diyana Ibrahim3 years ago27th Jan 2022Berita
Kupi
Fazura Fauzi, 35, mengusahakan kedai kopi hispter di Kuala Terengganu bersama adiknya. – Gambar The Malaysian Insight, 27 Januari, 2022.
Iklan

TREND kedai kopi hipster yang biasanya dapat dilihat di bandar besar kini mula menular ke bandar kecil, seperti di Kuala Terengganu dengan kebanyakannya dipelopori oleh anak muda.

Malah kemunculannya semakin rancak semasa pandemik Covid-19 melanda negara ketika kerajaan tidak membenarkan perjalanan rentas negeri kerana sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mohd Azli Yah, 42, pemilik rangkaian Kedai Kopi Payong menyifatkan kedai kopi hipster di Kuala Terengganu tumbuh seperti cendawan selepas hujan dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini.

“Mungkin kerana larangan rentas negeri, orang Terengganu tak boleh keluar jadi mereka perlu tempat untuk melepak, di mana lagi yang mereka boleh pergi.

“Disebabkan itu kita nampak selepas PKP, pertumbuhannya sangat rancak terutama setahun lepas, walhal dulu di Kuala Terengganu budaya kopi tidaklah popular mana.

“Kalau kita tengok sebelum pandemik, trendnya lebih kepada minuman teh ais. Kalau kopi ini sangat jarang kecuali di Kemaman,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Melihatkan potensi itu, anak jati Terengganu itu berkata beliau lalu ikut mencuba nasib membuka kedai kopi pada Mac lepas

Pendapatannya sebagai jurugambar bebas yang terjejas kerana pandemik juga antara faktor yang mendorong beliau mengusahakan perniagaan tersebut.

Mohd Azli membuka kedai kopi hipster pertama di Bukit Payong dengan modal RM6,000. Usahanya berhasil, dan sekarang beliau mempunyai lima cawangan kedai kopi dengan 13 pekerja.

Kopi untuk semua

Sama seperti perniagaan lain, beliau menganggap cabaran berniaga kedai kopi ialah memastikan harga secawan kopi tidak membebankan pembeli, memandangkan kuasa beli di bandar kecil jauh lebih rendah berbanding di bandar besar seperti Kuala Lumpur atau Pulau Pinang.

Oleh itu, beliau tidak menggunakan mesin seperti kedai kopi lain, sebaliknya membuat kopi menggunakan kopi kampung sahaja.

“Sebab itu harga kopi kita tidak mahal macam kedai kopi premium lain, kita jual kopi paling murah bermula RM3.50 dan paling mahal dalam RM8.

“Itu hasrat kita sebenarnya… kita hendak budaya kopi ini untuk semua kerana kalau kita tengok kopi hanya terkenal dalam kalangan dewasa tapi yang budak -budak ini mereka jarang menggemari kopi.

“Kerana itu kita pelbagaikan minuman kopi yang seleranya sesuai dengan budak -budak dan anak muda. Jadi kopi kampung ini selain dari kos jimat berbanding kopi premium ia boleh diterima semua.

“Senang cerita kopi kami ini untuk mereka yang baru mula berjinak-jinak dalam budaya kopi ini,” katanya.

Fazura Fauzi, 35,  membuka kedai kopi hispternya di flat PPR Hiliran sejak Disember lepas.

Pemilik kedai kopi Kisah Manis itu berkata sebelum ini dia menjual sushi di sebuah pasar raya di Kuala Terengganu namun terpaksa menutup operasi perniagaannya.

“Sejak pandemik, kiosk saya sudah banyak kali kena tutup tapi sewa kena bayar juga. Jadi saya memang dah tak boleh nak tanggung kerugian.

“Jadi saya tutup kiosk sushi saya dan beralih buka kedai kopi dengan sewa yang lebih murah sebanyak RM500 sebulan. Lagipun ini memang impian saya nak buka kedai kopi,” katanya.

Beliau mengeluarkan modal sebanyak RM10,000 bagi memulakan perniagaan dan belajar cara membancuh kopi melalui YouTube.

Pada masa ini, Fazura mengaku sambutan yang diterimanya agak suram kerana mereka baru saja memulakan perniagaannya ditambah persaingan sengit.

“Saya anggap inilah cabarannya, sebab kita baru sebulan buka, masih baru. Modal kita pun tidaklah sebesar seperti lain. Tapi tapi saya percaya lama kelamaan kedai kopi saya akan dikenali juga.

“Kerana itu saya letak nama kedai ini Kisah Manis. Sebab saya nak ambil semangat positif. Tahun lepas 2020 dan 2021 merupakan tahun yang sangat mencabar buat saya banyak sangat kisah sedih. Jadi tahun ini kita nak kisah manis saja,” katanya.

Pemilik kafe Pastel MonoMY Nur Sarah Adlina Mohammad pula mengganggap rezeki berpihak kepadanya melihatkan sambutan yang mengalakkan dalam tempoh setahun beroperasi.

Gadis berusia 26 tahun itu berkata pada mulanya dia hanya mahu menumpukan perniagaan menjual pastri dan kek dengan hanya melalui perkhidmatan bayar waktu terima (COD).

“Tak ada rancang pun, pada awalnya saya jual aksesori secara dalam talian tapi kurang dapat sambutan.

“Kemudian saya pun cuba belajar secara talian cara buat kek, pastri semasa PKP pertama dan selepas itu saya mula menjual melalui COD.

“Bermula dari situ sambutan sangat mengalakkan. Saya boleh jual dalam RM50 hingga RM200 sekotak kek satu hari,” katanya.

Nur Sarah berkata melihatkan sambutan itu, dia mengembangkan perniagaannya dengan mengubahsuai sebuah lot rumah milik keluarganya untuk dijadikan kafe.

Dia juga cuba mengetengahkan hiasan dalaman mengikut  trend cita rasa anak muda sebagai tarikan datang ke kafenya.

Beliau memulakan perniagaannya dengan modal RM10,000 termasuk geran RM3,000 daripada kerajaan negeri. Selebihnya adalah wang keuntungan hasil jualan kek dan pastrinya.

“Memang modal kita tak besar sebab kita buat sikit- sikit dulu. Masa mula buka kedai kita cuma ada lima meja sahaja.

“Ruang pun tak besar, dan kemudian dari hasil untung kita tambah sikit- sikit beli peralatan, dan pada mulanya kita tak nak jual kopi pun tapi sebab permintaan tinggi jadi kita pun buatlah.

“Bagi saya kopi dan kek itu pakej. Orang tak datang hanya semata-mata nak makan kek dan pastri mereka mahukan kopi juga begitu juga sebaliknya, ia saling melengkapi,” katanya. – 27 Januari, 2022.

Iklan
Iklan