Boleh kurang kuota balak jika Kelantan langgar catuan, kata menteri
Iklan
KUOTA pengeluaran balak negeri Kelantan boleh dikurangkan sekiranya penebangan hasil itu didapati melepasi catuan ditetapkan, Kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kontroversi yang timbul mengenai kemusnahan habitat haiwan liar yang didakwa berlaku akibat penebangan hutan di negeri itu.
Katanya, kerajaan akan menyemak sekiranya penebangan di Kelantan melepasi Catuan Tebangan Tahunan (CTT).
“Semua negeri ada diberikan CTT. Memang setiap negeri ada kuota pembalakan. Jadi kita akan semak sama ada CTT (Kelantan) melepasi paras ditetapkan atau tidak.
“Bagi negeri yang melepasi paras CTT, kerajaan boleh mengurangkan jumlah kuota,” katanya kepada wartawan selepas satu program di Dungun, Terengganu.
Katanya, isu yang dibangkitkan adalah pembalakan secara tersusun melibatkan CTT yang ditetapkan kerajaan persekutuan.
“Jadi kalau setiap pembalakan ikut CTT ini jadi ia akan beri manfaat pada ekosistem termasuk harimau,” katanya.
Kontroversi timbul selepas Pengarah Perhutanan Kelantan Muhamad Rasani Ramli yang dilaporkan menyebut kajian mengenai kebaikan usaha pembalakan kepada harimau.
Menurut Muhamad Rasani, pembalakan di kawasan hutan pengeluaran itu akan menyebabkan tumbuhan baharu muncul dan kehadiran haiwan yang boleh menjadi mangsa harimau.
Kenyataan itu mengundang pelbagai kritikan, antaranya dari NGO perlindungan alam sekitar seperti Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (PEKA) yang turut meragui amalan CTT di Kelantan.
Kenyataan Mohammad Rasani bagaimanapun disokong Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah yang berkata pembalakan itu teratur dan lestari mengikut ketetapan Majlis Tanah Negara.
Mohd Amar juga menolak dakwaan bahawa harimau keluar ke kawasan penempatan disebabkan pembalakan kerana menurutnya tiada haiwan lain seperti gajah dan beruang berkeliaran di perkampungan Orang Asli. – 27 Januari, 2022.