Saksi 1MDB tidak didakwa kerana perjanjian dengan pendakwaan, kata peguam Najib
Iklan
PEGUAM Najib Razak hari ini mendakwa bekas ketua pegawai kewangan (CFO) 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Azmi Tahir tidak didakwa atas sebarang kesalahan kerana beliau telah membuat perjanjian dengan pihak pendakwaan.
Tania Scivetti berkata semasa perbicaraan rasuah RM2.28 bilion Najib membabitkan dana 1MDB di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, beberapa bekas pegawai syarikat telah didakwa kecuali Azmi.
Saksi pendakwaan, bekas CEO Shahrol Halmi dan bekas ketua pegawai operasi Mohd Hazem Abdul Rahman juga tidak didakwa, tambahnya.
Beliau juga berkata 16 pengarah dari Goldman Sachs juga telah didakwa.
“Shahrol, kamu dan Hazem tidak didakwa. Saya menyatakan kepada kamu bahawa kamu tidak didakwa kerana memberikan bukti terhadap Najib,” kata Scvetti.
Azmi menjawab beliau tidak pasti.
Apabila Scivetti mendesaknya untuk mendapatkan jawapan, Azmi berkata beliau tidak bersetuju dengan cadangannya.
Semasa keterangannya, Azmi berkata Low Taek Jho memainkan peranan dalam penerbitan bon AS$1.75 bilion untuk pembelian 1MDB terhadap Mastika Lagenda, yang memegang 75% kepentingan dalam Genting Sanyen Power Sdn Bhd.
Jasmine Loo yang merupakan pegawai undang-undang 1MDB dan Terence Geh yang merupakan pengarah kewangan syarikat itu turut mengambil arahan daripada Low mengenai pengumpulan dana itu, kata Azmi.
“Kamu bersetuju bahawa walaupun kamu menjadi pengarah 1MDB Energy (Langat) Ltd, dan kamu menandatangani perjanjian pengatur, kamu tidak didakwa?” tanya peguam itu kepada Azmi.
Azmi bersetuju bahawa beliau tidak didakwa, begitu juga dengan Shahrol.
Scivetti kemudian berkata bahawa bagi pihak mereka dalam mengumpul dana, Loo, Geh, Low dan Tim Leissner dari Goldman Sachs semuanya telah didakwa, namun, Azmi “entah bagaimana tidak”.
Terdahulu, Scivetti mencadangkan Azmi menerima rasuah daripada Leissner, yang merupakan bekas pengerusi Goldman Sachs Asia Tenggara, untuk jumlah wang yang besar yang dibayar kepada bank untuk mengatur bon 1MDB. Azmi turut menafikan perkara ini. https://www.themalaysianinsight.com/bahasa/s/363969
Najib berdepan tuduhan rasuah melibatkan RM2.28 bilion dana 1MDB. Beliau menghadapi 25 pertuduhan - empat untuk salah guna kuasa dan 21 untuk pengubahan wang haram - untuk kesalahan yang dilakukan antara 2011 dan 2013.
Kes itu dibicarakan di hadapan hakim Collin Lawrence Sequerah. Perbicaraan akan diteruskan pada bulan Mac. – 27 Januari, 2022.