Keluarga remaja Orang Asli hilang masih menaruh harapan
Iklan
SUDAH lebih dua minggu sejak Kamiliah Anab berusia sembilan tahun dari suku Jahai dari kampung Orang Asli Selaor di Hutan Simpan Temenggor, Perak hilang, namun ibunya masih menaruh harapan.
Kamiliah, lebih dikenali sebagai Ayeng di kalangan keluarga dan kawan-kawannya, keluar mencari rotan bersama nenek, datuk, makcik dan bapa saudaranya, tetapi tidak pernah pulang bersama mereka.
Dia hilang pada 13 Januari dan sehingga hari ini tiada sebarang tanda mengenainya ditemui walaupun usaha para penyelamat dan penduduk kampung untuk mencari dan menyelamat dilakukan.
“Sudah lebih dua minggu, tetapi saya yakin dia masih hidup. Bila-bila masa kita akan menemuinya,” kata ibunya Kasima Anab kepada The Malaysian Insight.
Mengimbau pada pagi 13 Januari, Kasima berkata dia tidak mahu Ayeng mengikut kumpulan itu ke hutan pada hari itu.
“Saya tidak mahu dia pergi ke hutan pada hari itu, tetapi dia berkeras dan mengamuk,” kata Kasima.
“Dia sangat rapat dengan neneknya dan dia mahu mengikut, jadi saya mengalah.”
Ayeng, yang kurang pendengaran dan kecacatan mental, sememangnya mempunyai kecenderungan untuk merayau sendirian, tetapi penduduk kampung sentiasa memerhatikannya kerana mengetahui perkara itu.
“Ada beberapa kali ketika kami pergi memancing, dia sesat dan saya terpaksa melaung untuk menyuruhnya pulang.
“Saya sentiasa memerhatikannya kerana saya tahu dia cenderung merayau.
“Sekarang saya tidak tahu apa yang berlaku, jika dia meninggal dunia, tiada mayat. Saya tidak boleh tidur atau makan memikirkan apa yang berlaku.
“Saya harap kita dapat menemuinya tidak lama lagi,” kata suri rumah itu.
Laluan masuk ke hutan adalah pendakian yang curam di kaki kampung dan mengambil masa selama tiga jam untuk sampai ke puncak.
Sesampai di sana, laluan Orang Asli pergi lebih jauh ke dalam bagi mencari rotan yang mereka jual untuk menyara kehidupan.
Datuk Ayeng, Ateng, 70, berkata dia berjalan di tengah-tengah kumpulan itu supaya mereka dapat memerhatikannya, namun, sesuatu yang tidak diingini akhirnya berlaku.
“Saya berjalan di belakang manakala neneknya berjalan di depan. Sebelum mendaki turun ke kampung, kami berhenti untuk mengikat semua rotan yang kami dapat dan dia berada berhampiran kayu besar, tetapi kami masih dapat melihatnya.
“Sebaik sahaja kami bersedia untuk turun semula, kami menyedari dia sudah hilang. Kami mengandaikan dia telah pulang dahulu tetapi apabila kami bertanya dengan ibunya, kami menyedari dia tiada di rumah.
“Penduduk kampung segera bergerak dan mencarinya.”
Pada pukul 7.30 malam, semua orang dewasa di kampung itu pergi meredah hutan dengan lampu suluh untuk mencarinya tetapi tidak berjaya.
Keesokan harinya, mereka membuat laporan polis agar pihak berkuasa dapat membantu mencarinya.
Tiada sebarang petunjuk
Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) daripada polis, Jabatan Bomba, unit penjejak polis Orang Asli Senoi Praaq, Yayasan Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) mencarinya selama enam hari dari 14 Januari hingga 19 Januari, tetapi mereka tidak menjumpai sebarang kesan.
Ketua Polis Daerah Gerik Superintendan Zulkifli Mahmoud berkata pencarian menjadi lebih sukar kerana hutan yang tebal.
“Kami terpaksa meredah belukar tebal untuk mencarinya dan ia bertambah sukar, tiada jejak kerana cuaca yang kering.
“Malah anjing pencari tidak dapat mengesan baunya di mana-mana,” katanya.
Selama enam hari, pasukan dengan 70 hingga 80 ahli mencarinya dari jam 8 pagi hingga 6 petang setiap hari.
Ayeng kali terakhir dilihat memakai baju berwarna kuning dan seluar oren.
Beg sandangnya yang mengandungi kad pengenalan ahli keluarga yang pergi ke hutan bersamanya, turut hilang. Mereka juga tidak menjumpai bekal makan tengah hari berwarna hijau yang disediakan oleh ibunya.
“Terdapat juga banyak haiwan liar seperti harimau, gajah dan beruang matahari di dalam hutan yang menyukarkan pencarian,” kata Zulkifli sambil menambah yang pasukan mencari melakukan pencarian kawasan seluas 6km persegi.
Selepas enam hari dan tiada sebarang tanda mengenai Ayeng, SAR dibatalkan.
Selejib, 50, bapa saudara Ayeng berkata dia tidak berpuas hati dengan cara SAR dijalankan.
“Apa yang mereka lakukan hanyalah berjalan-jalan. Kami sangka mereka akan menggunakan teknologi untuk mencarinya tetapi tiada apa-apa,” katanya.
Selejib, yang tinggal di kampung berdekatan, pergi ke Selaor setiap hari untuk membantu penduduk kampung mencari.
Dia juga tidak puas hati kerana mereka berhenti mencari remaja perempuan yang tidak berdaya itu.
Ketika ditanya sama ada dia berpendapat Ayeng masih hidup, dia berkata tiada sebarang petunjuk menunjukkan sebaliknya yang berlaku.
“Jika dia dimakan binatang, pasti ada tanda-tandanya. Akan ada darah atau bahagian badan. Dalam kes ini dia hilang begitu sahaja tanpa jejak.”
Zulkefli dalam pada itu menafikan SAR dihentikan.
“Kami tidak berhenti mencarinya, kami membatalkannya buat sementara waktu kerana tiada petunjuk baharu yang boleh membantu dalam SAR.
“Jika kami mendapat maklumat baharu tentang keberadaannya, kami akan kembali ke dalam hutan dan mencarinya.”
Bagaimanapun, ini tidak dapat dibandingkan dengan SAR kes melibatkan remaja Perancis-Ireland Nora Anne Quoirin yang hilang di sebuah resort di Negeri Sembilan ketika bercuti bersama keluarganya pada 2019.
Pihak berkuasa mencarinya selama 10 hari sebelum menemui mayatnya.
Yang tinggal sekarang ialah sepasukan sukarelawan dari pertubuhan bukan kerajaan, Panthera, menjalankan pencarian bersama pasukan penduduk kampung secara bergilir.
Mereka memulakan carian pada 20 Januari, tetapi iia juga tidak membuahkan sebarang hasil. – 28 Januari, 2022.