Iklan

PAS tak minta sedekah dari Umno, kata Hadi

Diyana Ibrahim3 years ago28th Jan 2022Berita
50293927277 ccdeb68cbe o (2)
PAS tidak perlukan tawaran dari Umno berhubung pembahagian kerusi untuk PRN Johor, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2022.
Iklan

PAS bukan peminta sedekah dan tidak perlukan tawaran dari Umno berhubung pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, kata Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

Beliau mahu Umno memahami PAS mempunyai kekuatan sendiri untuk menghadapi PRN tersebut, seperti mana dalam PRN Melaka pada Oktober lalu.

Hadi turut menolak dakwaan PAS ditawarkan untuk bertanding sehingga empat kerusi di Johor dan menjelaskan perkara tersebut tidak dirundingkan.

“Yang kata (PRN Melaka dan Johor) nak beri dua kerusi, empat kerusi (pada PAS) itu semua khabar angin. Tidak ada rundingan.

“Takkan kita nak minta sedekah, PAS tak minta sedekah, PAS ada kekuatan sendiri,” katanya kepada pemberita di Marang, Terengganu.

Beliau juga menganggap tindak-tanduk Umno kini seperti itik yang tidak mengenang budi selepas diselamatkan PAS apabila kalah teruk dalam PRU14 melalui Muafakat Nasional.

“Tapi malangnya kita bukan nak ajar itik berenang (tapi) nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki semasa PRU14.

“Malangnya bila kaki dah sembuh dia nak berenang sendiri nak tinggal kita,” katanya.

Hadi menjawab dakwaan Pengerusi Umno Johor Hasni Mohamad yang mempersoal kejujuran PAS dalam Muafakat Nasional.

Hasni antara lain mendakwa PAS sanggup menolak tawaran Umno bertanding empat kerusi dan Hasni berkata PAS lebih tertarik kepada tawaran bertanding 15 kerusi daripada Bersatu.

Mengulas lanjut, Hadi berkata sehingga kini masih belum ada rundingan dan keputusan yang dibuat berhubung soal pembahagian kerusi.

Tambahnya, Umno tidak perlu megah dan mendabik dada sebagai parti yang kuat kerana setiap parti ada kelebihan masing- masing

Katanya, PAS juga mempunyai sejuta ahli dan bertapak di 197 dari 220 kawasan Parlimen di seluruh Malaysia.

“Hanya 25 kawasan Parlimen saja tak ada PAS. PAS ada 800,000 ahli aktif,” katanya.

Beliau berkata kekuatan itu membolehkan ahlinya digerakkan seperti untuk misi bantuan bagi menangani bencana banjir di Pahang, Selangor dan Johor baru-baru ini.

“Jentera PAS turun. Orang lihat. Ada yang bina rumah yang rosak satu malam saja siap rumah,” katanya.

Kematian bekas menteri besar Osman Sapian yang juga Adun Kempas hujung tahun lalu menyebabkan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) hanya menguasai satu kerusi majoriti.

BN menguasai 16 kerusi manakala PN dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing 12 dan 27 kerusi.

Desakan bagi mengadakan PRN Johor disuarakan pemimpin Umno antara lain bagi mendapatkan mandat lebih kukuh untuk mentadbir negeri itu.

Keghairahan itu juga berkait dengan kemenangan Umno pada dalam PRN Melaka pada Oktober lalu yang membolehkan parti berkenaan memperolehi 21 kerusi daripada 28 yang dipertandingkan.

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada Sabtu lalu memperkenan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor untuk membolehkan pilihan raya baharu diadakan dalam 60 hari. – 28 Januari, 2022.

Iklan
Iklan