Salah petik atau suara hati Hadi?
Iklan
INILAH halnya dengan ahli politik. Mereka ini bukannya reti sangat berdalih melainkan kalau sudah sangat terdesak.
Satu jalan keluar yang digunakan berulang-ulang kali oleh ahli politik yang terlajak kata ialah “saya disalah petik” atau “saya disalahfahami”. Mereka ingat mereka boleh terlepas dengan alasan-alasan macam itu.
Ingat Tengku Adnan Mansor dan kenyataannya mengenai penganut Kristian? Orang juga salah faham apabila beliau berkata Universiti Teknologi Mara ditubuhkan untuk mereka yang lemah dalam pelajaran (”slow learners”).
Satu hal tentang penjelasan ialah selalunya ahli politik yang membuat penjelasan akan ternampak lebih tidak cerdik.
Ambil saja penjelasan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Ini yang dikatakannya sebelum ini.
“Jika PAS memerintah, ia akan terbahagi kepada dua – (satu), kabinet yang buat keputusan tentang dasar negara. Ini perlu terdiri daripada mereka yang memeluk ideologi dan kepercayaan nasional.
“Kabinet itu akan melantik kabinet eksekutif yang akan melaksanakan dasar dan ahlinya boleh terdiri daripada orang bukan Islam, dilantik berdasarkan kepakaran mereka,” kata Ahli Parlimen Marang itu di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Kumpulan kedua pula adalah teknokrat yang akan melaksanakan dasar kerajaan, katanya.
“Teknokrat ini boleh dari parlimen atau sektor swasta,” kata Hadi.
Dan sekarang lidah PAS, Harakah hari ini menjelaskan apa yang dimaksudkan oleh Hadi.
“Dua kabinet itu tak betul. Bukan dua kabinet. Pembahagian tugas. Biasalah dalam kerajaan, ada Menteri, Timbalan Menteri, Perdana Menteri, Menteri Tugas-tugas Khas, Menteri.
“Ada Menteri yang dia pantau Kementerian-kementerian. Itu biasakan pembahagian? Bukan dua kabinet, itu dia tak faham, tak faham ulasan saya, tak faham,” lapor Harakahdaily memetik Hadi.
Tidak payah kita berteka-teki kenapa Hadi perlu mengubah nadanya kali ini.
Beliau dan partinya dikecam dan diremehkan oleh pelbagai pihak selepas media melaporkan tentang idea kabinet dua lapisnya itu. Daya fikir dan strateginya sudah ternampak jelas.
Maka sekarang ini Hadi dan partinya cuba meredakan keadaan. Tidak ada rakyat Malaysia yang waras akal fikirannya mahu menyokong rejim ini yang percaya pada pecah dan perintah serta mahu menginstitusikan perkauman.
Jangan kita lupa, idea dua kabinet dua lapis itu sepatutnya diperkemaskan daripada idea awal Hadi dan kenyataannya tentang pentadbiran Muslim sahaja yang sebelum ini turut dikritik.
Penjelasan? Salah faham? Salah petik?
Nah, ini cuma Hadi yang bercakap tentang apa yang ada dalam fikirannya. – 6 Februari, 2018.