Iklan

Kehidupan suku Jahai terganggu selepas budak hilang dalam hutan

Raevathi Supramaniam3 years ago30th Jan 2022Berita
Orang asli missing temenggor gerik 08
Kehidupan Orang Asli suku Jahai di Temenggor, Perak kini terganggu selepas salah seorang mereka hilang di dalam hutan lebih dua minggu lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Januari, 2022.
Iklan

KEHIDUPAN masyarakat suku Jahai di Perak sekali lagi terganggu apabila salah seorang mereka hilang dua minggu lalu, menghalang mereka daripada memasuki hutan untuk mencari dan mengumpul rotan.

Asok, 47, Tok Batin Kampung Selaor di Hutan Simpan Temenggor berkata penduduk kampung baharu sahaja menyambung kerja mencari rezeki tetapi kini mereka perlu memberikan sepenuh tumpuan kepada usaha mencari seorang kanak-kanak yang hilang dua minggu lalu.

“Apabila pandemik Covid-19 bermula, kami memang tak boleh buat duit sebab kami tak boleh masuk hutan untuk kutip rotan kerana sekatan pergerakan dikenakan kerajaan,” kata Asok kepada The Malaysian Insight.

“Ketika itu, walaupun kami boleh menyelinap masuk ke hutan, tiada sesiapa yang boleh datang ke kampung untuk beli barang kami.

“Sekarang kami mula balik buat duit, budak perempuan pula hilang jadi semua tenaga kami dialihkan kepada usaha mencarinya.

“Walaupun kami mahu masuk ke hutan dan kutip rotan, kami rasa tak sedap hati sebab kami tak tahu apa nasib budak itu.”

Perkampungan itu hanya boleh dimasuki menggunakan kenderaan pacuan empat roda dan terletak 15km dari jalan raya terdekat.

Kamiliah Anab atau Ayeng, 9, hilang pada 13 Januari lalu selepas menyertai ahli keluarganya mencari rotan di dalam hutan.

Sudah lebih dua minggu Ayeng hilang dan jejaknya sehingga kini masih tidak ditemui.

Pasukan polis, bomba, Senoi Praaq, World Wildlife Foundation (WWF) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) memulakan usaha mencari dan menyelamat selama enam hari bermula 14 hingga 19 Januari lalu, tetapi tidak membuahkan hasil.

Kamiliah Anab atau Ayeng, 9, hilang pada 13 Januari lalu selepas menyertai ahli keluarganya mencari rotan di dalam hutan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Januari, 2022.

Usaha menyelamat ditangguhkan sementara sehingga petanda baharu ditemui.

Ini bermakna usaha mencari dan menyelamat kanak-kanak Orang Asli itu sepenuhnya menjadi tanggungjawab penduduk kampung.

Asok berkata perkampungan yang mempunyai 25 keluarga atau sekitar 170 orang penduduk itu kini bergantung kepada derma orang luar dan sayur-sayuran yang ditanam di sekeliling kampung itu.

Penduduk kampung mengutip rotan untuk dijual sebagai sumber pendapatan. Setiap rotan boleh dijual dengan harga antara RM4 hingga RM6 bergantung kepada saiznya.

Usaha mencari dan menyelamat kini menjadi tanggungjawab penduduk kampung selepas pihak berkuasa menangguhkan operasi sehingga petunjuk baharu muncul. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 30 Januari, 2022.

Penduduk kampung perlu berjalan hampir tiga jam untuk sampai ke hutan untuk mencari rotan.

“Kami selalunya jual setiap dua minggu sekali bila bekalan dah cukup. Dapatlah lebih kurang RM400 hingga RM600 setiap bulan.”

Sekarang disebabkan mereka tiada lagi sumber pendapatan untuk membeli makanan, Asok bimbang penduduk terpaksa kembali memakan ubi kayu untuk meneruskan hidup.

“Dua tahun lamanya kami hanya makan ubi kayu sebab tiada pendapatan, sekarang jadi balik macam tu.

“Nasib baiklah kami tanam sayur seperti terung, kacang panjang, kacang botol dan ubi kayu untuk terus hidup.

“Orang luar pun ada derma barang seperti beras, mee segera dan gula untuk penduduk kampung. Tapi, kami tak boleh bergantung kepada orang luar selama-lamanya.”

Harapan Asok kini hanya satu, mereka dapat menjumpai Ayeng supaya penduduk kampung boleh hidup seperti biasa dengan mencari rotan di hutan.

“Saya harap kami jumpa dia segera. Bagaimana kami nak buat kerja cari rotan bila kami tahu budak perempuan ini masih hilang?

“Semua masa saya kini dihabiskan dengan menguruskan kumpulan menyelamat penduduk kampung untuk memastikan ada orang mencarinya (Ayeng) setiap hari.” – 30 Januari, 2022.

Iklan
Iklan