Iklan

Bersatu, PAS sertai PRN Johor dengan Perikatan, kata Muhyiddin

Mohd Farhan Darwis3 years ago29th Jan 2022Berita
50321734291 05febf013c c
Rundingan agihan kerusi antara Bersatu dan PAS serta pemilihan calon masih berjalan, kata Muhyiddin Yassin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Januari, 2022.
Iklan

PAS akan menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebagai satu pasukan bersama Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN), kata pengerusi gabungan itu Muhyiddin Yassin.

Presiden Bersatu itu juga berkata, rundingan agihan kerusi antara kedua-dua parti serta pemilihan calon masih berjalan dan akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

“Kita akan putuskan perkara itu dalam sehari dua lagi insha Allah,” kata ahli Parlimen Pagoh itu dalam sidang media khas selepas muzakarah kedua-dua parti di Glenmarie, Shah Alam, hari ini.

Muhyiddin juga berkata, gabungan itu juga akan menggunakan pengalaman di PRN Melaka dalam merangka strategi di Johor.

Dalam resolusi muzakarah yang diumumkan hari ini, kedua-dua parti itu juga berikrar untuk mengukuhkan hubungan kerjasama mereka sehingga ke peringkat jentera akar umbi dalam PN.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula enggan mengulas ketika ditanya status Muafakat Nasional (MN) bersama Umno.

“Ikut kenyataan Umno,” kata ahli Parlimen Marang itu ringkas.

Hadi dalam kenyataannya semalam menganggap tindak-tanduk Umno kini seperti itik yang tidak mengenang budi melalui MN selepas diselamatkan PAS apabila kalah teruk dalam PRU14.

Hubungan renggang itu makin melebar apabila PAS menyertai PRN Melaka bersama PN.

Pemimpin Umno kemudian menolak kenyataan “itik” Hadi, apabila Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata parti tersebut bangkit semula kerana sokongan orang Melayu dan bukan bantuan PAS.

“Bagi mereka yang menggelar Umno dengan pelbagai gelar, itik, angsa, harimau dan sebagainya, gelarlah dengan pelbagai gelaran apa pun.

“Umno masih lagi parti Melayu terbesar. Malah parti politik terbesar di Malaysia. Kami bangkit semula bukan kerana ubatan mujarab PAS.” – 29 Januari, 2022.

Iklan
Iklan