Iklan

PKR boleh uji populariti guna logo sendiri pada PRN Johor, kata penganalisis

Desmond Davidson3 years ago30th Jan 2022Berita
49935133063 24a80fa1e5 b
PKR mahu menggunakan logonya sendiri bukan logo Pakatan Harapan pada PRN Johor akan datang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2022.
Iklan

KEPUTUSAN PKR untuk menggunakan logo sendiri dan bukannya Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang mungkin bukan satu tindakan bijak tetapi menjadi peluang bagi parti itu membuat penilaian jujur ​​terhadap hala tujunya di bawah Anwar Ibrahim selepas kegagalan pada PRN Melaka dan Sarawak tahun lalu.

Anwar pada Khamis berkata parti itu akan menggunakan simbolnya sendiri, satu keputusan yang dianggap oleh pakar Asia di Universiti Tasmania, James Chin sebagai “sangat teruk”.

Chin berpandangan PKR mempunyai sokongan yang lemah di Johor dan menyaksikan sokongan semakin merosot secara keseluruhan.

Di Johor, parti itu memenangi 14 daripada 56 kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, namun ia berkurangan kepada tujuh sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini susulan pergolakan politik dan pembelotan daripada Langkah Sheraton pada 2020.

Dalam dua PRN lalu yang menyaksikan PKR bertanding di Melaka dan Sarawak, ia kalah semua kerusi yang disertainya.

“Anwar fikir PKR mempunyai sokongan kuat di Johor dan oleh itu wajar parti itu bertanding menggunakan simbol sendiri. Ia sebenarnya tidak,” kata Chin.

“Banyak keputusan penting yang dilakukan Anwar baru-baru ini nampaknya salah dengan contoh terbaik sudah tentu PRN Sarawak bulan lalu,” katanya, merujuk kepada keputusan PKR ketika itu untuk turut menggunakan logonya sendiri, dan jumlah kekalahannya dalam semua 28 kerusi yang ditandingi.

Pada PRN Melaka November lalu, PKR bertanding di bawah logo PH tetapi turut kalah semua 11 kerusi yang ditandinginya.

Chin berkata, Johor akan menyaksikan banyak pencabar dengan parti baharu Muda dan Parti Bangsa Malaysia, serta Warisan dan Pejuang turut bersaing selain Barisan Nasional, Perikatan Nasional dan PH.

Justeru, beliau meramalkan sama ada kekalahan menyeluruh buat PKR sekali lagi, atau sekurang-kurangnya satu atau dua kerusi  di Johor kali ini.

Secara keseluruhannya, kata Chin, PKR semakin hilang sengatnya dan Anwar kelihatan hilang aura dan strategi politik sejak partinya dan PH disingkirkan daripada pentadbiran persekutuan susulan Langkah Sheraton pada Februari 2020.

Jayum Jawan dari Universiti Putra Malaysia bersetuju dengan kemerosotan PKR dan berkata, menggunakan logonya sendiri di Johor akan menjadi peluang untuknya menguji popularitinya sendiri dan “berdiri atas kaki sendiri”.

“Sudah tiba masanya PKR menguji popularitinya (atas merit sendiri) dan bukan berdasarkan sokongan orang lain.

“Apabila PH memenangi PRU 2018, ia bukan soal PKR atau Anwar. Semuanya mengenai Dr Mahathir (Mohamad).

“Sebuah parti tidak boleh bergantung kepada pihak lain untuk terus bertahan. Masanya sudah tiba untuk PKR berdiri di atas kaki sendiri dan menguji sokongan sebenar dalam kalangan akar umbinya.” – 30 Januari, 2022.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan