Guna data dan sains kurangkan tempoh kuarantin, kata doktor
Iklan
KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) perlu menggunakan bukti berasaskan sains dan fakta bagi menyokong keputusan membatalkan kuarantin wajib bagi pelancong antarabangsa lengkap divaksin yang pernah dijangkiti Covid-19, kata pakar kesihatan.
Ia satu-satunya cara untuk meyakinkan orang ramai yang itu keputusan wajar dan selamat walau ada risiko varian Omicron boleh dibawa masuk oleh pengembara ini, tambah mereka.
Bagaimanapun, ada juga pakar yang berkata pengembara ini tidak menimbulkan ancaman kepada kesihatan awam kerana mereka telah bebas daripada jangkitan.
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Dr Rusli Abdullah Dr Mohamed Rusli Abdullah berkata data mengenai cara kerajaan membuat keputusan itu perlu didedahkan kepada umum.
“Cara terbaik ke hadapan ialah dengan menjadikan bukti itu boleh diakses oleh pakar, petugas barisan hadapan, ahli akademik dan pemain industri tertentu agar mereka memahami dan memainkan peranan mereka dalam menyokong keputusan itu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ini amat penting ketika prosedur operasi standard dan perubahan dasar begitu dinamik. Orang ramai masih belum faham tetapi sudah muncul pula yang baharu.”
Rusli berkata penting juga supaya keputusan ini dilihat secara berterusan bagi memastikan Malaysia berada di landasan betul.
“Data pengawasan epidemiologi dan klinikal tempatan sebagai tambahan kepada data luaran perlu dianalisis secara berterusan dan dinamik bagi memastikan kita ambil dan terima pakai pendekatan yang betul yang berkaitan dengan situasi kita.”
Apabila bercakap tentang Omicron, terdapat juga maklumat yang tidak cukup mengenai penyebaran varian itu secara tempatan bagi negara membuat keputusan sewajarnya, katanya.
“Omicron boleh jadi masalah, lebih-lebih lagi kerana kita belum faham sepenuhnya tingkah laku epidemiologi dan klinikal tempatannya.
“Sesetengah pakar percaya jika ia terus menular pantas dalam masyarakat tetapi kekal sederhana, ia boleh membantu meningkatkan imuniti semula jadi terhadap Covid-19.
“Ia masih belum dikaji dan disahkan sehingga kita ada maklumat lanjut,” katanya.
Bermula 13 Januari, pengembara yang pernah dijangkiti Covid-19 tetapi lengkap divaksin tidak perlu menjalani kuarantin sebaik tiba di Malaysia.
Mereka bagaimanapun perlu menjalani ujian RTK-Antigen dengan kehadiran petugas kesihatan kerajaan atau swasta yang ditempatkan di pintu masuk antarabangsa.
Minggu lepas, kerajaan sekali lagi menyemak semula keperluan kuarantin bagi pengembara yang divaksin dan tidak divaksinasi memasuki negara ini, menyebabkan kekeliruan dalam kalangan orang ramai.
Ketika ini pengembara yang sudah divaksin sepenuhnya, termasuk dos penggalak, hanya perlu menjalani kuarantin selama lima hari.
Mereka yang sudah lengkap divaksin tetapi masih belum menerima dos penggalak perlu dikuarantin selama tujuh hari.
Manakala mereka yang belum divaksin sepenuhnya perlu dikuarantin selama 10 hari.
Mesej bercampur aduk
Pakar kesihatan awam Dr Zainal Ariffin Omar berkata peraturan kuarantin kerajaan baru-baru ini memberi mesej bercampur aduk mengenai risiko Omicron yang diimport oleh pengembara.
“Tidak pasti apa hala tuju kerajaan. Ia mesej yang bercampur tentang risiko Omicron yang diimport oleh pengembara.”
Walaupun mereka lengkap divaksin dan pernah dijangkiti Covid-19 agak terlindung daripada virus itu, tidak ada jaminan yang virus itu tidak akan menjangkiti orang ramai.
“Malah KKM berkata orang ramai masih boleh dijangkiti atau menularkan varian Omicron. Jadi risiko Omicron adalah nyata tanpa kuarantin.
“Kuarantin masih yang terbaik tetapi implikasi ekonomi dan kos mungkin menjadi faktor lain dalam keputusan kerajaan,” katanya.
Dr Malina Othman, ahli epidemiologi dan biostatistik dari Universiti Putra Malaysia bagaimanapun berpendapat tiada sebab untuk dibimbangkan dalam membenarkan pelancong antarabangsa yang telah divaksin sepenuhnya yang sebelum ini dijangkiti Covid-19 masuk tanpa kuarantin.
“Tempoh kuarantin adalah berdasarkan penemuan saintifik.
“Oleh kerana pada masa ini kita ada vaksin, ujian kendiri yang lebih pantas dan lebih baik serta ujian yang disahkan; Pemahaman berkaitan tempoh kuarantin adalah lebih jelas berbanding ketika awal pandemik.
“Penyelidikan sudah mengesahkan individu yang telah divaksin sepenuhnya dan dijangkiti (sudah bebas daripada jangkitan) tidak akan menjadi ancaman kepada orang ramai,” katanya.
Kes Covid-19 di negara ini semakin meningkat sejak beberapa hari lalu selepas mencatatkan kira-kira 3,000 kes harian sejak beberapa bulan.
Kadar kejangkitan (Rt) telah meningkat secara berterusan sejak 19 Januari.
Rt bagi 19 Januari berada pada 1.0 tetapi menjadi 1.15 pada 28 Januari, sepadan dengan peningkatan jumlah jangkitan harian. – 31 Januari, 2022.