Iklan

Cina Peranakan Terengganu terus kekal budaya tradisi

Diyana Ibrahim3 years ago1st Feb 2022Berita
42c4c2b8-ca89-4280-a4db-081e6d70546f
Yee Choo Im, 72, (tengah) antara generasi tertua Cina Peranakan Tiruk yang menetap di Terengganu. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Februari, 2022.
Iklan

DI ibu negeri Terengganu yang dihuni majoriti Melayu, wujud perkampungan penempatan kaum Cina Peranakan di Kampung Tiruk dan Kampung Banggol Kemang.

Komuniti itu juga dikenali sebagai Cina Tiruk kerana keunikan cara hidup mereka yang berasimilasi dengan amalan budaya Melayu.

Yee Choo Im, 72, antara generasi tertua Cina Peranakan Tiruk memberitahu The Malaysian Insight keunikan itu menyebabkan mereka tiada masalah tinggal di kelilingi majoriti kaum Melayu.

“Bagi Cina Peranakan Tiruk kami amalkan cara hidup, percakapan dengan loghat Melayu Terengganu, adat dan tradisi, pakaian serta makanan yang sama dengan orang Melayu.

“Makan pun pakai tangan. Malah ada kaum Cina Tiruk yang tidak pandai pun bahasa Hokkien tapi mereka boleh membaca dan menulis Jawi,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Yee berkata beliau berhijrah ke Kampung Tiruk selepas berkahwin dengan suaminya, seorang Cina Peranakan Terengganu pada 1966.

Katanya, pada waktu itu majoriti penduduk Cina Tiruk termasuk dirinya bekerja sebagai penoreh dengan menjual hasil getah sebagai sumber pendapatan.

“Ketika itu Mek (Yee) naik basikal saja pergi kebun getah. Dari rumah adalah dalam enam kilometer pergi balik.

“Tiap hari Mek naik basikal menoreh lepas itu jual getah dekat penduduk tempatan, Melayu. Jadi waktu itu hubungan Cina Peranakan dengan penduduk kampung Melayu ini sangat harmoni.

“Kita saling bergantung, kalau misal kata ada kenduri di kampung Melayu sebelah kita akan pergi tolong, makan saja juadah gulai mereka begitu juga sebaliknya,” katanya.

Namun Yee yang mempunyai tiga orang anak itu berkata kampung itu kini semakin suram memandangkan sebahagian besar generasi muda berhijrah ke bandar.

“Generasi muda banyak berhijrah ke bandar sebab orang tua mereka pun sudah tiada. Generasi tua tak banyak dah di kampung ini mungkin kurang dalam lima orang sahaja yang ada.

“Kebanyakan rumah di sini kosong dan anak akan balik sekali sekala jadi memang terbiarlah rumah.

“Kalau Mek tak ada, gaya hidup anak-anak akan moden sepenuhnya. Memang tak adalah nak tengok berkain batik ke, generasi muda memang tak pakai dah kain batik ini,” katanya.

Mek, Awang Cina Peranakan

Seorang pemimpin komuniti itu, Leeanee Chua berkata kebanyakan Cina Peranakan Terengganu dan Kelantan berasal dari daerah Fujian, China.

Generasi itu berhijrah di negeri pantai timur itu ketika pemerintahan Dinasti Qing sejak abad ke-16 dan ke-17 lagi, kata ahli jawatankuasa Persatuan Cina Peranakan Terengganu itu.

Katanya, mereka mendiami beberapa daerah di Terengganu seperti di Marang, Wakaf Tapai dan Kampung Cina.

Dari situlah bermula asimilasi budaya Melayu yang meresap dalam kehidupan Cina Peranakan, katanya.

“Disebabkan sudah lama berhijrah di sini, kehidupan dah sama sebenarnya dengan orang Melayu. Kami pakai kain sama macam masyarakat Melayu.

“Kalau perempuan kain batik, lelaki kain pelikat dengan baju panas, itu biasa. Cuma adat resam dan agama saja berbeza, generasi Kampung Tiruk boleh dikatakan sampai ke generasi yang ke-11.”

Leaane yang merupakan generasi ketujuh Cina Peranakan di Kampung Tiruk berkata di Terengganu anggota komuniti itu digelar dengan panggilan Mek bagi wanita dan Awang bagi lelaki.

Jelasnya, Cina Peranakan Terengganu itu bagaimanapun tidak sama seperti Baba dan Nyonya yang terdapat di Melaka atau Pulau Pinang kerana  mereka tidak mengamalkan perkahwinan campur.

Ujarnya Cina Peranakan di Pantai Timur akan berkahwin dengan sesama sendiri dan jika ada perkahwinan campur pun ia hanya di Kelantan dengan masyarakat Siam.

“Kalau Baba dan Nyonya mereka banyak perkahwinan kahwin dengan gadis Indonesia atau dengan gadis tempatan. Tapi kalau Peranakan Cina Terengganu tak ada perkahwinan campur.

“Sebab itu kalau tengok Peranakan Cina macam saya ini kulit tidaklah cerah lebih kepada sawo matang dan mata pun tidaklah sepet.

“Dan kami juga menganggap ini adalah tanah kelahiran kami,” katanya.

Leaane mengakui penghijrahan keluar generasi muda ke bandar memberi cabaran kepada tradisi budaya Cina Peranakan.

Di Kampung Tiruk kini dianggarkan hanya kurang dari 20 orang yang masih menetap di sini berbanding 78 orang semasa 2014.

“Sebab orang tua tidak ada jadi dan anak-anak pun berpindah keluar, macam saya pun berkerja di bandar (Kuala Terengganu) dan akan balik hujung minggu untuk tengok rumah saja,” katanya.

Bagaimanapun beliau percaya budaya Cina Peranakan itu tidak akan pupus ditelan zaman.

“Budaya Cina Peranakan akan terus kekal. Macam saya di Tiruk kami masih makan nasi guna tangan, pekat lagi (kuat) budaya kami.

“Generasi muda kami pun masih lagi kuat makan budu, belacan, ikan singgang dari segi pemakanan tak ada beza tapi bukanlah tidak sekuat dulu.

“Contohnya tidaklah orang muda ini pakai kebaya Nyonya dan kain batik tiap hari. Hanya sewaktu sambutan perayaan sahaja,” katanya.

Hidang nasi dagang sambut Tahun Baru Cina

Menyentuh mengenai sambutan Tahun Baru Cina, Leenne berkata Cina Tiruk menghidangkan juadah sama seperti perayaan raya Melayu seperti nasi dagang, nasi minyak dan laksa.

Namun mereka tetap wajib menghidangkan kuih tradisi seperti kuih bakul, bahulu, kuih koci dan kerepek rangup yang diperbuat gandum.

Bagi Yee pula, sudah dua tahun keluarganya hanya menyambut Tahun Baru Cina secara sederhana kerana pandemik Covid-19.

Namun warga emas itu tetap membuat kuih tradisi, kuih bakul dibuat secara tradisional, terutama ketika mengisar beras tepung beras menggunakan pengisar batu.

Yee berkata bagi sambutan Tahun Baru Cina kali ini, beliau hanya mampu membuat 50 biji kuih bakul yang disiapkan selama tiga hari.

“Dulu Mek menjual juga tapi tak buat sekarang tak larat dah tua. Kalau dulu suami Mek, Awang ada dia lah yang  tolong.

“Kalau biasanya tempahan Mek boleh dapat 1,000 hingga 1,500 biji, tapi sekarang Mek memang tak jual dah. Buat makan dan kasi dekat anak dan saudara mara saja,” katanya. – 1 Februari, 2022.

Iklan
Iklan