Iklan

BN tidak ambil mudah PRN Johor, kata Mohamad

Khoo Gek San3 years ago1st Feb 2022Berita
Zahid hamidi 240122 tmiseth 09
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Mohamad Hasan berkata parti itu tidak akan mengambil mudah dan sambil lewa untuk menghadapi PRN Johor selepas menang selesa di Melaka baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Februari, 2022.
Iklan

BARISAN Nasional (BN) tidak akan mengambil mudah dan sambil lewa untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas menang selesa di Melaka baru-baru ini, kata timbalan pengerusinya Mohamad Hasan.

Beliau yang juga pengarah pilihan raya BN berkata pihaknya akan bersiap sedia kerana PRN Johor juga penting dan tidak mudah, sama seperti pilihan raya yang lain.

“Saya tidak mahu jentera BN ambil mudah kerana terbawa-bawa dengan sentimen menang selesa di Melaka.

“Itu salah. Kalau itu tanggapan kita, itu tanggapan yang salah kerana (setiap) pilihan raya itu berbeza. 

“Maka strategi untuk menghadapi PRN Johor ini perlu disusun dengan baik, termasuk soal pembahagian kerusi antara BN,” katanya ketika ditemui wartawan di majlis sambutan Tahun Baru Cina anjuran MCA di Kuala Lumpur.

Jelas Mohamad, setakat ini BN belum memuktamadkan lagi pembahagian kerusi.

“Ini akan kita buat setelah kita mengadakan mesyuarat Dewan Tertinggi BN,” tambahnya.

Mohamad sebelum ini berkata Umno akan bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi negeri sementara baki 14 akan ditandingi MCA dan MIC. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual bermesyuarat 9 Februari untuk menentukan tarikh dan proses PRN Johor.

Sultan Johor membubarkan DUN Johor 22 Januari lalu atas nasihat Menteri Besar Hasni Mohammad, membuka jalan untuk pilihan raya negeri diadakan dalam masa 60 hari.

Menurut Hasni, pilihan raya itu perlu bagi mendapatkan mandat baharu rakyat kerana pentadbirannya “tidak boleh bergantung atas ihsan pembangkang.”

Kerajaan campuran Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menguasai DUN Johor dengan kelebihan hanya satu kerusi selepas Adun Kempas Osman Sapian dari Bersatu, yang juga bekas menteri besar, meninggal dunia 21 Disember 2021. – 1 Februari, 2022.

Iklan
Iklan