Iklan

Bersatu bincang pecat Zuraida kerana isu PBM, kata sumber

Mohd Farhan Darwis3 years ago2nd Feb 2022Berita
49936852208 dbff527031 b
Pemuda Bersatu mengesahkan tiada tindakan dapat diambil terhadap Zuraida memandangkan tiada bukti ahli Parlimen Ampang itu menyertai PBM. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Februari, 2022.
Iklan

MAJORITI anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) setuju dengan cadangan agar parti memecat Zuraida Kamaruddin kerana kaitannya dengan penubuhan Parti Bangsa Malaysia (PBM), kata pemimpin parti.

Cadangan itu dibangkitkan dalam mesyuarat MPT yang dipengerusikan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin pada Isnin (25 Januari). Mesyuarat bagaimanapun tidak membuat keputusan mengenai perkara itu, kata mereka.

“Seorang ahli MPT cadangkan supaya Zuraida dipecat daripada parti. Cadangan itu dapat sokongan majoriti tetapi tiada keputusan dibuat,” kata sumber parti kepada The Malaysian Insight.

Seorang ahli MPT yang hadir mesyuarat mengesahkan perbincangan berkenaan tetapi enggan mengulas lanjut.

Ketua sayap Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mengesahkan tiada tindakan dapat diambil terhadap Zuraida memandangkan tiada bukti ahli Parlimen Ampang itu menyertai PBM.

Bersatu kata Wan Ahmad Fayhsal juga sedang menanti jawapan Zuraida berkaitan isu itu.

“Kita akan putuskan dalam masa terdekat. Memang (ada cadangan tindakan) dibangkitkan tapi keputusan tiada lagi… semua ahli MPT bangkitkan.

“Zuraida tak kata nak keluar Bersatu, jadi kita tiada bukti dia keluar parti. Kita dah sangka, (pengasas) PBM ini semua rakan sekutu dia… Adun, ahli Parlimen… kita sedang menunggu jawapan rasmi beliau sebab itu tiada keputusan dibuat berhubung kedudukannya dalam parti,” katanya.

Wan Ahmad Fayhsal menambah Bersatu akan menuntut portfolio menteri yang disandang Zuraida sekiranya beliau benar-benar meninggalkan parti. Zuraida kini memegang portfolio perusahaan perladangan dan komoditi.

“Kalau benar beliau keluar, kuota menteri itu milik Bersatu. Kalau beliau sertai PBM, kena lepaskan jawatan menteri dan kita desak perdana menteri kosongkan portfolio itu dan berikan kepada Bersatu, selagi mana kerajaan ini masih berdiri.

“Itu dasar parti, bila kita tubuh kerajaan Zuraida diberi jawatan atas dasar beliau ahli Bersatu, bukan sebab dia itu Zuraida. Kalau dia keluar (parti) Bersatu boleh tuntut balik kerusi itu.

“(Buat masa ini) Zuraida masih ahli parti, cuma kita dah siapkan panduan senario,” katanya.

Menurut sumber, Zuraida juga tidak hadir dalam mesyuarat itu, yang turut membincangkan persiapan Bersatu untuk menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

The Malaysian Insight difahamkan Zuraida tidak hadir mesyuarat MPT Bersatu sejak September 2020.

The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan pengesahan Zuraida berhubung dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen Ampang itu sebelum ini menafikan terlibat dengan penubuhan PBM, sebuah parti yang diambil alih dan ditukar nama daripada Parti Pekerja Sarawak. Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) meluluskan permohonan tukar nama dan pindaan perlembagaan parti pada 27 Oktober 2021.

Zuraida pada ketika itu disebut-sebut akan mengetuai parti sebagai presiden.

Dalam mesyuarat agung luar biasa pada 14 November 2021, PBM meluluskan pelantikan barisan kepimpinan baharu melibatkan dua ahli parlimen bebas bekas PKR iaitu Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau).

Sng dilantik timbalan presiden sementara Choong naib presiden. Pada masa itu, jawatan presiden kosong tidak diisi, sekali gus meningkatkan spekulasi ia sengaja ditinggalkan untuk Zuraida.

Dalam satu mesyuarat agung khas PBM pada 8 Januari, Sng dipilih sebagai presiden parti sementara Choong dilantik naib presiden.

Adun Lembah Jaya Haniza Mohd Talha, yang diketahui antara pendukung Zuraida, dilantik timbalan presiden.

Sng dan Haniza kini memegang jawatan di agensi dan syarikat berkaitan kerajaan susulan lantikan oleh Zuraida semasa menjadi menteri perumahan dan kerajaan tempatan. – 2 Februari, 2022.

Iklan
Iklan