Rakyat catu belanja kerana kos sara hidup naik
Iklan
KOS sara hidup yang meningkat akibat harga barang naik menyebabkan ramai rakyat yang terbeban, terutama dari kalangan yang berpendapatan rendah atau B40, terpaksa mencatu atau mengehadkan perbelanjaan dapur mereka.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight keadaan lebih sukar kerana pendapatan mereka turut berkurangan. Ada antara mereka yang terpaksa melakukan tiga kerja dalam sehari demi kelangsungan hidup.
Nur Shafira Abd Rahim, 36, berkata dia terpaksa melakukan tiga kerja dalam sehari bagi menyara kehidupan bersama lima orang anaknya. Dia menjual nasi kerabu, mengambil upah membeli dan menghantar barang dapur selain upah membersih rumah.
Dengan tiga kerja itu, dia hanya dapat meraih pendapatan sebanyak RM200 hingga RM300 seminggu.
Namun katanya, tiga kerja sehari sebenarnya pun masih belum cukup untuk menampung kehidupannya sekeluarga.
“Memang tak cukup sebab semua anak saya tahun ini ke sekolah jadi memang kos perbelanjaan lagi tinggi.
“Saya pula bekerja seorang, suami tidak bekerja kerana baru keluar dari pusat pemulihan, jadi mata pencarian memang bergantung kepada saya seorang.
“Sebab itu apa sahaja kerja saya buat kerana kami tersangat perlukan duit untuk teruskan kehidupan,” katanya.
Tambahnya lagi kerana desakan hidup juga menyebabkan dia terpaksa menjual barang berniaga kerana memerlukan duit.
“Sebab sangat terpaksa dengan keadaan sekarang. Tambah pula ada ura-ura medan selera tempat saya menjual nasi kerabu akan tutup.
“Kalau benar ditutup saya tidak ada tempat untuk berniaga,” katanya, yang berniaga di Puchong.
Sebelum ini peniaga memberi amaran barangan pengguna mungkin naik semula, susulan kenaikan kos dalam logistik dan rantaian bekalan.
Trend ini dijangka berterusan, yang mungkin menyaksikan harga makanan meningkat 10% hingga 30% – termasuk harga minyak masak, yang meningkat sehingga 70% bulan ini, ketika harga barangan keperluan harian dan produk isi rumah meningkat sebanyak 5% hingga 10%.
Menurut Nur Shafira, dia juga terpaksa mencatu perbelanjaan barang dapur seperti hanya beli dua minggu sekali berbanding seminggu sekali sebelum ini.
“Kadang-kadang saya langsung tak dapat nak beli barang dapur kerana tidak ada duit.
“Biasanya kalau sisa makanan tak habis dijual akan bawa balik untuk makan, jika bajet kita tidak lari,” katanya.
Bagi penghantar makanan Foodpanda, Wan Mohamad Romzi, 33, pendapatannya terjejas hampir separuh kerana kenaikan harga makanan yang menyebabkan ramai memilih makan di rumah sahaja.
“Memang sangat terkesan, dulu kalau kita rajin dalam sebulan itu boleh dapat dalam RM2,000 ke RM3,000. Tapi dalam sebulan dua ini bila semua harga barang naik pendapatan hampir separuh berkurangan.
“Ramai yang pilih tak makan di kedai. Kalau kita tengok kedai makan di sini kosong, masa perayaan ini saja baru nampak meriah.
“Ada juga kedai makan terpaksa tutup sebab mereka rugi tak ada pelanggan tapi bahan kena beli,” katanya yang bekerja di Kuala Terengganu.
Pemuda itu berkata, situasi itu menyebabkan dia tidak ada lebihan untuk menyimpan kerana pendapatannya hanya sekadar cukup-cukup.
Sama seperti yang lain dia juga terpaksa mengurangkan kekerapan membeli barang dapur dan bahan mentah dan tidak membeli dengan jumlah banyak.
Peniaga barang mentah di Kuala Terengganu, Hishamuddin Mohamad, 33, pula berkata, perniagaannya turut terkesan ekoran kenaikan harga barang.
Hishamuddin berkata, situasi itu menyebabkan orang ramai mula berkira-kira dalam perbelanjaan mereka.
“Berniaga sekarang tak macam dulu. Memang perniagaan terkesan banyak kerana kita modal sama jualan menurun.
“Contoh dulu modal saya RM1,000 untung saya RM100 tapi sekarang untung saya hanya RM50.
“Kalau tanya pelanggan mereka akan kurangkan jumlah beli, kalau dulu ayam mereka beli dua tiga ekor, tapi sekarang buat catuan bila cukup-cukup sahaja,” katanya.
Mengulas lanjut Hishamuddin berkata, sebagai peniaga dia juga buntu dengan isu kenaikan harga kerana sering dipersalahkan oleh pelanggan yang terbeban.
“Kita sebagai peniaga memang tidak boleh buat apa. Kita dapat dari pembekal pun harga dah tinggi. Biasanya kalau ikan kita akan faham sebab ikan ini ikut cuaca.
“Kalau musim tengkujuh memang harga ikan akan mahal, tapi di darat macam bekalan ayam sayur, bagi saya agak tidak masuk akal harga naik mendadak.
“Bila ditanya mereka kata memang harga naik ataupun susah nak dapat bekalan,” katanya. – 2 Februari, 2022.