BN enggan kerjasama dengan Perikatan dalam PRN Johor, kata MCA
Iklan
BARISAN Nasional (BN) tidak akan bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang, kata Presiden MCA Wee Ka Siong.
Beliau berkata tidak akan ada kerjasama walaupun kedua-dua pakatan itu bersama di peringkat persekutuan.
MCA adalah sebahagian daripada BN yang dipimpin oleh Umno, sebuah parti nasionalis Melayu yang berbalah sengit dengan Bersatu dan PAS, dua parti utama PN.
Wee yang juga menteri pengangkutan berkata Johor adalah kubu tradisi BN dengan kerjasama membabitkan Umno, MIC dan MCA jauh lebih baik berbanding di negeri lain.
Katanya, BN akan menghadapi saingan sengit daripada parti pembangkang.
“PH, Muda dan Warisan adalah ancaman kepada BN, tetapi kita akan lawan sama rata.
“Daripada sudut demokrasi, kemunculan lebih banyak parti politik di negara kita bukanlah sesuatu yang teruk.
“Ia budaya politik yang sihat, tetapi tidak boleh dinafikan sesetengah parti politik tidak dapat bertahan lama pada akhirnya. Hanya pilihan raya sahaja yang boleh membuktikannya,” katanya kepada The Malaysian Insight dalam satu wawancara baru-baru ini.
Beliau juga meramalkan PRN Johor akan menyaksikan lebih banyak pertembungan pelbagai penjuru dengan penyertaan Warisan dan Muda.
Wee berkata, Warisan dan Muda mempunyai pandangan berbeza dalam memberi suara kepada golongan muda.
Beliau berkata walaupun Warisan dan Muda mungkin tidak dikenali oleh pengundi, ia tidak bermakna mereka boleh diketepikan begitu saja.
“Mengenai tahap sokongan mereka, ia masih perlu dilihat.”
Bagaimanapun katanya, PH kekal sebagai ancaman utama kerana pakatan pembangkang itu tahu bila untuk mencetuskan provokasi rakyat dan menghangatkan isu.
Beliau berkata prestasi buruk PH pada PRN Sarawak dan Melaka tidak seharusnya dijadikan kayu pengukur dalam menghadapi pengundi di Johor.
Di Sarawak dan Melaka, prestasi PH teruk, dengan PKR gagal memenangi semua kerusi yang ditandinginya.
“Anwar Ibrahim hilang kredibiliti kerana banyak kali terdapat penggera palsu (apabila beliau mendakwa beliau mempunyai cukup bilangan penyokong untuk mengambil alih kerajaan).
“Tetapi kegagalan PH bukan hanya masalah Anwar tetapi pemimpin PH yang lain juga.
“Mereka tidak boleh meletakkan semua kesalahan kepada Tun M (Dr Mahathir Mohamad). PH juga tidak menunaikan manifesto mereka, jadi mereka perlu memikul bertanggungjawab bersama.” – 3 Februari, 2022.