Iklan

Jangan banding MCA dengan Umno, kata Wee

Khoo Gek San3 years ago3rd Feb 2022Berita
49935757416 2c6edb8ef7 b
Pemimpin MCA tidak patut dibandingkan dengan Umno hanya kerana mereka berada dalam gabungan BN, kata Wee Ka Siong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 3 Februari, 2022.
Iklan

PENGUNDI perlu menilai MCA dengan adil kerana tiada pemimpin dari parti itu diheret ke mahkamah dengan tuduhan rasuah selepas pentadbiran Barisan Nasional (BN) tumbang, kata Wee Ka Siong.

“Adakah sesiapa pemimpin MCA didakwa di mahkamah pada 2018 (selepas pilihan raya umum)?

“Hari ini anda boleh nilai prestasi MCA. Adakah kami pernah disabitkan kesalahan? Jika kami bandingkan dengan parti politik lain, saya rasa anda boleh tampil dengan jawapan anda sendiri.

“Jadi, berlaku adil. Apabila anda kata pemimpin BN korup, maka pihak yang bersalah perlu hadapi hukuman.”

Tanpa menyebut nama DAP, Wee turut menyelar parti tersebut dengan mendakwa ketua parti pembangkang itu terbabit dalam kes “terowong bawah laut” di Pulau Pinang.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai bekas ketua menteri untuk meminta 10% daripada keuntungan projek terowong dasar laut.

Selain itu beliau juga dituduh menerima RM3.3 juta dalam bentuk sogokan.

Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan menggelapkan tanah kerajaan bernilai RM208.7 juta kepada dua syarikat.

Wee berkata beliau menerima hakikat pengundi Cina mungkin tidak menyokong MCA kerana pembabitan parti itu dengan pemimpin yang korup.

“Saya hormati pendapat itu. Setiap orang ada pendapat masing-masing, anda (pengundi) boleh ada 30 sebab kenapa anda tidak mahu sokong parti,” katanya.

Wee mengakui tuduhan rasuah terhadap beberapa pemimpin BN selepas PRU14 menyebabkan gabungan itu dalam keadaan tidak keruan.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata beliau terima hakikat pengundi Cina mungkin tidak sokong MCA kerana pembabitan parti itu dengan pemimpin yang korup. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 3 Februari, 2022.

Beliau bagaimanapun berkata kerajaan sedia ada tidak campur tangan dalam proses kehakiman dan mereka yang menghadapi pelbagai perbicaraan jenayah memilih untuk membersihkan nama mereka di mahkamah.

Beliau turut membangkitkan tindakan pemimpin Pakatan Harapan (PH) menggugurkan beberapa kes berprofil tinggi sewaktu mentadbir Putrajaya.

Katanya, ia menunjukkan PH hipokrit kerana mengabaikan kedaulatan undang-undang selepas mengambil alih kuasa di persekutuan.

“Kami (kerajaan sekarang) tidak campur tangan dalam badan kehakiman. Kami menghormati proses kehakiman,” katanya.

Mahkamah Tinggi bulan lalu memerintahkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi membela diri atas semua 47 pertuduhan rasuah dan penyelewengan dana daripada pertubuhan Yayasan Akalbudi.

Zahid menghadapi 12 pertuduhan pecah amanah membabitkan RM31 juta, lapan pertuduhan rasuah membabitkan RM21.25 juta dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM65 juta.

Seorang lagi pemimpin Umno yang disabitkan dengan rasuah adalah bekas perdana menteri Najib Razak.

Pada 28 Julai, 2020 Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada Najib selepas didapati bersalah atas tujuh pertuduhan membabitkan SRC International.

Tujuh pertuduhan itu termasuk satu pertuduhan salah guna kuasa membabitkan pinjaman Kumpulan Wang Persaraan (Inc) (KWAP) RM4 bilion kepada SRC, tiga pertuduhan pecah amanah jenayah membabitkan RM42 juta dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram.

Najib memfailkan rayuan terhadap keputusan dan hukuman itu tetapi ia ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Wee, yang juga menteri pengangkutan berkata pemimpin silih berganti tetapi parti itu akan kekal.

“Selepas bertahun-tahun sejak pakatan awal BN, satu-satunya yang berkekalan adalah perjuangan parti politik dan ideologi pusat.

“Konsep memperjuangkan demokrasi dan kebebasan serta perkongsian kuasa yang harmoni dalam kalangan semua kumpulan etnik berasal daripada BN.

“Itulah sebabnya kami memilih untuk melalui saluran rasmi dan menghadapi segala-galanya dengan tenang. Pemimpin menghormati keputusan kehakiman dan akan membersihkan pertuduhan melalui perbicaraan mahkamah,” kata Wee. – 3 Februari, 2022.

Iklan
Iklan