MCA pertaruh muka baharu pada PRN Johor, kata Wee
Iklan
MCA sedia mempertaruhkan calon muda dan baharu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang dengan tujuan membolehkan muka baharu ini mencorak masa depan parti, kata Wee Ka Siong.
Presiden parti itu memberitahu The Malaysian Insight beliau bercadang untuk menamakan muka baharu bagi PRN Johor selepas melihat bagaimana Umno berjaya dengan calon baharu dan muda pada PRN Melaka November lalu.
Parti itu menang besar di Melaka.
“Lebih 80% calon Umno dalam PRN Melaka adalah muka baharu dan MCA juga harus membuat pelarasan bagi menggantikan calonnya dengan darah muda.
“Mula-mula saya perlu tentukan berapa banyak kerusi yang akan MCA dapat (di Johor) dan kemudian saya boleh mula memikirkan calon.
“Bagaimanapun, saya boleh beri jaminan kami tidak akan meletakkan calon lama yang sama,” kata Wee, yang juga menteri pengangkutan.
Beliau berkata parti itu sedang memikirkan jumlah besar pengundi muda yang akan keluar mengundi pada PRN Johor serta Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Dengan mekanisme pengundi automatik berusia 18 tahun berkuat kuasa, sesiapa yang boleh mengawal 7.8 juta pengundi baharu boleh mengimbangi keadaan. Pada masa ini, sesiapa yang mendapat sokongan daripada golongan muda akan menguasai negara,” katanya.
Jelas beliau, penambahan pengundi muda mencetus perubahan besar.
“Calon mungkin kalah sebanyak 300 undi pada masa lalu atau menang tipis sebanyak 300 undi dan tiba-tiba kini terdapat kira-kira 5,000 pengundi baharu (di setiap kawasan). Jadi, semuanya masih tidak diketahui,” tegasnya.
Beliau berkata cara untuk memenangi hati pengundi baharu dan muda adalah dengan memahami keperluan pengundi itu serta memahami pembangunan belia dan peluang pekerjaan.
Selain pengundi baharu, katanya terdapat juga pengundi kali pertama yang tidak mengundi selepas mendaftar. Ini juga boleh mengubah keputusan pilihan raya.
Wee berkata wilayah Johor selatan mempunyai sebahagian besar pengundi baharu sekali gus memberi cabaran besar buat MCA.
“Johor adalah persaingan yang sukar, kami perlu keluar habis-habisan dan kami masih perlu menangani persaingan ini dengan kekuatan sendiri,” katanya.
Pengundi muda cabaran buat semua
Wee berkata bukan BN saja yang akan menghadapi cabaran daripada pengundi muda, sambil menambah parti pembangkang juga perlu memenangi hati mereka.
“Pengundi muda baharu tidak semestinya mengenali anda. Jadi parti politik dan calon mesti memahami keperluan mereka yang berumur 18 dan 19 tahun, seperti peluang pekerjaan dan pendidikan, apakah tanggapan yang dibuat oleh parti dan calon dan sama ada mereka mampu membantu anak-anak muda ini.”
Wee juga menyatakan pengundi muda sangat dipengaruhi oleh media sosial, yang mana mereka menilai sesuatu parti berdasarkan tanggapan dalam talian.
Tambahnya, mereka juga berisiko meletakkan calon muda kerana pengundi kali pertama ini tidak mengenali calon.
“Isu yang berbangkit di media sosial selalunya berkait secara langsung dengan anak muda, jadi MCA tidak boleh statik, ia mesti melihat bagaimana denyutan nadi rakyat.
“Kalau masih sama, macam mana nak berhubung dengan orang muda, walaupun anda sudah tujuh atau lapan tahun pengalaman dalam politik.
“Hari ini berbeza dengan zaman dahulu dan suara anak muda di sekeliling semakin lantang.
“Jadi kita perlu tahu bagaimana untuk mengintegrasikan keperluan masyarakat. Kita perlu membuat penyesuaian,” katanya.
Tidak akan berebut kerusi tambahan
Ketika ditanya sama ada MCA menyasarkan untuk bertanding di 15 kerusi DUN di Johor seperti yang dilakukan pada PRU14, Wee secara terus terang mengakui BN tidak dapat memenuhi kehendak semua orang dan tidak ada gunanya bising mengenai perkara itu.
Pada PRU14, MCA tewas di semua 15 kerusi negeri yang ditandinginya.
“Sesetengah kawasan dan calon, jika mereka tidak boleh menang, mengapa berjuang lagi? Adakah mereka akan menang jika mereka mendapatnya? Bagaimana untuk menang? Siapa yang akan menang? Bagaimana untuk melawan? Apakah jenis pertempuran pilihan raya?
“Saya tahu berapa banyak kerusi yang saya mahu. Saya sudah menyerahkan kerusi yang saya mahu. Saya tidak akan menjadi wira,” katanya.
Menyentuh Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai sebagai contoh, Wee berkata beberapa sekutu melihat MCA sebagai parti yang lemah tetapi ternyata MCA memperoleh kemenangan besar.
Wee juga mengakui kemenangan di Melaka berjaya memecahkan angka “sifar” untuk memenangi dua kerusi di negeri itu, memberikan sedikit dorongan kepada parti itu.
“Anda akan gembira jika anda bermula dari sifar kepada satu,” katanya.
Wee menegaskan dalam PRN Johor, MCA akan terus berusaha keras untuk memenangi sokongan lebih ramai pengundi.
Kerajaan pimpinan BN memegang 28 kerusi manakala Pakatan Harapan mempunyai 27 kerusi. Kerusi Kempas kosong berikutan kematian Adun yang juga bekas menteri besar Johor Osman Sapian pada 21 Disember lalu.
Dewan Undangan Negeri Johor dibubarkan pada 22 Januari selepas Sultan Johor Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankannya.
PRN Johor adalah pilihan raya negeri keempat selepas PRU14. – 3 Februari, 2022.