Kanak-kanak 10 tahun pertama dapat suntikan vaksin Covid-19 di Sarawak
Iklan
IVANN Muammar Imaan, 10, merupakan kanak-kanak pertama daripada 272,500 kanak-kanak di Sarawak berusia antara lima hingga 12 tahun menerima vaksin Covid-19.
Murid Sekolah Kebangsaan Green Road itu merupakan antara 30 kanak-kanak yang mengalami ‘imunokompromi’ - mempunyai sistem imun yang lemah - yang dipilih untuk menerima suntikan vaksin pada pelancaran program imunisasi Covid-19 untuk kanak-kanak (PICKids) di Hospital Umum Sarawak di Kuching hari ini .
Program vaksinasi untuk kanak-kanak turut dilancarkan serentak dengan program di Lembah Klang.
Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah, yang menyempurnakan pelancaran program itu di Kuching, memberitahu pemberita kesemua 30 kanak-kanak yang dipilih adalah dalam kategori mempunyai risiko kesihatan tertinggi dan mereka telah menjalani rawatan susulan secara berkala untuk komorbiditi mereka.
Uggah, yang juga pengerusi jawatankuasa pengurusan bencana negeri berkata, kanak-kanak dalam kategori risiko sama juga akan diberi vaksin di hospital awam dan swasta di seluruh negeri dalam beberapa hari akan datang.
Kanak-kanak yang tidak mempunyai risiko kesihatan sama ada akan diberi vaksin di sekolah mereka atau di pusat vaksinasi awam dan swasta yang ditetapkan mulai Sabtu ini.
Uggah turut meredakan kebimbangan ibu bapa yang tidak mendaftarkan anak mereka dengan aplikasi MySejahtera yang bermula 1 Februari lalu di Lembah Klang.
Pendaftaran secara berperingkat diperkembang ke kawasan luar Lembah Klang dalam enam peringkat.
“Mereka tidak perlu bimbang kerana mereka boleh diberi vaksin di sekolah mereka,” katanya.
Tinjauan yang dijalankan Jabatan Kesihatan negeri baru-baru ini menunjukkan 59.7% daripada 40,000 responden bersetuju untuk anak-anak mereka mendapat vaksin manakala 24.3% adalah sedikit ragu dan tidak pasti manakala hanya 15% menyatakan tidak bersetujunya.
Antara alasan yang diberikan oleh mereka adalah kebimbanga terhadap komplikasi, keraguan tentang vaksin dan mahu diberi pilihan untuk memilih vaksin.
Vaksin pilihan di seluruh negara pada masa ini ialah Comirnaty PfizerBioNTech.
Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, pada pelancaran program itu di peringkat kebangsaan berkata vaksin Pfizer telah dirumus khas untuk kanak-kanak dan diluluskan oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).
Beliau juga berkata data kementeriannya mengenai jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak bagi tempoh enam bulan lepas mendapati 147,282 kanak-kanak yang tidak divaksinasi berumur antara lima dan 12 tahun telah dijangkiti virus itu dan 26 daripadanya telah meninggal dunia.
Tambahnya, kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 boleh mengalami komplikasi daripada sindrom keradangan pelbagai sistem pada kanak-kanak (MIS-C).
Beliau berkata sekiranya berlaku komplikasi, kanak-kanak itu memerlukan penjagaan rapi dan kemungkinan kematian adalah tinggi.
Kata Khairy apa yang memburukkan lagi masalah kesihatan mereka adalah kanak-kanak yang dijangkiti ini juga berisiko dijangkiti long Covid.
Kementerian Kesihatan menyasarkan 80% kanak-kanak berumur tujuh hingga 12 tahun, 60% daripada enam tahun menerima dos pertama mereka dalam tempoh enam bulan manakala 60% kanak-kanak berumur 5 tahun menerima dos pertama mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Bagi dos kedua, kementerian menyasarkan 80% kanak-kanak selepas lapan minggu menerima dos pertama.– 3 Februari, 2022.