Iklan

Ibu bapa tidak yakin, tangguh vaksin Covid-19 untuk anak

Diyana Ibrahim3 years ago4th Feb 2022Berita
Kids vaccination 030222 tmiseth 05
Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak dilaksanakan bulan ini dengan kanak-kanak lima hingga 11 tahun diberikan vaksin Covid-19 jenis Pfizer-BioNTech. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 4 Februari, 2022.
Iklan

MASIH ramai ibu bapa memutuskan untuk menangguhkan pemberian vaksin Covid-19 kepada anak-anak kerana bimbang pelalian tersebut akan menimbulkan kesan buruk.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, mereka mengambil sikap tunggu dan lihat terlebih dahulu kesannya ke atas anak-anak dan ia tidak bermakna mereka menentang pengambilan vaksin.

Seorang pekerja swasta Nur Ashikin Mahmud, 43, berkata beliau mengambil sikap sedemikian kerana bimbang vaksin Covid-19 akan memberikan kesan sampingan kepada kesihatan anaknya.

“Saya rasa akan tunggu dan lihat dulu. Sebab saya nak tahu keberkesanan vaksin ini kepada budak macam mana.

“Paling saya bimbang kesihatan anak sayalah kerana sejak kecil antibodinya lemah dan sering demam.

“Jadi saya memang tak nak ambil risiko untuk membenarkan anak saya disuntik,” katanya.

Beliau mengulas pelaksanaan pemberian vaksin Covid-19 jenis Comirnaty keluaran Pfizer-BioNTech untuk kanak-kanak berumur lima hingga 12 tahun bermula Februari.

Malaysia merupakan antara 14 negara yang melaksanakan pemberian suntikan vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak, termasuk Amerika Syarikat, China dan Singapura.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, seramai 517,107 kanak-kanak berusia dari lima hingga 11 tahun di Malaysia didaftarkan untuk pemberian vaksin itu setakat 1 Februari.

Beliau berkata rekod itu merupakan satu tanda permulaan yang baik untuk inisiatif bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICK Kids) itu.

Beliau berharap sasaran hampir separuh kanak-kanak di Malaysia mendapat suntikan vaksin Covid-19 pada penghujung Februari ini akan dapat dijayakan.

Harapan itu bagaimanapun tidak dikongsi pengguna seperti jurutera A Silas, 48, yang ragu-ragu untuk membenarkan anak perempuannya berusia 10 tahun divaksin.

“Saya tidak tahu adakah vaksin Covid-19 dibuat untuk kanak- kanak

“Kita tidak tahu adakah vaksin ini benar-benar efektif dan tidak banyak kajian yang dibuat dan bagaimana pula dengan kesan sampingan,” katanya.

Katanya lagi beliau tidak yakin dengan keseluruhan proses memberi vaksin kepada kanak-kanak dan percaya keputusan itu dilakukan terburu-buru tanpa menunggu kajian

Seorang ibu, Rohana Halim,  turut senada dan tidak yakin untuk membenarkan anaknya yang berusia lima tahun idisuntik.

Tambahan pula dakwaan yang berlingkaran di media sosial  mengenai banyak kesan sampingan vaksin Covid-19 menyebabkan beliau semakin bimbang

“Saya enggan merisikokan nyawa anak saya dengan benda yang kita tidak tahu berkesan atau tidak. Lagipun anak saya masih terlalu kecil, baru lima tahun usianya.

“Dan setakat ini kerajaan pun tidak pernah beri jaminan adakah vaksin ini tidak memberi kesan mudarat kepada kanak-kanak.

“Jadi macam mana kita nak yakin dan benarkan anak kita divaksin. Anak saya bukan bahan uji kaji makmal,” kata Rohana, 37.

Ujarnya lagi, kerajaan sepatutnya membuat kajian terperinci dengan mengambil kira semua sudut sebelum membenarkan vaksin Covid-19 diberikan kepada kanak- kanak.

Selain itu, beliau berharap kerajaan tidak akan mewajibkan atau mengenakan sekatan kepada kanak-kanak yang tidak divaksin.

“Saya harap kerajaan tidak akan buat pusingan U mengenai arahan sekatan.

Yang saya risau biarpun hari ini mereka kata tidak akan sekat tapi esok tiba-tiba berubah, wajibkan pula kanak-kanak untuk vaksin sebagai syarat ke tadika atau ke sekolah.

“Kalau benarpun mereka ingin wajibkan, buatlah kajian dulu. Tunjuk hasil kajian dan yakinkan ibu bapa,” katanya.

Pada bulan lalu, Khairy memberi jaminan kerajaan tidak akan mengenakan sekatan kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun yang tidak mendapat vaksin Covid-19 .

Semalam, beliau sekali lagi memberi jaminan pelalian bawah program PICKids tidak diwajibkan ke atas kanak-kanak.

Setakat 15 Jan sebanyak  376,415 kes Covid-19 atau 13.4% di Malaysia melibatkan kanak-kanak berusia bawah 12 tahun.

Sejumlah 26 orang pula maut daripada keseluruhan lebih 147,000 kanak-kanak yang dijangkiti Covid-19 dalam tempoh enam bulan lalu.

Kesemuanya melibatkan kanak-kanak berusia 5 hingga 12 tahun yang belum divaksinasi, kata Khairy. – 4 Februari, 2022.

Iklan
Iklan