Iklan

Peniaga medan selera Kuala Terengganu rayu kurangkan sewa

Diyana Ibrahim3 years ago5th Feb 2022Berita
Medan Selera Batu Buruk FB 422022
Antara gerai yang terdapat di Medan Selera Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu. – Gambar Facebook, 5 Februari, 2022.
Iklan

PENIAGA Medan Selera Pantai Batu Buruk di Kuala Terengganu kecewa kerana rayuan mengurangkan sewa premis daripada RM500 ke RM300 masih tidak diendahkan pihak berkuasa.

Rayuan itu terus diabaikan sewaktu mereka terus menanggung kerugian kerana terpaksa membayar sewa walau kemudahan disediakan uzur dan pelanggan terus berkurangan.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, sampah hanya dikutip sekali oleh pihak berkuasa tempatan yang memburukkan lagi kawasan itu.

Peniaga ini berkata biarpun sudah tiga kali menghantar surat rayuan untuk menurunkan harga sewa namun tiada sebarang maklum balas dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

Lebih mengecewakan lagi, MBKT mengeluarkan notis penamatan sewa ke atas peniaga yang menanggung tunggakan sehingga Januari 2022, keluh mereka.

Naib Pengerusi Persatuan Peniaga Medan Selera Pantai Buruk 3, Raja Nazri Raja Sapie, 40, berkata tindakan itu tidak adil kerana tunggakan sewa itu bukan disengajakan.

Luahnya perniagaan mereka terjejas teruk sejak dua tahun lalu yang menyaksikan jumlah pelanggan datang ke medan selera itu menurun lebih 70%.

“Memang sejak pandemik Covid-19 dua tahun lalu, pelanggan kurang datang. Majoriti pelanggan adalah kakitangan kerajaan di sekitar, kakitangan dan pelawat Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

“Dengan larangan makan di kedai dan pelawat pun tidak boleh datang ke HSNZ, memang perniagaan kita sangat terjejas. Kami berniaga pun rugi. Nak balik modal pun memang susah.

“Sebab itu kita rayu untuk MBKT bertimbang rasa dengan keadaan kami kurangkan bayaran sewa bulanan kerana ia sangat membebankan,” kata Raja Nazri.

Katanya, peniaga ini juga sangsi dengan dakwaan seorang penolong pengarah MBKT Ahmad Suhaimi Embong bahawa mereka boleh membayar tunggakan itu secara berperingkat.

Beliau merujuk laporan media memetik kenyataan penolong pengarah Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta MBKT bahawa peniaga dapat menyelesaikan tunggakan itu sedemikian.

Raja Nazri enggan mempercayai kenyataan disiarkan 29 Januari itu selagi tidak dinyatakan secara hitam putih.

“Saya tidak faham mengapa mereka boleh dakwa begitu sedangkan dalam notis yang diterima tidak ada tulis pun kata kami boleh bayar secara berperingkat.

“Pihak MBKT pun langsung tak pernah nak datang jumpa kami berbincang adakan dialog dengan peniaga sedangkan mereka tahu masalah kita. Tiga kali kita hantar surat,” katanya.

Sampah terbiar, bangunan makin uzur

Menurut Raja Nazri, Medan Selera Batu Buruk itu mula beroperasi sejak lima tahun lalu dengan 18 peniaga.

Peniaga ditawarkan tempat di medan selera itu selepas gerai mereka di lorong bersebelahan HSNZ dirobohkan, katanya.

Namun hari ini hanya 12 saja peniaga yang masih bertahan berniaga di medan selera selepas menanggung kerugian.

Premis itu uzur dan mengalami banyak kerosakan tetapi tiada penyelenggaraan dibuat MBKT, kata Raja Nazri.

“Antaranya masalah sampah. Seingat saya hanya dalam tempoh sebulan pertama saja masa awal berniaga pada 2017 memang ada kutip sampah.

“Lepas itu tak ada dan walaupun kita memang bayar sebab ia masuk dalam harga sewa. Yang saya peliknya tong sampah bukan tak ada.

“Kalau pergi belakang kedai kami setiap satu kedai disediakan tong sampah. Tapi rasanya jadi hiasan saja sebab tak ada pekerja majlis yang kutip,” katanya.

Ia membuatkan mereka tiada pilihan selain membuang sisa itu di tong sebuah restoran makanan segera yang terletak tidak jauh dari situ.

Seorang peniaga Rozlinda Yusof berkata, permintaan mereka untuk mengurangkan kadar sewa wajar kerana perniagaan yang terjejas dan kelemahan penyelenggaraan MBKT.

Rozlinda berkata, sewaktu mula berpindah masuk dan berniaga di medan selera pada 2017, mereka ditawarkan kadar sewa RM1,000.

“Sebab itu kami merayu supaya dikurangkan kepada RM500 dan pihak MBKT setuju mengurangkan kadar sewa itu.

“Bagaimanapun setelah beroperasi di sini, banyak masalah yang dialami terutama membabitkan kemudahan di sini. Sehingga kini tiada papan tanda memudahkan orang luar berkunjung.

“Selain itu, di sini juga tiada kemudahan tandas, surau serta ada kipas yang sudah rosak sejak tiga tahun lalu tidak dibaiki sehingga kini,” kata Rozlinda, 46.

Seorang lagi peniaga Munira Mohd Daud, 45, berkata beliau berharap MBKT mendengar rayuan mengurangkan sewa kerana perniagaan terjejas teruk.

Munira berkata, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa menggadai barang kemasnya bagi menampung kerugian.

“Saya gadai barang kemas sebab nak bayar bil elektrik, untuk buat modal berniaga sebab saya berniaga memang tak untung.

“Lagipun dengan harga barang yang naik memang kita sangat terbeban. Sebab itu saya tak dapat nak bayar duit sewa. Bayangkan dulu berapa lama kita tak dapat berniaga.

“Tapi pihak MBKT cuma kasi dua bulan sewa moratorium. Yang lainnya kita terpaksa bayar walaupun kita tak ada keuntungan,” katanya.

Munira berkata, jika sebelum pandemik jualan bersihnya boleh mencapai RM3,000 sebulan namun kini sukar untuk meraih RM600 sebulan.

Bahkan peniaga itu terpaksa memberhentikan dua pekerjanya kerana tidak mampu membayar gaji.

“Dulu saya ada empat pekerja tapi sebab tak mampu nak bayar saya terpaksa buang dua orang pekerja.

“Kadang-kadang berniaga terpaksa ambil duit poket lain (duit simpanan) untuk buat modal berniaga esoknya sampaikan duit simpanan kita jadi kering,” katanya. – 5 Februari, 2022.

Iklan
Iklan