Mara Corp siasat pegawai kes naik pangkat, imbuhan tak wajar
Iklan
MARA Corp sedang menyiasat dakwaan salah laku pegawainya yang dipinjamkan daripadanya badan induknya, Mara Corp, menurut surat dalaman memperincikan isu tersebut.
The Malaysian Insight dapat mengesahkan kes tersebut didakwa melibatkan pemberian imbuhan dan kenaikan pangkat secara tidak wajar dan tidak disemak oleh pegawai pengurusan atasan.
Maklumat yang didedahkan setakat ini menunjukkan pembayaran tidak wajar berjumlah lebih RM63,000 ke atas seorang pegawai terlibat.
Ia dinyatakan dalam satu surat oleh Pengarah Eksekutif Mara Corp Suhaili Abdul Rahman kepada Pengerusi Mara Azizah Mohd Dun bertarikh 30 Januari.
Kandungan surat itu disahkan Suhaili ketika dihubungi The Malaysian Insight.
Ia antara lain menyebut hasil siasatan yang dijalankan ke atas lima pegawai yang dipinjamkan kepada Mara Corp, yang didakwa dijalankan atas arahan Azizah.
Suhaili dalam surat itu juga mencadangkan siasatan lanjut dibuat oleh pihak Mara.
“Kami exco Mara Corporation juga meminta agar satu siasatan terperinci dibuat oleh bahagian integriti seperti mana arahan oleh (Azizah) semasa perbincangan yang berlangsung di pejabat (Azizah),” surat itu dipetik.
Dalam suratnya, Suhali antara lain menyebut pegawai berkenaan didapati terlibat meluluskan bayaran tidak wajar dalam bentuk elaun pemangku untuk jawatan lebih tinggi.
Dalam satu kes, bayaran yang diluluskan pula didakwa dianjak ke tarikh Julai 2021 untuk bayaran pada September 2021, katanya.
Ia didakwa membolehkan pegawai tersebut menerima bayaran lebih RM33,000 untuk elaun tersebut.
Dalam nota untuk kes itu, Suhaili menyebut bayaran untuk elaun pemangku jawatan tersebut tidak diluluskan exco dan lembaga pengarah.
Satu lagi kes pegawai itu melibatkan bayaran kenaikan pangkat untuk perjawatan pinjaman, katanya.
Pegawai itu didakwa mendapat bayaran sehingga RM30,000 bagi bayaran pada April 2021 untuk tempoh sehingga Januari tahun itu.
Nota dalam laporan itu menyebut, tiada surat tawaran untuk perubahan jawatan atau kenaikan elaun.
Satu mesyuarat lembaga pengarah pada Januari juga memutuskan pegawai itu kekal di jawatan sedia ada, menurut surat berkenaan.
Kes itu lanjutan kontroversi yang membelit Mara Corp pada awal 2021 apabila ketua pegawai eksekutif waktu itu Badlisyah Abdul Ghani digantung jawatan selepas tiga bulan berkhidmat.
Beliau kemudian digantikan oleh Suhaili yang merupakan ahli Majlis Tertinggi Bersatu pada waktu itu.
Suhaili ketika dihubungi The Malaysian Insight enggan mengulas lanjut kandungan surat itu.
“Saya rasa tidak ada yang salah (isi kandungan surat tersebut) tetapi saya tidak boleh komen, sila rujuk kepada unit komunikasi korporat,” katanya.
Surat berkenaan serta sebahagian laporan Suhaili juga didapati dimuatkan di Twitter melalui akaun @ES_EdisiKhas semalam.
Sementara itu, Azizah dalam kenyataannya mengakui terdapat dokumen pentadbiran dalaman tersebar kepada pihak awam yang menimbulkan persepsi negatif terhadap Mara dan anak syarikat berkaitan.
Katanya, Mara memulakan siasatan bagi meneliti dokumen berkaitan untuk memastikan pengurusan syarikat sentiasa berlandaskan tadbir urus yang baik.
Tambahnya, Mara tidak akan berkompromi atau melindungi individu terlibat dalam salah laku pentadbiran anak syarikatnya. – 4 Februari, 2022.