Amanah harap pengundi tak keliru lambang pembangkang berbeza
Iklan
AMANAH berharap pengundi tidak keliru dengan lambang berbeza yang akan digunakan parti pembangkang dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.
Presidennya Mohamad Sabu berharap pengundi tetap memilih lambang Pakatan Harapan (PH) dan juga PKR yang menggunakan lambang sendiri dalam pilihan raya itu.
“PH sama ada simbol PH dan rakan kita PKR simbol mereka. Kedua-duanya berada dalam PH jadi jangan ada kekeliruan kerana kita pernah bertanding simbol masing-masing pada 2008 dan 2013.
“Kena undi simbol PH dan satu lagi simbol PKR. Kemungkinan juga ada rakan lain akan bersama PH pada PRN Johor,” kata Mohamad.
Beliau berkata demikian ketika majlis pengumuman calon PH di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mengkibol dan Mahkota, di Kluang, Johor hari ini.
Mohamad berkata, kerjasama gabungan pembangkang itu harus menjadi pilihan rakyat Johor demi menyaksikan perubahan dalam pentadbiran kerajaan terutamanya di peringkat persekutuan.
“Tengok simbol PH dan simbol rakan kita daripada PKR undi itu, tujuannya untuk buat perubahan, maruah rakyat, jangan kita dipermainkan,” kata Mohamad.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam ucapannya pula berkata, gabungan pembangkang itu akan memberikan tumpuan kepada lima perkara utama bagi PRN Johor.
Antaranya, isu inflasi yang menyaksikan peningkatan kos harga barang, kekurangan pekerja yang menjejaskan sektor ekonomi dan rasuah, kata Lim.
Selain itu, mereka juga akan membangkitkan isu perjalanan pekerja Malaysia ke Singapura dan kenaikan cukai bagi pendapatan diperolehi dari luar negeri, katanya.
Ahli Parlimen Bagan itu juga menggesa rakyat Johor mengundi dalam PRN sebagai satu referendum kepada kerajaan persekutuan.
“Jangan lihat PRN Johor sebagai pilihan raya untuk negeri, ini masa rakyat Johor buat sesuatu yang baik untuk rakyat. (Kerajaan) jangan hanya cakap kosong bila dapat kuasa mereka tidur sahaja.
“Sebab itu jangan bagi mereka (kerajaan) menang, kalau mereka menang rakyat susah, sebab itu bila kita menang dapat bela rakyat, kita kena beritahu kerajaan Persekutuan jangan tidur,” katanya.
Katanya, PH akan mengadakan kerjasama dengan pembangkang lain bagi memastikan kemenangan dan memberikan keselesaan kepada rakyat di negeri itu.
“Kita bertanding bukan nak menang satu kerusi, calon di Mengkibol atau Mahkota. Kita nak menang Johor supaya rakyat Johor boleh hidup lebih senang.
“Sebab itu kita buat gabungan PH dengan pembangkang lain supaya kerajaan persekutuan jangan ambil mudah dengan masalah rakyat Johor,” tambahnya.
PH sudahpun bersetuju mengadakan kerjasama dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang dipimpin Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
PH meletakkan calon Amanah Muhammad Taqiuddin Cheman di kawasan DUN Mahkota. Beliau merupakan penyandang kerusi Pulai Sebatang.
Di DUN Mengkibol pula, penyandang dari DAP Chew Chong Sin diumumkan akan mempertahankan kerusinya.
DAP semalam turut mengumumkan Sheikh Omar Ali akan mempertahankan kerusi DUN Paloh.
PKR mengambil pendirian menggunakan logo parti itu sendiri untuk bertanding PRN Johor manakala Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH.
Tarikh PRN itu akan dibincangkan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 9 Februari.
PRN itu harus diadakan dalam tempoh 60 hari selepas dewan undangan negeri dibubarkan pada 22 Januari. – 5 Februari, 2022.