Iklan

Sektor pelancongan gesa lebih banyak laluan lengkap vaksin dibuka

Khoo Gek San3 years ago6th Feb 2022Berita
Causeway22a
Sejak pembukaan VTL antara Singapura dan Malaysia yang bermula pada akhir November, pendapatan di beberapa tempat tarikan dan penginapan bertambah baik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Februari, 2022.
Iklan

SEKTOR pelancongan domestik hanya boleh pulih dengan lebih banyak laluan perjalanan lengkap vaksin (VTL) bersama negara lain malah lebih baik lagi jika sempadan dibuka sepenuhnya untuk pelancongan, kata pemain industri.

Pakej pelancongan yang dikhususkan kepada penduduk tempatan tidak begitu memberangsangkan kerana pengguna lebih suka mengatur percutian dan menggunakan pengangkutan sendiri.

Hanya kehadiran semula pelancong asing boleh membantu memulihkan industri pelancongan, yang paling teruk terjejas semasa pandemik Covid-19, kata kumpulan pelancongan.

Presiden Malaysian Inbound Tourism Association (Mita) Uzaidi Udanis, berkata jika kerajaan tidak bersedia untuk membuka semula sempadan sepenuhnya kepada pelancong antarabangsa, maka lebih banyak VTL akan membantu.

Sebagai tambahan kepada satu-satunya VTL Malaysia dengan Singapura melalui bas dan penerbangan, pelaksanaan serupa boleh dibuat untuk hab pelancong seperti Pulau Pinang dan di Sabah dan Sarawak, katanya.

Beliau berkata, sejak pembukaan VTL antara Singapura dan Malaysia yang bermula pada akhir November, pendapatan di beberapa tempat tarikan dan penginapan bertambah baik.

Pelaksanaan yang sama untuk Langkawi juga membantu pengusaha tempatan, kata Uzaidi.

“Lebih 2,000 warga asing yang tinggal di Malaysia melawat Langkawi, sama ada ke hotel atau melalui agensi pelancongan tempatan. Pelaksanaan sebegini memberi harapan,” kata Uzaidi, merujuk kepada aturan gelembung perjalanan antarabangsa ke pulau bebas cukai itu melalui penerbangan terus dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang.

Beliau berkata, banyak agensi pelancongan di Langkawi menerima pertanyaan daripada pelancong asing. Jualan pakej pelancongan sepanjang Tahun Baharu Cina juga bagus, katanya.

Permintaan pelancong domestik bagi hotel dan pakej pelancongan adalah bagi tempat seperti Port Dickson dan Pulau Redang, katanya. Jika tidak, penduduk tempatan cenderung tidak menggunakan perkhidmatan operator pelancongan bagi percutian domestik.

Rakyat tempatan juga mula melancong ke luar negara kerana rakyat Malaysia dibenarkan melancong di peringkat antarabangsa tertakluk kepada sekatan di negara destinasi.

“Kami mendapati peningkatan dalam tiket penerbangan ke tempat seperti Dubai, Turki dan Eropah pada akhir tahun lalu apabila sekatan semakin berkurangan.

“Jadi kami juga amat berharap Malaysia akan dibuka semula kepada pelancong asing,” katanya.

Presiden Malaysia Inbound Chinese Association (Mica) Dr Angie Ng berkata, pengusaha pelancongan bergantung harap kepada pakej domestik tetapi penerimaan daripada penduduk tempatan tidak memuaskan.

“Penduduk tempatan suka memilih tarikan pelancong yang jaraknya dua hingga tiga jam, seperti Tanjung Sepat, Sekinchan dan Genting Highlands. Tempat ini kini sudah tepu,” katanya.

Walaupun ramai yang bercuti semasa Tahun Baharu Cina, agensi pelancongan hampir tidak memperoleh apa-apa kerana orang ramai memilih untuk menempah hotel dan makanan mereka sendiri.

Hotel juga mendapat manfaat terutama yang terletak berhampiran tarikan pelancong.

Bagaimanapun, ia masih tidak mencukupi untuk mengatakan industri pelancongan sudah pulih, kata Ng.

Kerugian akibat pandemik Covid-19 amat teruk kerana agensi pelancongan tidak memperoleh sebarang pendapatan selama lebih dua tahun, kata Presiden Malaysian Chinese Tourism Association (MCTA) Paul Paw Ngee Soon.

Beliau berkata, 800 daripada 1,148 ahli persatuan itu kekal aktif.

“Pelancong tempatan tidak akan menempah pakej dengan agensi.

“Disebabkan pandemik, orang ramai juga tidak mahu bergaul dan bercakap dengan orang yang tidak dikenali.

“Penduduk tempatan boleh menempah hotel dan restoran sendiri dan tidak memerlukan agensi pelancongan sama sekali.”

Agensi berharap untuk membangunkan pakej pelancongan asing tetapi varian Omicron menyebabkan prospek tidak menentu.

“Keadaan pandemik yang kejap naik kejap turun menyebabkan industri pelancongan mengalami kerugian.” – 6 Februari, 2022.

Iklan
Iklan