Pengeksport sarang burung tidak terjejas dengan Covid-19
Iklan
EKSPORT sarang burung Malaysia yang boleh dimakan ke China tahun lalu meningkat 47.1% berbanding 2020, ketika permintaan terhadap produk kesihatan itu meningkat semasa pandemik Covid-19.
Chua Huai Gen, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat eksport Anming Resources Sdn Bhd, berkata permintaan meningkat walaupun kekurangan tenaga kerja dan caj pengangkutan lebih tinggi semasa pandemik kerana pengguna mengambil sarang burung sebagai penggalak imun.
Walaupun sektor logistik dan pengangkutan terjejas disebabkan sekatan pandemik, pesanan eksport syarikatnya meningkat sebanyak 25% tahun lalu.
Selain itu, langkah China meluluskan eksport oleh 41 syarikat sarang burung membantu meningkatkan permintaan, katanya.
“Permintaan dijangka meningkat pada 2022 dan industri sarang burung dijangka meneruskan eksport yang kukuh selagi China dan Malaysia menguruskan wabak Covid-19 dengan baik.
“Kami harap kerajaan dapat membantu industri sarang burung dalam mengambil pekerja asing (untuk mengatasi kekurangan buruh), kerana industri ini boleh memperoleh pendapatan pertukaran asing yang besar untuk negara,” kata Chua.
Chua, yang juga bekas presiden Persatuan Industri dan Pengeksport Sarang Burung Walit Malaysia, berkata sektor itu menyasarkan untuk mencapai eksport sebanyak 200 tan ke China sahaja.
Sementara itu, presiden persatuan semasa Low Siang Tim berkata, pengeksport sarang burung Malaysia mengatasi gelombang permintaan dengan menubuhkan cawangan di China untuk mengukuhkan bahagian pasaran.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan perkembangan sedemikian boleh membawa kepada isu kawalan kualiti. Sesetengah syarikat mungkin menjual produk berkualiti rendah dengan harga yang lebih murah untuk menguasai pasaran lebih besar.
Eksport sarang burung Malaysia yang boleh dimakan ke China disambung semula pada 2014 selepas China mengharamkan produk itu kerana pencemaran nitrit. Eksport disambung semula selepas China menyediakan pensijilan kualiti ketat yang mesti dipatuhi pengeksport.
“Dalam lapan tahun yang lalu, industri sentiasa berhadapan dengan peraturan baharu dan sekatan ke atas eksport sarang burung. Ini menyebabkan banyak kelewatan dan kami menghadapi kerugian besar.”
Keadaan bagaimanapun lebih baik sekarang kerana sebelum ini ia mengambil masa sebulan sebelum eksport dapat diselesaikan, namun kini hanya mengambil masa 15 hari, kata Low.
Cabaran utama pengeksport sekarang adalah kekurangan buruh dan bayaran logistik, kata Allen Tan, presiden Persekutuan Persatuan Pedagang Sarang Burung Malaysia.
Walaupun eksport meningkat hampir 50% tahun lalu, industri itu menghadapi kekurangan tenaga kerja dan memerlukan kira-kira 3,000 pekerja asing.
“Berita baik untuk kami pihak berkuasa pertanian membantu industri apabila mereka bekerjasama dengan kementerian Dalam Negeri dan Sumber Manusia untuk membawa masuk pekerja asing. Ini akan membantu kilang pemprosesan sarang burung yang kekurangan tenaga buruh.”
Bagi bayaran pengangkutan, Tan meramalkan ia akan meningkat sekitar 30% dan akan menjejaskan keuntungan syarikat.
Namun, beliau yakin tahun 2022 memberi sinar berdasarkan corak eksport yang menunjukkan pertumbuhan.
Menurut data platform Pusat Perkhidmatan Akademi Pemeriksaan dan Kuarantin China (CAIQ), eksport sarang burung Malaysia ke China meningkat daripada 3.09 tan pada 2014 kepada 33.3 tan pada 2018.
Pada 2019, 51.8 tan dieksport dan ia meningkat sekali ganda pada 2020 dengan 102.5 tan. – 7 Februari, 2022.