Iklan

Kenaikan 25% gaji minimum jejas pemulihan ekonomi, kata pengilang

Raevathi Supramaniam3 years ago7th Feb 2022Berita
Factory 03
Pada masa ini, gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 sebulan, susulan kenaikan RM100 pada Februari 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2022.
Iklan

RANCANGAN Putrajaya untuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 akan memberi kesan berganda kepada ekonomi dan menjejaskan pemulihan ekonomi Malaysia daripada wabak Covid-19, kata Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) hari ini.

Presidennya Soh Thian Lai berkata sebarang kenaikan gaji minimum mesti dilakukan secara progresif dan pertimbangan mesti diberikan kepada semua pihak berkepentingan.

“Dalam keadaan semasa pandemik di mana keadaan perniagaan masih rapuh bagi kebanyakan orang, perlu diakui sebarang peningkatan dalam kos perniagaan bagi pengilang akan mempunyai kesan berganda kepada ekonomi dan menjejaskan perniagaan serta pemulihan ekonomi.

“Pelarasan gaji mesti dilakukan secara progresif dan mengambil kira kesan kepada pelbagai pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Memandangkan perniagaan terjejas oleh rantaian bekalan global, peningkatan kos komoditi dan kekurangan tenaga kerja yang berpunca daripada Covid-19, kenaikan 25% gaji minimum akan memberi kesan yang tidak diingini, kata Soh.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan pada Sabtu berkata Kabinet sedang dalam proses memuktamadkan rancangan menaikkan gaji minimum kepada RM1,500 menjelang akhir tahun, seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

Pada masa ini, gaji minimum ditetapkan pada RM1,200 sebulan, susulan kenaikan RM100 pada Februari 2020.

Soh berkata kenaikan beransur-ansur kepada RM1,500 dengan rundingan bersama Majlis Perundingan Gaji Negara bagaimanapun dialu-alukan, katanya.

“Kami berasa kenaikan beransur-ansur dalam kadar gaji masih akan dapat menangani kenaikan kos sara hidup, yang kita semua alami pada masa ini akibat wabak dan gangguan bekalan yang berlaku.”

Sebarang kenaikan gaji juga mesti menunjukkan tahap produktiviti pekerja, tambah Soh.

FMM percaya dengan kawalan yang diperlukan ke atas kenaikan kos oleh kerajaan serta usaha bersepadu oleh industri bagi membiayai kenaikan kos secara dalaman, majikan boleh terus memastikan pekerjaan tidak akan terjejas, termasuk mampu menyediakan penyelarasan tahunan dan/atau kontrak kepada gaji walaupun mungkin minimum kerana kebanyakannya bergantung kepada prestasi perniagaan.

Semalam, Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berkata kenaikan gaji minimum pada masa sekarang tidak mungkin.

Presidennya, Syed Hussain Syed Husman berkata langkah itu akan menyebabkan lebih banyak aliran keluar wang dalam bentuk kiriman wang, kerana gaji minimum yang lebih tinggi akan memberi manfaat kepada pekerja asing yang melakukan pekerjaan dengan gaji rendah. – 7 Februari, 2022.

Iklan
Iklan