Iklan

Identiti pemberi maklumat pembalakan haram akan dirahsiakan, kata TKM Sarawak

Desmond Davidson3 years ago9th Feb 2022Berita
49932068888 2601c71139 o
Iklan

IDENTITI rakyat Sarawak yang memberikan maklumat mengenai pembalakan haram akan dilindungi, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Awang Tengah Ali Hassan memberi jaminan ini kepada rakyat Sarawak yang menurutnya mempunyai peranan penting dalam membantu pasukan penguatkuasa.

Katanya walaupun Sarawak menggunakan teknologi pengawasan yang canggih bagi mengesan pembalakan haram, penglibatan penduduk setempat tetap menjadi tunjang bagi mengesan kegiatan tersebut.

“Maklumat mereka boleh membawa kepada tindakan pantas,” katanya pada majlis pelancaran hari integriti dan inovasi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) di Kuching hari ini.

Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar II Sarawak itu berkata walaupun pembalakan haram masih wujud namun masalah itu masih “terkawal”.

“Tidak seperti dahulu,” tambahnya.

Terdahulu Awang Tengah berkata industri kayu Sarawak mula menunjukkan tanda-tanda ia akan keluar daripada kemerosotan berikutan pandemik Covid-19.

Tambahnya tahun lepas eksport kayu dan produk kayu negeri berjumlah RM3.89 bilion, meningkat 4 peratus daripada RM3.7 bilion eksport pada 2020.

Awang Tengah berkata sasaran eksport Sarawak menjelang tahun 2030 ialah RM8 bilion.

Papan lapis terus menjadi eksport kayu utama bagi negeri yang menyumbang 55 peratus jumlah eksport.

Awang Tengah berkata hasil daripada eksport papan lapis tahun lepas sebanyak RM2.15 bilion.

Papan berlamina di tempat kedua dan cip kayu ketiga dengan nilai eksport masing-masing RM334 juta dan RM213 juta, katanya.

Tambah Awang Tengah, Jepun terus menjadi pembeli utama yang mengimport RM2.04 bilion kayu dan produk kayu. – 9 Februari, 2022.

Iklan
Iklan