Iklan

Apa anda perlu tahu mengenai bank digital

Raevathi Supramaniam3 years ago10th Feb 2022Berita
Aeon credit fb
AEON Credit Service dan AEON Financial Service adalah antara 29 pemohon yang memohon lesen perbankan digital pertama negara. – Gambar Facebook, 10 Februari, 2022.
Iklan

BANK Negara Malaysia (BNM) bersedia untuk mengumumkan lima penerima lesen perbankan digital pertama yang mungkin berpotensi mentakrifkan semula sektor perkhidmatan kewangan negara.

Pengenalan bank digital bermaksud rakyat Malaysia boleh menjangkakan perkhidmatan perbankan yang boleh disesuaikan di hujung jari mereka, terutamanya bagi pelanggan yang terabai.

Dalam rangka kerja pelesenan itu, BNM berkata bank digital akan membolehkan aplikasi teknologi inovatif bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan individu dan perniagaan.

Bagi mendapatkan gambaran yang lebih baik tentang bank digital dan perkara yang akan mereka bawa kepada sektor kewangan Malaysia, The Malaysian Insight menemuramah ahli lembaga penasihat Fintech Association of Malaysia (FOAM) Ridzuan Aziz.

Beliau berkata, tidak seperti bank konvensional, bank digital tidak perlukan kehadiran fizikal namun masih mampu menyediakan semua kemudahan seperti bank biasa.

“Perbankan digital secara keseluruhannya merupakan model perniagaan baharu perbankan di mana ia menggunakan teknologi sepanjang proses perniagaan.

“Perbankan teras, penyelesaian perniagaan dan proses yang dihadapi pelanggan, ketiga-tiga komponen itu didigitalkan, menjadikannya kos efektif, mengutamakan pelanggan dan membolehkan pelanggan menyesuaikan perkhidmatan yang akan disampaikan oleh bank,” kata Ridzuan.

Perbezaan dengan perbankan dalam talian

Mengenai perbankan internet, Ridzuan berkata, urus niaga biasanya dibuat menggunakan peranti mudah alih atau mesin yang disediakan bank seperti mesin ATM atau mesin deposit tunai serta hanya terhad kepada perkhidmatan tertentu.

“Perbankan mudah alih menggunakan keupayaan internet untuk menyampaikan perkhidmatan. Perbezaannya, bank digital tidak perlukan sebarang kehadiran fizikal, tiada cawangan, tiada jenama, tiada mesin deposit tunai atau ATM,” katanya.

“Apa yang mereka buat ialah dengan memanfaatkan infrastruktur sedia ada dan menggunakan ATM Sistem Pembayaran Elektronik Malaysia (MEPS) bagi memudahkan pelanggan yang ingin beralih kepada bank digital.”

Walaupun bank digital tidak perlukan kehadiran fizikal, pelanggan tidak perlu bimbang untuk berhubung dengan bank berkenaan sebarang kebimbangan, kata Ridzuan.

“Akan ada orang yang bertanggungjawab menguruskan isu dan kebimbangan pelanggan kerana itu adalah sebahagian daripada keperluan kawal selia. Tidak akan ada misteri mengenai siapa pemilik bank itu, atau di mana ibu pejabatnya,” katanya.

Sejak pengumuman BNM mengenai rangka kerja pelesenan, ia telah menerima hampir 29 permohonan, tetapi hanya lima yang akan dipilih.

Antara 29 pemohon ialah konsortium Axiata dan RHB Bank, konsortium BigPay AirAsia dengan Malaysian Industrial Development Finance Berhad (MIDF) dan Ikhlas Capital, konsortium aplikasi super Grab-Singtel Asia Tenggara dan konsortium Sea Group-YTL serta AEON Credit Service dan AEON Financial Service.

Pihak yang dianugerahkan lesen perbankan digital perlu mematuhi peraturan Akta Perkhidmatan Kewangan (FSA) dan Akta Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSA).

Kelebihan bank digital

Salah satu kelebihan terbesar memiliki sistem perbankan digital ialah ia membenarkan perkhidmatan yang boleh disesuaikan ke atas pelbagai produk.

Bank digital, sementara memanfaatkan teknologi bagi menyediakan perkhidmatan, akan mempunyai rangkaian penuh kemudahan kredit yang dimiliki oleh bank tersedia.

“Ini adalah model perniagaan perbankan yang bukan produk standard. Perkhidmatan asas seperti pinjaman akan disediakan dan beberapa pemohon menawarkan perkhidmatan holistik termasuk insurans, pelaburan mikro serta nasihat kewangan sebagai sebahagian daripada operasi mereka.

“Apa yang mereka mahu lakukan ialah menyesuaikan tahap perkhidmatan dan bukannya produk standard. Malah jenis akaun simpanan akan disesuaikan bagi meningkatkan kehidupan.

“Bank digital ingin mendidik sambil melaksanakan, berkongsi dengan pelanggan jika mereka ingin berjimat, ini adalah cara anda buat dan mereka akan bantu anda,” kata Ridzuan.

Selain perkhidmatan yang boleh disesuaikan, bank digital juga menjimatkan kos dengan tenaga kerja yang kecil berbanding bank biasa.

“Berdasarkan bank digital sedia ada di United Kingdom, Hong Kong dan Singapura, kebanyakannya akan mempunyai antara 2,000 dan 3,000 pekerja apabila mereka menjadi organisasi yang matang berbanding bank tradisional yang mempunyai sekitar 15,000 pekerja.

“Bank tradisional menggunakan infrastruktur yang menelan belanja antara RM600 juta dan RM1 bilion untuk menjalankan bank. Bagi bank digital ini boleh dikurangkan sebanyak 65% hingga 70% dan boleh diterjemahkan kepada produk yang lebih murah,” kata Ridzuan.

Siapa sasaran bank digital?

Pangkalan pelanggan utama bank digital ialah mereka yang berumur 18 tahun ke atas, graduan awal, keluarga muda dan individu yang ingin memulakan perniagaan mereka sendiri serta perusahaan kecil dan sederhana, kata Ridzuan.

“Bank sedia ada tidak berminat dengan pelanggan jenis ini. Dari perspektif pulangan pelaburan, pelanggan ini tidak memberikan pulangan yang terbaik.

“Tumpuan lebih kepada mereka yang belum dilayan bank tradisional atau mereka yang kurang diberi perkhidmatan oleh bank tradisional.”

Semua ini, bagaimanapun, tidak bermakna bank digital mencuri pelanggan daripada bank tradisional.

“Apabila lesen diberikan, bank digital akan mengambil masa antara 12 dan 18 bulan untuk melaksanakan rancangan mereka memulakan operasi perbankan.

“Mereka (bank tradisional) tidak akan merasai tekanan dari segi pelanggan berpindah. Ia tidak akan jadi peralihan yang cepat.

“Pelanggan akan mahu menganalisis kelebihan dan risiko. Ini mesti dijelaskan bagi mewujudkan kesedaran.”

Kriteria utama bank digital

BNM telah menyenaraikan lima kriteria utama untuk pemohon, antaranya ialah memacu rangkuman kewangan, termasuk memastikan akses berkualiti dan penggunaan perkhidmatan kewangan yang bertanggungjawab.

Bank digital juga mesti mengekalkan ambang aset tidak lebih daripada RM3 bilion dalam tempoh tiga hingga lima tahun pertama fasa asasnya.

Ia mesti mematuhi peraturan FSA dan IFSA, menawarkan akses bermakna dan bertanggungjawab, penyelesaian kewangan mampu milik selain menjaga integriti dan kestabilan sistem kewangan melalui dana modal sebanyak RM100 juta pada fasa awal.

Bank pusat itu juga sedang melihat tiga jenis bank digital dalam kalangan 29 pemohon itu.

Ia sedang mencari bank digital pakar bagi menyasarkan pelanggan tertentu dengan produk yang disesuaikan, pemain ekosistem yang memanfaatkan jenama, jejak saluran dan pelanggan sedia ada daripada perkhidmatan bukan perbankan sebagai penyedia perbankan asas yang inovatif yang menawarkan produk mudah untuk perbankan harian. – 10 Februari, 2022.

Iklan
Iklan