Iklan

Masih tiada jejak kanak-kanak Orang Asli yang hilang

Raevathi Supramaniam3 years ago10th Feb 2022Berita
Orang asli missing temenggor gerik 04
Kasima Anab memegang baju anak perempuannya Ayeng yang hilang ketika mengutip rotan kira-kira sebulan lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Februari, 2022.
Iklan

KUMPULAN mencari masih giat meredah Hutan Simpan Temenggor di Perak bagi mengesan jejak kanak-kanak Orang asli Kamiliah Anab berusia 9 tahun yang hilang ketika mengutip rotan kira-kira sebulan lalu.

Kamiliah atau mesra dipanggil Ayeng dalam kalangan rakan dan keluarganya berasal dari suku Jahai di Kampung Sealor di Gerik, Perak. Dia hilang sejak 13 Januari lalu selepas keluar mengutip rotan bersama ahli keluarganya.

Ayeng kali terakhir dilihat berbaju warna kuning dan seluar oren bersama beg galas.

Asok, tok batin (ketua kampung) yang menyelaraskan kumpulan mencari dalam kalangan penduduk kampung berkata hujan lebat di kawasan itu menyukarkan pencarian Ayeng.

“Kami masih mencarinya setiap hari tetapi hampir empat minggu kami tidak menjumpai barangan yang dibawanya ketika dia memasuki hutan.

“Di sini juga hujan lebat jadi laluan berlumpur dan licin,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang melibatkan polis, Jabatan Bomba, unit penjejak polis Orang Asli Senoi Praaq, Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF) dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (Jakoa) mencari mangsa selama enam hari dari 14 Januari hingga 19 Januari.

Ayeng yang mempunyai masalah kesihatan mental juga takut kepada orang yang tidak dikenali, kata ibunya Kasima Anab.

“Setiap kali dia melihat orang yang tidak dikenali dia akan bersembunyi dan tidak akan keluar.

“Ada kemungkinan apabila pasukan penyelamat pergi mencarinya dia bersembunyi kerana takut,” kata Kasima membayangkan itu mungkin antara sebab pasukan SAR tidak dapat menemui anaknya.

Gambar Kamiliah Anab yang dikenali sebagai Ayeng dalam kalangan keluarga dan rakan-rakannya di perkampungan Orang Asli Selaor di Gerik, Perak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 10 Februari, 2022.

Sepasukan sukarelawan daripada badan bukan kerajaan Panthera yang menjalankan pencarian grid bersama-sama pasukan penduduk kampung dari 20 hingga 26 Januari juga tidak menemui jejaknya.

Sementara pencarian yang diselaraskan oleh pihak berkuasa sudah dihentikan, beberapa pasukan dari balai polis Gerik berulang-alik ke kampung untuk meneruskan pencarian Ayeng.

“Kami sudah masuk semula ke hutan dua kali dalam dua minggu lalu tetapi seperti sebelum ini kami tidak menemui apa-apa,” kata sumber dari balai polis Gerik.

Anggota penyelamat sebelum ini menyifatkan bentuk muka bumi sebagai mencabar dengan dedaunan tebal selain menjadi rumah kepada haiwan liar seperti harimau dan gajah.

Asok berkata keluarga Ayeng dan penduduk kampung akan terus mencarinya.

“Kami tidak akan berputus asa dengan dia. Jika kami memutuskan untuk berhenti mencari kami akan memaklumkan kepada pihak berkuasa,” kata mereka. – 10 Februari, 2022.

Iklan
Iklan