Iklan

KKM tolak dakwaan Pharmaniaga tentang keberkesanan dos penggalak Sinovac

Raevathi Supramaniam3 years ago10th Feb 2022Berita
51013549868 5b2ae492f5 o
Institut Penyelidikan Klinikal berkata di peringkat dunia, ada bukti konsisten vaksin campuran menghasilkan tindak balas imun lebih baik, malah lebih berkesan berbanding rangsangan homolog buat penerima Sinovac. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Februari, 2022.
Iklan

PHARMANIAGA Bhd telah memberi gambaran tidak tepat tentang keberkesanan vaksin campuran untuk Omicron Covid-19 bagi penerima vaksin Sinovac sebagai dos primer, kata Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini.

Ia berkata di peringkat dunia, terdapat bukti konsisten menunjukkan rangsangan heterolog menghasilkan tindak balas imun yang lebih baik, malah lebih berkesan berbanding rangsangan homolog buat penerima Sinovac, kata institut itu, memetik tiga kajian dalam responsnya terhadap Pharmaniaga hari ini.

Satu daripadanya adalah kajian di Republik Dominican, yang mendapati peneutralan terhadap varian Omicron tidak dapat dikesan pada penerima yang telah mendapat dua dos vaksinasi primer jenis Sinovac.

“Dos penggalak Pfizer menghasilkan aktiviti peneutralan 1.4 kali ganda lebih tinggi terhadap Omicron jika dibandingkan dengan hanya dua dos vaksin mRNA.”

Bagaimanapun, ia juga menyatakan dalam kajian tersebut, tidak ada kumpulan penerima dos penggalak homolog (Sinovac) bagi membenarkan perbandingan antara dos penggalak campuran dan homolog.

Satu lagi kajian adalah di Hong Kong yang juga menunjukkan dua dos Sinovac diikuti oleh penggalak Pfizer meningkatkan peneutralan antibodi terhadap Omicron tiga hingga lima minggu selepas penggalak.

Bagaimanapun, tiga dos Sinovac gagal menimbulkan tindak balas yang sama dalam kajian Hong Kong tersebut, kata institut itu.

Memetik kajian ketiga, yang dibuat di Brazil, institut itu berkata rangsangan heterolog dengan vaksin AstraZeneca, Janssen dan Pfizer telah menghasilkan perlindungan yang lebih kukuh, berbanding rangsangan homolog dengan Sinovac.

“Kajian mendapati dos penggalak heterolog bagi vaksin AstraZeneca, Janssen dan Pfizer telah meningkatkan kapasiti peneutralan sampel serum dengan ketara terhadap kedua-dua varian Delta dan Omicron (sekurang-kurangnya 90 peratus seropositif selepas dos penggalak), berbanding tindak balas yang sangat rendah yang diperhatikan selepas penggalak Sinovac homolog dengan hanya 35 peratus menjadi seropositif terhadap Omicron.”

Ia juga memetik data dari Chile, yang memerhatikan “keberkesanan vaksin yang diselaraskan terhadap pesakit Covid-19 tanpa gejala sebanyak 78.8 peratus untuk tiga dos Sinovac”.

Ini lebih rendah jika dibandingkan dengan 96.5 peratus dengan dos penggalak Pfizer, dan 93.2 peratus dengan penggalak AstraZeneca - dalam setiap kes selepas dua dos primer jenis Sinovac.

“Keberkesanan yang diperhatikan terhadap kemasukan ke hospital, kemasukan ICU dan kematian berkaitan Covid-19 juga lebih tinggi bagi penggalak heterolog (Pfizer, AstraZeneca) berbanding penggalak homolog (Sinovac),” kata institut itu mengenai data Chile.

Ia juga memetik data di Malaysia, di mana analisis 13 juta individu dibuat membandingkan penerima Pfizer dan Sinovac sebagai vaksin primer.

“Di antara penerima Sinovac, penggalak heterolog (vaksinasi utama Sinovac, diikuti oleh penggalak Pfizer) menawarkan perlindungan yang lebih besar terhadap jangkitan, berbanding dos penggalak homolog (tiga dos Sinovac).”

Kenyataan institut itu dibuat selepas Pharmaniaga menyangkal dakwaan KKM yang dos penggalak Pfizer-BioNTech akan meningkatkan tahap perlindungan terhadap varian virus baharu seperti Omicron, terutamanya bagi mereka yang dos primernya ialah vaksin Sinovac.

Syarikat farmaseutikal itu merupakan pengedar tunggal vaksin CoronaVac Sinovac negara.

Kenyataan Pharmaniaga sebelum ini berdasarkan data daripada penyelidikan oleh pengeluar vaksin China, Sinovac Biotech Ltd, yang dilaporkan menunjukkan tiga dos vaksin Sinovac menghasilkan antibodi peneutral lebih tinggi dalam 95 peratus penerima berbanding dengan 3.3 peratus dengan dos kedua terhadap varian yang membimbangkan termasuk Omicron.

KKM telah mengesyorkan dos campuran menggunakan Pfizer atau AstraZeneca selain menyediakan pilihan ini hanya dalam program imunisasi kebangsaannya.

Mereka yang ingin mengambil suntikan penggalak jenis Sinovac, bagaimanapun, masih mempunyai pilihan untuk berbuat demikian dengan berbuat demikian dengan menggunakan duit sendiri di hospital atau klinik swasta.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata dengan membenarkan pilihan ini adalah lebih baik supaya mereka yang berkeras untuk penggalak Sinovac akan mendapat suntikan penggalak, dan bukannya tidak suntik langsung. – 10 Februari, 2022.

Iklan
Iklan