Iklan

Muda ada peluang, kata pengundi muda Johor

Mohd Farhan Darwis3 years ago11th Feb 2022Berita
Johor 080222 tmiseth 11
Kavin Arulneesan (tengah) berpendapat kelompok pengundi sepertinya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada mana-mana parti politik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 11 Februari, 2022.
Iklan

PENGUNDI baharu yang pertama kali dibenarkan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor melihat Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mampu menarik minat untuk memilih.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight, Muda layak diberikan peluang dalam PRN yang dijadualkan berlangsung pada 12 Mac akan datang.

Kavin Arulnesan, 22, berpendapat kelompok pengundi sepertinya tidak meletakkan harapan yang tinggi kepada mana-mana parti politik sebaliknya menilai calon atas kapasiti peribadi.

“Kita mahu orang muda, pilihan kita pula ikut calon, kita tak nak parti-parti lagi. Orang tua kita sudah beri mereka peluang dan sekarang kita beri peluang kepada orang muda buktikan apa mereka boleh buat.

“Susah (sokongan berasaskan) parti kerana bila mereka berjanji mereka tak buat (laksanakan janji),” katanya pemuda berasal dari Kulai, Johor itu.

Usahawan muda itu melihat Muda yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mampu menarik minatnya untuk keluar mengundi.

“Syed Saddiq harapan kami,” katanya ketika ditemui.

Pengundi seperti Kavin membentuk kira-kira 30% daripada keseluruhan 2,597,742 bilangan pengundi di Johor.

Beliau berpeluang mengundi selepas pindaan Perkara 119 Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan had umur mengundi diturunkan daripada 21 tahun kepada 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dilaksanakan.

Bagi Nabila Natasha, 25, imej Syed Saddiq itu sendiri mampu menarik minat pengundi muda sepertinya terhadap Muda, berbanding sayap pemuda parti politik lain.

“Syed Saddiq orang muda dan bagus, dia boleh tarik minat orang muda, dan orang muda mestilah kenal dia. Orang muda akan tertarik. 

“Jika dibandingkan dengan parti lain, mereka tak tonjolkan orang muda mereka, jadi orang muda tak tertarik dengan mereka,” katanya.

Sarventharan, 22, pula tertarik dengan amalan Muda yang menurutnya lebih telus dan terbuka selain membawa imej yang tidak melibatkan perkauman.

“Kalau Syed Saddiq masuk bertanding saya akan undi dia terus, dia telus, itu yang kami mahu… Muda juga tidak bersifat perkauman.

“Kalau parti lain saya akan nilai dahulu janji dan manifesto sebelum saya buat keputusan nak mengundi mereka.

Klau parti Syed Saddiq saya tidak tunggu lagi, terus undi,” kata akauntan dari Senai itu.

Sementara itu, Haikal, 22, pula melihat sudah tiba masanya negara ditadbir kelompok muda dan parti Muda dilihatnya mempunyai peluang.

“Muda ada peluang sebab keadaan semasa rakyat Malaysia tidak lagi mengundi berdasarkan parti yang sudah lama bertapak. 

“Kami sudah boleh fikir siapa layak dan tidak. Kita akan undi siapa yang layak untuk mentadbir,” kata penuntut institut pendidikan tinggi awam itu.

Kumpulan pengundi yang sudah berusia juga berpendapat Muda harus diberikan peluang dalam PRN tersebut bagi membolehkan generasi muda menimba pengalaman.
 
“Kali ini (PRN) kalau masih calon lama kita pilih macam mana pun tak guna. Zaman ini perlukan orang muda.

“Kita jangan tengok parti, tengok orang itu pandai atau tidak. Kita tak mahu lihat parti lagi, calon pandai kerja, muda, kita pilih dia,” kata Ng Chye Hock, 60.

Pemilik cafe di bandar raya Johor Bahru berkata, generasi muda masih berpeluang dilentur berbanding pemimpin tua.

“Orang muda ada masa panjang, orang tua kalau kita cakap dah tak mahu dengar. Orang muda pandangan dan masa hadapan mereka berbeza. 

“Pengalaman tak kisah, lama-lama dia belajar dia pandai. Saya pun ambil pekerja muda, dia datang dengar arahan lama-lama pandai,” katanya.

Ng bagaimanapun melihat komuniti perniagaan memerlukan lebih daripada faktor usia semata-mata untuk dibuat pilihan dalam PRN.

Menurutnya, sektor perniagaan kata mahukan kerajaan yang lebih stabil untuk membolehkan ekonomi berkembang.

“Kalau secara peribadi, Syed Saddiq boleh dapat (kerusi) tetapi kalau parti dia susah nak menang,” katanya.

Muda setakat ini mengumumkan parti itu akan bertanding di enam daripada 56 kerusi DUN Johor iaitu – di Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap, Puteri Wangsa dan Bukit Permai.

Pengumuman itu hasil rundingan bersama Amanah dan DAP dan Muda juga masih berunding dengan PKR untuk agihan kerusi lain bagi mengelakkan pertembungan sesama pembangkang. – 11 Februari, 2022.

Iklan
Iklan