Iklan

Pejuang umum tanding solo 42 kerusi PRN Johor

Mohd Farhan Darwis3 years ago10th Feb 2022Berita
Pejuang johor 100222 tmiseth 02
Ahli Pejuang mengibarkan bendera parti semasa majlis pelancaran jentera Pejuang di Dewan Koperasi Perpaduan Iskandar Puteri, di Skudai, Johor malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Februari, 2022.
Iklan

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) mengumumkan akan bertanding di 42 daripada 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor secara bersendirian menggunakan logo parti itu, kata presidennya Mukhriz Mahathir.

Ahli Parlimen Jerlun itu berkata, Pejuang tidak bekerjasama dengan mana-mana parti pembangkang termasuk Parti Ikatan Demokratik (Muda) kerana enggan bersama dalam konsep khemah besar kerana terdapat perjanjian antara gabungan pembangkang dan kerajaan.

“Kami tidak yakin dengan konsep itu (khemah besar) kerana ia datang daripada pihak yang tandatangan perjanjian persefahaman dengan kerajaan.

“Kita tak boleh langsung dilihat bersekongkol dengan kerajaan hari ini, di mana ada kleptokrat di situ kami tiada, kami tak boleh tandatangan kerjasama dengan kerajaan. 

“Atas sebab itu kami lihat lebih baik kalau bertanding solo,” katanya kepada pemberita.

Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya (kiri), Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir (tengah) dan Ketua Pejuang Johor Dr Shahruddin Md Salleh ketika majlis pelancaran jentera parti itu di Dewan Koperasi Perpaduan Iskandar Puteri, di Skudai malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Februari, 2022.

Mukhriz berkata demikian selepas majlis pelancaran jentera Pejuang di Dewan Koperasi Perpaduan Iskandar Puteri, di Skudai malam tadi.

Katanya, Pejuang berharap untuk jadi pilihan kumpulan pengundi atas pagar di PRN Johor kali ini.

“Ada 56 kerusi dipertandingkan, kita tak tanding semua, kita beri perhatian kepada 42 kerusi, semua calon kami bertanding bawah panji Pejuang.

“Maklum balas diterima kami sedikit terkebelakang berbanding Umno dan Barisan Nasional (BN) tapi ada sejumlah pengundi atas pagar yang belum buat keputusan, kalau kita yakinkan mereka Pejuang ada peluang menang,” katanya. 

Mukhriz juga berkata Pejuang tidak menamakan calon menteri besar daripada parti itu tetapi menimbangkan untuk menggunakan imej pengerusi Dr Mahathir Mohamad di poster kempen.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir berkata partinya tidak bekerjasama dengan mana-mana parti termasuk Muda kerana enggan bersama dalam konsep khemah besar kerana terdapat perjanjian antara gabungan pembangkang dan kerajaan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 10 Februari, 2022.

“Belum ada calon menteri besar lagi, kami mahu fokus kemenangan calon, tidak bermakna namakan satu calon dia menang tetapi parti tak mampu menang. Itu berlaku kepada Pakatan Harapan di Melaka, kami tak mahu ulangi kesilapan itu,” kata Mukhriz.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Timbalan Presiden Pejuang Marzuki Yahya dan Ketua Pejuang Johor Dr Shahruddin Md Salleh.

SPR menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian dengan 26 Februari sebagai hari penamaan calon.

Mukhriz berkata, senarai calon Pejuang sedang dimuktamadkan dan akan diumumkan dalam satu majlis pengenalan calon menjelang hari penamaan calon.

“Kita ada dokumen aspirasi Pejuang Johor dan akan senaraikan perkara yang dirasakan penting untuk diisytiharkan kepada rakyat Johor,” tambahnya. – 10 Februari, 2022.

Iklan
Iklan