Iklan

Komuniti Cina Terengganu kecewa dipinggir kerajaan PAS

Diyana Ibrahim3 years ago12th Feb 2022Berita
49974678471 4df33608bb b (1)
Usahawan Cina Terengganu dan pemimpin komuniti masyarakat itu mendakwa mereka terus dipinggirkan sejak PAS memerintah negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2022.
Iklan

USAHAWAN Cina Terengganu dan pemimpin komuniti masyarakat itu kecewa kerana dasar pentadbiran PAS di negeri tersebut terus meminggirkan mereka.

Ketika ditemui The Malaysian Insight, mereka antara lain hampa kerana disisihkan daripada menerima bantuan selepas berdepan kegawatan teruk akibat pandemik Covid-19.

Seorang anak jati negeri itu, Han berkata beliau cuba memohon bantuan kerajaan kerana resortnya terjejas akibat kawalan pergerakan untuk mengekang jangkitan itu.

Namun Han, 70, kecewa kerana permohonan bantuan ditolak oleh kerajaan negeri tanpa alasan, menyebabkan beliau tiada pilihan selain menjual tanah dan keretanya bagi menampung kerugian.

“Memang sejak PAS memerintah Terengganu tidak apa sangat yang dilakukan oleh parti itu kepada komuniti Cina.

“Kita rasa dipinggirkan sebab komuniti Cina langsung tidak termasuk dalam sebarang peruntukan atau bajet.

“Banyak polisi atau dasar yang dibuat juga tidak memberi manfaat kepada kaum Cina di negeri ini,” katanya ketika ditemui.

Han berkata, antara contoh paling ketara adalah suasana sambutan Tahun Baru Cina di negeri itu yang suram, tidak seperti sebelum ini.

“Dulu setiap tahun mesti ada festival semasa perayaan Tahun Baru Cina. Memang kawasan ini sangat meriah dengan hiasan.  

“Kalau tengok sekarang ini mana ada? Mereka boleh boleh beri alasan sebab Covid-19 tapi hiasan jalan pun kurang, apatah lagi nak program dengan komuniti Cina langsung tak ada,” katanya.

Luah Han lagi, komuniti Cina bukan sahaja kecewa bahkan sudah putus harapan dan tidak mengharapkan apa-apa lagi kepada kerajaan negeri.

Namun katanya ia bukan bermaksud hubungan komuniti itu dengan kaum Melayu bermasalah kerana sejak dari dulu ia sangat kukuh dan harmoni.

Komuniti Cina di Terengganu berjumlah kira-kira 26,400 orang membentuk minoriti di negeri itu – sebanyak 2.4% peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya.

Han berkata moyangnya berhijrah ke Kuala Terengganu sejak pemerintahan Dinasti Ming di China dan kini keluarganya berkembang kepada enam generasi di bandar itu.

“Orang tua kami semua pakai sarung, kain batik. Anak kami makan budu, cakap Terengganu fasih. Memang Cina Terengganu berbeza tak macam di negeri lain seperti di Kuala Lumpur,” katanya.

Komuniti Cina di Terengganu berjumlah kira-kira 26,400 orang membentuk minoriti di negeri itu – sebanyak 2.4% peratus daripada jumlah keseluruhan penduduknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2022.

Mana duit royalti minyak?

Seorang ejen hartanah yang hanya mahu dikenali sebagai Lee, 65, pula berkata komuniti Cina juga tidak gembira dengan prestasi kerajaan negeri sejak mentadbir Terengganu.

Lee berkata komuniti Cina melihat prestasi kerajaan negeri sangat lemah dan hanya meneruskan pembangunan yang dilakukan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN).

Ujarnya hal itu menyebabkan ramai tertanya-tanya ke manakah duit royalti minyak yang diterima dibelanja oleh kerajaan negeri kerana tempiasnya tidak dirasai.

“Memang lemah sebenarnya bukan pada komuniti Cina, kaum Melayu Terengganu rasa begitu juga tentang PAS ini,” katanya.

Sejak PAS kembali mentadbir Terengganu pada 2018, tiada projek baharu dapat dilihat kecuali mercu tanda yang dihasilkan sewaktu pentadbiran BN, katanya.

“Yang kita nampak kerajaan negeri hanya meneruskan projek BN, macam jambatan angkat, pusat beli belah Mayang Mall.

“Sedangkan duit royalti minyak dapat banyak, kita pun tak tahu apa sebenarnya yang kerajaan buat dengan duit royalti minyak tersebut.

“Masa zaman BN kita nampak banyak pembangunan yang dilakukan,” katanya.

Pentadbiran PAS pimpinan Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar menerima bayaran royalti peringkat pertama bagi tahun 2018 dan 2019 yang dibuat secara tiga kali berjumlah RM450 juta.

Terengganu kembali ditadbir PAS selepas PRU 2018 dan menerima bayaran royalti minyak seperti dijanjikan oleh kerajaan persekutuan baharu pimpinan Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2022.

Anggaran keseluruhan yang akan diterima dianggar mencecah RM1.6 bilion dengan baki bayaran seterusnya sepatutnya diterima September lalu.

Ketika PAS menguasai Terengganu selepas pilihan raya umum (PRU) 1999, wang royalti itu dibayar sebagai wang ehsan melalui jawatankuasa kawalan BN.

Ia disalurkan semula secara terus kepada kerajaan negeri apabila Terengganu jatuh semula ke tangan BN dalam PRU seterusnya.

Bayaran itu membolehkan Terengganu menceburi pelaburan melalui Badan Kuasa Pelaburan Terengganu (TIA) bawah BN.

Dana kedaulatan itu diubah menjadi syarikat pelaburan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang seterusnya dibelit kontroversi dan menjadi skandal kewangan terbesar dunia.

Terengganu kembali ditadbir PAS selepas PRU 2018 dan menerima bayaran royalti berkenaan seperti dijanjikan oleh kerajaan persekutuan baharu pimpinan PH.

Mengulas prestasi PAS, Lee seterusnya melihat kerajaan negeri banyak melakukan pembaziran, seperti contoh unit bangunan anak syarikat negeri (GLC) yang terbiar kosong tanpa penyewa.

“Kita ambil contoh depan pejabat saya mereka bina bangunan ada 100 lebih unit tapi hanya 70 peratus saja yang ada penyewa yang lain kosong dan terbiar begitu saja.

“Memang banyak bangunan yang terbiar di Terengganu. Bagi saya, dari dibiar kosong kerajaan negeri bukalah sewa kepada orang luar tidak kira bangsa apa pun.

“Ini bila dibiar kosong ia jadi pembaziran, lepas itu bila rosak kos penyelenggaraan pula (meningkat),” katanya.

MB tidak pernah jumpa komuniti Cina

Lee berkata lagi, ketiadaan wakil rakyat dari kaum itu menyebabkan suara dan hak mereka dipinggirkan.

Katanya dulu kaum Cina Terengganu diwakili oleh seorang wakil rakyat dari MCA namun kalah dalam PRU12.

Lee berkata penolakan pengundi Cina terhadap wakil rakyat mereka sendiri kerana terlalu marah dengan isu rasuah BN.

“Komuniti Cina tak ramai kalau di bandar ada dalam 10,000 orang. Yang boleh mengundi dalam 7,000 hingga 8,000 yang keluar mengundi dalam 6,000 ke 7,000.

“Dulu kita ada wakil rakyat dari BN yang menang undi ini tapi semasa PRU14 kaum Cina tolak kerana benci rasuah semasa BN.

“Bagi saya sentimen pengundi Cina mereka tidak kekal dan boleh berubah bila-bila masa dan tidak mengundi atas nama parti tapi melihat kepada faktor calon,” katanya.

Sementara itu ahli mesyuarat jawatankuasa MCA Teoh Chin Yaw melihat komuniti Cina berasa tiada aktiviti dibuat kerajaan negeri yang boleh mengalakkan ekonomi di Terengganu.

Komuniti Cina di Terengganu mendakwa Menteri Besar Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah bertemu atau mengadakan program dengan komuniti mereka selama memegang jawatan tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Februari, 2022.

Bekas pengerusi MCA negeri itu berkata kerajaan negeri juga tidak pernah memberikan sebarang bantuan kepada kaum Cina yang terkesan dengan Covid-19.

“Dulu kita ada (salur) bantuan, ataupun mohon rumah kos rendah. Dan juga tidak ada langsung bantuan kepada komuniti Cina yang terjejas semasa Covid-19, tidak ada.

Lebih teruk lagi, tiada peruntukan yang diberikan kerajaan negeri bagi mengadakan program atau menggantung hiasan pada Sambutan Tahun Baru Cina kali ini, katanya.

Katanya, peruntukan sambutan perayaan itu sepatutnya dapat disalurkan sama ada melalui kerajaan negeri atau dari persatuan.

“Tapi sebenarnya persatuan pun dapat dana dari kerajaan negeri juga. Tapi apa yang dimaklumkan pada saya tahun ini memang tidak ada satu pun peruntukan untuk adakan program atau bagi hiasan.

“Kalau ada pun program pun hanya dibuat seorang dua wakil rakyat sahaja. Sebab itu sambutan tahun baru ini suram dan tidak meriah.

“Seolah-olah kita komuniti Cina ini tidak dapat galakan atau sokongan dari kerajaan negeri,” katanya.

Selain itu dakwanya Ahmad Samsuri Mokhtar tidak pernah bertemu atau mengadakan program dengan komuniti Cina selama memegang jawatan tersebut.

“Selama ini menteri besar tidak pernah ada program bersama komuniti Cina. Kerana itu komuniti Cina ini kata menteri besar tidak mesra, tak pernah bantu rakyat terutama yang minoriti seperti kaum Cina,” katanya. – 12 Februari, 2022.

Iklan
Iklan