Iklan

Pakatan Selangor selesai rundingan 35 kerusi DUN

Yasmin Ramlan7 years ago7th Feb 2018Berita
Gobind singh deo 171117 tmiseth 08
Timbalan Pengerusi kebangsaan DAP Gobind Singh berkata 35 kerusi DUN dapat diselesaikan menerusi mesyuarat hari ini antara semua parti dalam Pakatan Harapan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Februari, 2018.
Iklan

PAKATAN Harapan Selangor berjaya menyelesaikan agihan untuk 35 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu melalui rundingan rasmi hari ini.

Menurut Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP Gobind Singh, agihan yang diselesaikan itu melibatkan kerusi asal yang ditandingi oleh PKR, DAP dan Amanah.

“Kita telah menyelesaikan 35 kerusi di mana saya rasa dalam 60 peratus hingga 62 peratus dari jumlah kerusi yang ada.

“Dan apa yang kami akan lakukan seterusnya perbincangan dua pihak dan tiga pihak antara parti secara berasingan sebelum menyelesaikan perundingan kerusi yang lain,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat tersebut hari ini.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Amanah Saari Sungib pula berkata, parti itu mensasarkan untuk bertanding di 20 kerusi DUN yang ditandingi oleh PAS pada PRU13. 

Lima lagi kerusi akan diserahkan untuk ditandingi Bersatu, katanya.

“Secara prinsipnya, kita bertanding untuk menggantikan PAS. Kita akan bertanding di semua kerusi yang ditandingi PAS. Kita juga terbuka untuk berbincang untuk menyerahkan empat hingga lima kerusi kepada PPBM.

“Tetapi kita akan tuntut 20 kerusi. Dua kerusi kita sudah ada ketika ini. Kalau parti lain mahukan juga, kita boleh bincang seterusnya,” katanya.

Dalam PRU13, PAS Selangor menerusi gabungan parti dalam Pakatan Rakyat menang 15 kerusi hasil pertandingannya di 21 kawasan DUN.

Bagaimanapun, dua daripada Adun PAS iaitu Hasnul Baharuddin (Morib) dan Saari (Hulu Kelang) keluar parti dan menyertai Amanah pada 2015.

Setiausaha PH Selangor Zuraida Kamaruddin berkata, mesyuarat intensif diadakan selama dua minggu di Vista Alam, Shah Alam bagi menyelesaikan rundingan kerusi di Selangor.

“Dua minggu ini ada mesyuarat intensif. Insya-Allah dalam dua minggu selesai. Esok pukul 3 petang ada mesyuarat lagi,” katanya yang gembira dengan perjalanan mesyuarat terbabit.

PKR dan PAS masing-masing menguasai 13 kerusi dalam 56 kerusi DUN Selangor. DAP menguasai 14 kerusi sementara Amanah, dua.

Barisan Nasional (BN) pula mempunyai 12 kerusi sementara dua lagi diwakili Adun bebas.  – 7 Februari, 2018.

Iklan
Iklan