Gabungan NGO gesa bentang Akta Keharmonian Nasional di Parlimen
Iklan
SEMUA parti politik harus menunjukkan komitmen mereka untuk perpaduan nasional yang inklusif dengan meletakkannya dalam manifesto pilihan raya mereka, kata gabungan NGO, mendesak para pemimpin politik agar menjadikan pilihan raya umum ke-14 bersih.
Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) Zaid Kamaruddin berkata beberapa pertimbangan dasar adalah penting untuk mencapai objektif perpaduan nasional, seperti mengkaji semula pelan tindakan untuk perpaduan nasional serta membentangkan Akta Keharmonian Negara di Parlimen.
“Ini adalah perkara yang perlu diperkatakan, dan mereka memperkatakannya sejak sekian lama. Sama ada kerajaan mahupun pembangkang, mereka semua bercakap mengenai perpaduan negara.
“Semua orang menghargai perpaduan negara dan gesaan kami adalah perkara yang biasa bagi mereka (parti pemerintah dan pembangkang), tetapi kami mahu mendengar dan melihat mereka masukkan ke dalam manifesto, untuk menunjukkan komitmen mereka.
“Sekiranya kamu benar-benar mahu bersatu padu, sila komited kepada perpaduan nasional yang inklusif, tangani ucapan kebencian,” katanya dalam satu sidang akhbar di Dewan Perhimpunan Cina Selangor dan Kuala Lumpur (KLSCAH) di Kuala Lumpur hari ini.
GBM merupakan sebuah gabungan pelbagai kaum dan agama yang tidak berpihak, terdiri daripada 27 organisasi masyarakat sivil.
Zaid berkata ruang awam telah tercemar dengan kebencian kaum dan agama, dengan peristiwa baru-baru ini menunjukkan bahawa pilihan raya 2018 akan menjadi yang paling sengit.
“Kamu telah melihat kenyataan yang membuat orang sangat tidak selesa atau tidak inklusif, sama ada oleh pemimpin politik atau pemimpin masyarakat, yang boleh menjadi sangat memecah belah.
“Apabila masyarakat didedahkan dengan perkara yang tidak inklusif atau ucapan kebencian, ia menimbulkan kemarahan rakyat secara keseluruhannya, namun bila tidak, bermakna ia tidak sampai.
“Pemimpin masyarakat atau pemimpin politik perlu memainkan peranan mereka,” katanya.
Tambahnya, gabungan itu juga menyeru semua parti politik untuk menghentikan politik kotor, yang menyalahgunakan bangsa dan agama serta menimbulkan ketaksuban, kebencian, perselisihan serta politik yang menimbulkan rasa cemas, ketidakamanan, ketidakpercayaan dan permusuhan.
“Kami juga menggesa agar semua parti politik menolak semua bentuk amalan rasuah, termasuk membeli undi dan pengundi hantu.
“Terdapat banyak yang memerlukan perhatian dan penyelesaian segera. GBM menyeru semua parti politik untuk menangani isu-isu negara dalam manifesto mereka,” katanya.
Antara cadangan lain yang digariskan oleh gabungan itu termasuk penubuhan Jawatankuasa Perpaduan Nasional di peringkat kementerian bagi mengawasi pelaksanaan program perpaduan nasional di seluruh negara, mengkaji semula kurikulum sekolah dan universiti serta ko-kurikulum untuk mengintegrasikan aktiviti yang memupuk semangat perpaduan negara dan mewujudkan Suruhanjaya Persamaan Bebas yang menangani aduan diskriminasi.
Mereka juga mahu pemerhati bebas untuk Biro Tata Negara (BTN) bagi memastikan operasinya telus, bertanggungjawab dan harmoni selari dengan objektif mempromosikan perpaduan negara dan keharmonian kaum serta mengesahkan Konvensyen Antarabangsa tentang Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum dan mewujudkan pelan tindakan untuk melaksanakan saranannya. – 7 Februari, 2018.