Muda mampu buat pengundi baharu Johor teruja, kata DAP
Iklan
PENGGERAK DAP Johor percaya parti Muda yang dipimpin Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mampu mengujakan pengundi baharu untuk memilih pembangkang pada 12 Mac.
Naib Pengerusi DAP Johor Sheikh Omar Ali percaya faktor “wow” itu akan memberi peluang kepada pembangkang merampas semula Johor dalam pilihan raya negeri (PRN) itu.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, perkara itu bagaimanapun hanya akan berlaku sekiranya Muda bersama dengan Pakatan Harapan (PH).
Ia akan mengelak keputusan seperti PRN Melaka pada November berulang, kata penyandang kerusi Paloh itu yang juga ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY).
“Tanpa faktor wow sama saja macam Melaka… Muda boleh jadi salah satu faktor wow kalau bersama pakatan pembangkang.
“Sebab kalau Muda bersama pakatan pembangkang, bukan sahaja setakat bersama, jentera juga akan turun kempen bersama.
“Muda parti baharu, perlukan juga bantuan penyokong akar umbi PH, secara automatik akar umbi kita akan bantu, populariti Muda akan bantu sokongan (kepada PH) dalam kalangan pengundi muda.”
Jelasnya, PH berisiko mengulangi sejarah tewas di PRN Melaka dan hilang kerusi sekiranya peratusan keluar mengundi pada 12 Mac nanti di bawah paras 60%.
Penyertaan akan dapat menarik minat kumpulan pengundi muda berusia atas 18 tahun yang didaftarkan secara automatik keluar mengundi, katanya.
“Kalau katakan keadaan macam PRN Melaka, trend pengundian dan peratusan keluar undi rendah, 60% hingga 65% dan tiada faktor lain mungkin DAP akan tinggal separuh daripada 16 kerusi yang bertanding.
“Kelainan kali ini ada pertambahan undi baru, kita tak tahu mereka di mana, tapi tergantung kepada wow faktor lain, naratif lebih besar yang buatkan mereka terpanggil balik mengundi,” katanya.
Muda masih baharu, segar
Sheikh Omar berkata imej Muda yang masih baharu dan segar menjadi produk terbaik yang boleh ditawarkan pembangkang untuk kelompok pengundi muda.
Ia berbeza dengan parti lama sedia ada, yang tidak lagi diminati anak muda walaupun dengan tawaran calon muda di beberapa kawasan, kata bekas exco PH itu.
“Muda semua baharu, parti baharu. Mereka yang kecewa dengan politik mungkin lihat Muda ini alternatif, anak muda dan tiada beban sejarah rasuah.
“(Muda juga) tiada beban perseteruan politik orang dah tengok 20 tahun lalu sampai sekarang tak habis lagi, mereka boleh jadi alternatif,” katanya.
Oleh itu, ia akan memberi nafas baharu kepada pembangkang untuk menewaskan parti kerajaan sedia ada, katanya.
“Nama Muda masih segar, mungkin penyertaan Muda bersama gabungan pembangkang yang bersatu, bersama lawan Barisan Nasional (BN) ia boleh jadi gelombang.
“Kalau tanpa apa-apa (faktor lain dan PRN) berjalan macam di Melaka, peratusan keluar mengundi pun rendah, susah,” kata Sheikh Omar.
Muda setakat ini mengesahkan akan bertanding di enam kerusi hasil rundingan bersama komponen PH dari DAP dan Amanah.
Dalam satu kenyataan semalam, Muda menyatakan masih berunding dengan PKR berkaitan kerusi untuk bertanding di PRN Johor.
Namun pada masa sama, Muda dilanda kontroversi ekoran penyiaran poster di platform media sosial parti itu yang mengaitkan PKR dan PH dengan kegiatan rasuah.
Ia menyebabkan Muda terpaksa memohon maaf dan bertindak menggantung unit penerangannya di Kedah yang bertanggungjawab menyiarkan poster berkenaan.
Siaran poster tersebut menimbulkan kecaman pemimpin dan penyokong muda PH. – 12 Februari, 2022.