Iklan

Orang Ulu Long Ekang bergelut selamatkan rumah panjang

Desmond Davidson3 years ago13th Feb 2022Berita
Long ekang2
Sepuluh tahun lalu, rumah panjang bagi penempatan Orang Ulu di Long Ekang berada lebih 15 meter dari pinggir sungai. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Februari, 2022.
Iklan

KIRA-KIRA 600 penduduk bagi penempatan Orang Ulu di Long Ekang, pedalaman Baram, Sarawak, kini hidup dalam ketakutan apabila rumah panjang mereka mungkin dihanyutkan arus Sungai Baram.

Hakisan teruk tebing sepanjang 3.5 kilometer berdekatan penempatan itu sejak dua dekad lalu menyebabkan salah satu daripada empat rumah panjang Uma Kaeng kini hanya 3 meter dari pinggir sungai.

Sepuluh tahun lalu, rumah panjang itu berada lebih daripada 15 meter dari pinggir sungai.

Selama bertahun-tahun kebanyakan penduduk Kenyah, selain orang Kayan, di penempatan ini telah menyaksikan rumah stor yang dibina mereka di sebelah sungai dihanyutkan arus.

Rumah stor ini, dibina jauh dari rumah panjang atas faktor keselamatan kerana di sinilah bahan mudah terbakar seperti enjin bot dan bahan api disimpan.

Kini di tebing itu laluan pejalan kaki simen musnah, ada rumah terbiar, tiang elektrik senger dengan beberapa batang tiang hampir tergelincir ke dalam sungai.

Ketika ini, penempatan itu sedang berusaha untuk menyelamatkan satu bangunan paling mereka berharga, gereja kecil berusia 42 tahun.

Sejak seminggu yang lalu, tukang telah bertungkus-lumus menanggalkan struktur gereja St. Peter sedikit demi sedikit untuk dibina semula di tapak baharu, kira-kira 2 kilometer dari penempatan itu.

Ia akan dipindahkan ke kebun getah dimiliki keluarga dari penempatan itu. Tebing sungai dilapor telah sampai ke satu sudut gereja itu.

“Bila-bila masa, ia akan jatuh ke dalam sungai,” kata Peter Kallang, antara penduduk terkenal di penempatan itu.

Beliau merupakan pengerusi Save Rivers, kumpulan alam sekitar yang dipuji kerana memaksa kerajaan negeri meninggalkan cadangan pembinaan hidroelektrik mega di Sungai Baram.

Pasukan baik pulih itu dijangka mengambil masa dua minggu untuk membongkar gereja itu, kata Kallang.

Beliau berkata proses itu sengaja perlahan supaya tidak merosakkan bahan binaan yang mereka alihkan kerana ia akan digunakan semula untuk gereja baharu itu.

“Kami buat begini sebab kos pengangkutan untuk bawa bahan binaan dari Miri ke Long Ekang sangat mahal,” kata Kallang, yang rumah panjangnya di penempatan itu bernama Uma Belata, berusia 68 tahun.

Katanya, lebih baik kitar semula bahan binaan terutama kayu keras seperti Belian yang kini sukar didapati atau sudah menjadi terlalu mahal.

Sementara mereka menunggu gereja baharu siap, beranda rumah panjang mereka dijadikan gereja sementara untuk majlis doa, baptis, perkahwinan dan lain-lain.

Untuk sampai ke Long Ekang perlu melalui jalan darat dari Miri. Ia mengambil masa dua jam pemanduan dari Miri ke Long Lama sebelum ditambah tiga jam lagi perjalanan melalui jalan tanah.

Kallang berkata cara paling popular untuk sampai adalah dengan menggunakan bot dari Long Lama. Ia cuma 40 minit perjalanan walaupun di atas bot dengan enjin kecil 10 atau 15 kuasa kuda.

Kallang berkata mereka telah dinasihatkan untuk beralih ke tempat yang lebih tinggi tetapi ada masalah.

“Di mana hendak cari tanah lebih tinggi di yang boleh tampung semua penduduk?” soalnya.

“Penduduk di penempatan itu semakin bertambah. Kini empat rumah panjang itu mempunyai sejumlah 72 pintu. Jika terpaksa berpindah, kami perlu berpindah ke kawasan yang boleh memuatkan rumah panjang dengan sekurang-kurangnya 90 pintu.”

Bagaimanapun Kallang akan berasa sedikit emosi jika berpindah kerana tempat itu dibina oleh bapanya.

“Dia buat tempat ini supaya saya dan adik-beradik ada rumah kami sendiri.”

Rumah panjang bapa Kallang bernama Uma Betua yang mana datuknya dan mereka yang mengikutinya berhijrah ke kawasan yang dibina lebih 68 tahun lalu.

Kallang, yang kini menetap di Miri, berkata beliau menyimpan memori zaman kanak-kanaknya ketika membesar di Long Ekang, menambah yang perpindahan akan menghapuskan kenangan indah itu.

Penempatan itu menjadi tempat berehat popular pegawai kerajaan kulit putih ketika zaman kolonial.

“Mereka datang untuk merasai pengalaman budaya, untuk menikmati lagu dan tarian kami,” kata Kallang. – 13 Februari, 2022.

Iklan
Iklan