Pengedar kereta terpakai terima digitalisasi ikuti perkembangan zaman, kata pemain industri
Iklan
PENGEDAR kereta terpakai telah mendigitalkan perkhidmatan mereka untuk bersaing dengan jualan kenderaan baharu dan membawa pasaran kepada pengguna melalui media sosial, kata pemain industri.
Presiden Gabungan Persatuan Syarikat Motor dan Kredit Malaysia (FMCCAM) Tony Khor berkata walaupun pengedar kereta terpakai masih memegang bahagian pasaran terbesar dalam pasaran kereta, mereka akan rugi dalam jangka panjang jika tidak menyesuaikan diri dengan teknologi.
Industri ini telah didigitalkan secara berterusan dengan pengedar kereta mula menerima internet bermula pada 2011 melalui platform eAuto.
“Pada 2011 kami sudah mempunyai rakan kongsi teknologi yang dipanggil e-auto. Ia mendigitalkan semua pengedar kereta terpakai,” kata Khoo kepada The Malaysian Insight.
“Semua transaksi telah diubah daripada manual kepada digital. Ini menguntungkan peniaga dan mengurangkan kerumitan pelanggan yang terpaksa beratur dan hadir di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).”
Melalui platform itu, semua pengedar kereta terpakai dan kereta baharu FMCCAM mampu berurus niaga sebanyak 90,000 kenderaan sebulan.
Persatuan itu mewakili 4,600 syarikat dengan 7,000 cawangan di seluruh negara.
Berikutan eAuto, pada 2019, FMCCAM memperkenalkan platform lain yang dipanggil EZ Auto untuk membantu peniaga menjadi digital sepenuhnya daripada mendapatkan sumber, mengurus jualan dan pemasaran, perhubungan pelanggan, perakaunan, media sosial dan pendigitalan pemasaran.
“Kami menyediakan platform itu sebagai perkhidmatan dan ia juga menyediakan latihan kepada 4,600 ahli kami. Dianggarkan 70,000 kakitangan jualan dan pengurusan telah menerima pendigitalan ini untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran diri mereka sendiri,” kata Khor.
Pada masa ini, ahli persatuan bertanggungjawab ke atas 90% daripada penjualan kereta terpakai. Baki 10% dijual melalui platform seperti Carsome, My Tukar, media sosial dan pasaran fizikal.
Perlindungan pengguna yang lebih baik
Khoo berkata kini mereka mempunyai platform digital untuk membantu penjualan kereta terpakai, persatuan itu bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), agensi insurans serta kumpulan perlindungan pengguna untuk melancarkan program perlindungan pelanggan.
“Ia di peringkat akhir. Kami sedang berunding dengan bank, kerajaan dan badan pengguna untuk perlindungan yang lebih baik untuk pembeli dan penjual.
“Jika pelanggan ingin membeli kereta terpakai, mereka boleh meminta laporan penuh 170 mata untuk mendapatkan maklumat terperinci mengenai kenderaan tersebut.
“Kami juga bekerjasama dengan KHDNHEP dan melancarkan waranti alat ganti selama setahun oleh ahli yang disokong oleh syarikat insurans. Ini bagi meningkatkan dan memberi keyakinan yang lebih baik kepada pelanggan yang membeli kereta terpakai.
“Kami faham jika persatuan tidak menyatukan semua ahli kami untuk bekerja keras dalam pendigitalan, ahli kami mungkin menghadapi kesukaran untuk kelestarian kumpulan,” kata Khoo.
Masa depan cerah
Setelah menerima pendekatan mengutamakan pelanggan, Khoo berkata dalam tempoh lima hingga sepuluh tahun akan datang, beliau menjangka industri kereta terpakai berkembang dalam dua digit.
“Dengan banyak syarikat besar yang terlibat dalam pasaran, kami menjangkakan penjualan akan meningkat kerana ia (proses) lebih telus.
“Mempunyai masa depan yang sangat baik dan boleh berkembang dengan dua digit dalam lima tahun akan datang.”
Ini berbeza dengan 30 tahun lepas yang mana jualan kereta terpakai kekal tidak berubah pada 40,000 unit setahun, kata Khor.
“Dengan dalam talian, pasaran dan media sosial, ia sedang berkembang. Trend semakin meningkat. Saya harap mereka boleh mencapai pertumbuhan 8% setahun.”
Industri kereta terpakai di Malaysia turut mendapat perhatian di peringkat antarabangsa, tambah Khor.
“Di peringkat antarabangsa, negara juga sedang mengkaji untuk memasuki Asean. Ada yang bertapak di Singapura, mahu menembusi Malaysia sebelum berpindah ke negara lain seperti Indonesia.
“Pengedar kereta terpakai Mexico, India, AS dan China juga menunjukkan minat terhadap Malaysia.
“Kami perlu bekerja sangat rapat, menaik taraf, menjual, menerima teknologi, 5G dan Revolusi Industri 4.0. Kami tiada pilihan, buat atau gulung tikar.” – 14 Februari, 2022.